BTC USD 75,904.4 Gold USD 4,338.25
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Dua Suspek Culik Di Alor Setar Maut Berbalas Tembakan, Dua Mangsa Selamat

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,694
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,694
Reaction score
97
Points
80

Dua Suspek Culik Di Alor Setar Maut Berbalas Tembakan, Dua Mangsa Selamat​

87ba807a0f6b5f9492a7b857ab12da95646f703255777


Dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik dijalankan di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, malam semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kejadian kira-kira 8.40 malam itu berlaku apabila suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan operasi dari Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Bukit Aman.

“Pasukan serbuan telah membalas tembakan untuk menyelamatkan diri sehingga tiada ancaman keselamatan. Kedua-dua suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan pada kira-kira 9.30 malam, dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua mangsa yang diselamatkan ialah seorang lelaki dan wanita warga asing masing-masing berusia lingkungan 70-an dan 30-an, yang ditemukan dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari.

Kumar berkata polis turut menemukan pistol separa automatik jenis Beretta yang mengandungi lima butir peluru, sepucuk revolver mengandungi empat butir peluru serta sebilah parang panjang berhampiran kedua-dua penjenayah.

Susulan kejadian itu, beliau berkata beberapa serbuan berasingan dilancarkan dan polis berjaya menahan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 40-an di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) akta sama kerana menculik untuk wang tebusan,” katanya.

Kumar berkata kes masih pada peringkat siasatan dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta sehingga mencetuskan kegusaran dalam masyarakat.

“Satu sidang media berhubung insiden ini akan diadakan pada 10 Ogos (Isnin),” katanya.

 

Enam Individu Direman Seminggu Bantu Siasatan Kes Culik Di Alor Setar​

a315f4cb99ee793ca04ce3bb1025e2d46a61e7feb9049

Datuk M. Kumar

Enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penculikan dua warga asing di Alor Setar, Kedah, kini direman tujuh hari bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar ketika dihubungi berkata mereka terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 40-an yang ditahan sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Kesemuanya direman hingga 14 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan,” katanya.

Semalam, dua lelaki dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, kira-kira 8.40 malam.

Dalam operasi itu, polis turut menyelamatkan dua mangsa culik iaitu seorang lelaki dan wanita warga asing masing-masing berusia lingkungan 70-an dan 30-an yang ditemukan dalam keadaan mata ditutup serta tangan bergari.

 
416908-416908.jpg


Sindiket culik, buru mangsa melalui aplikasi temu janji dibongkar

Kuala Lumpur: Taktik sindiket penculikan menyasarkan warga asing dengan memperdaya mereka melalui tawaran kerja, percutian selepas berkenalan menggunakan aplikasi temu janji dan media sosial terbongkar susulan dua suspek warga asing ditembak mati di Alor Setar, Kedah, Sabtu lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan lima lelaki dan seorang wanita terbabit dalam penculikan di rumah di Taman Amira, Alor Setar, Kedah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku 8.40 malam Sabtu lalu apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman menjalankan serbuan di kawasan perumahan berkenaan.


Beliau berkata, susulan laporan itu, JSJ menubuhkan pasukan khas dianggotai pegawai dan anggota D8 serta D9 bagi menjalankan siasatan dan risikan.

"Hasil siasatan mendapati mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas pada 26 Julai sebelum terputus hubungan dengan keluarga.

"Pada 4 Ogos, kakaknya menerima pesanan suara memaklumkan mangsa diculik dan dikurung serta menuntut wang tebusan SG$1 juta (RM3.1 juta).

"Keluarga turut menerima video menunjukkan mangsa bergari, mata ditutup dan mengalami kecederaan fizikal," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

M Kumar berkata, hasil risikan membawa kepada serbuan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kedah pada 8.40 malam Sabtu lalu.

"Dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, polis masuk ke dalam rumah tidak berkunci sebelum memperkenalkan diri sebelum diserang dengan tembakan.

"Suspek melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan sehingga keadaan selamat. Dua suspek yang dipercayai penjenayah maut dalam kejadian itu.

"Pemeriksaan lanjut menemui mangsa warga Singapura dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup. Polis turut menyelamatkan seorang wanita warga China yang dikurung dalam keadaan sama," katanya.

Beliau berkata, serbuan susulan kira-kira 500 meter dari lokasi itu membawa kepada penahanan enam individu iaitu lima lelaki dan seorang wanita.

"Seorang daripada mereka ialah warga tempatan, manakala lima lagi warga China.

"Pemeriksaan di rumah pertama turut menemui dua pucuk pistol bersama peluru serta sebilah parang," katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa warga Singapura sudah membuat tiga pembayaran berjumlah kira-kira SG$15,000 ke akaun mangsa yang dikawal suspek, manakala keluarga mangsa warga China diminta membayar wang tebusan AS$20,000 (RM81,000) namun belum sempat berbuat demikian sebelum mangsa diselamatkan.

"Siasatan turut mendapati sindiket sama dipercayai terbabit dalam dua lagi kes penculikan di Kuala Lumpur di mana kedua-dua itu berjaya diselamatkan.

"Modus operandi sindiket adalah menghubungi mangsa melalui WeChat dan media sosial dengan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan ataumereka akan menjadi pengiring sosial sebelum mangsa dibawa ke rumah sewa dan dikurung.

"Sindiket dipercayai menggunakan beberapa rumah sewa di Pulau Pinang sebelum memindahkan mangsa ke Kedah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa do mana taktik mereka akan kerap bertukar rumah sewa supaya tidak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Menurut M Kumar, pihaknya percaya sindiket ini sudah ditumpaskan, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti jika terdapat lagi mangsa atau rangkaian lain.

"Sindiket menggunakan aplikasi seperti Telegram, WeChat dan Badoo untuk mencari mangsa dengan menawarkan percutian, pekerjaan atau tujuan bersosial.

"Selepas mangsa bersetuju bertemu, mereka akan ditangkap, dikurung dan dipaksa menyerahkan maklumat perbankan.

"Suspek kemudian memindahkan semua wang dalam akaun mangsa ke akaun salah seorang suspek sebelum mengarahkan mangsa menghubungi ahli keluarga atau rakan bagi mendapatkan wang tebusan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Harian metro sebelum ini melaporkan dua suspek dipercayai warga asing maut selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis dalam serbuan bagi menyelamatkan mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Alor Setar, Kedah.

Kredit ➡️ Harian Metro

KUMAR menunjukkan senjata yang dirampas dalam operasi sindiket penculikan, pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. FOTO Safeek Affendy Razali
 
Back
Top
Log in Register