ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Keadaan bangunan Dataran Patin di Tanjung Keramat dekat Kuala Semantan yang terbiar tidak dijaga.
TEMERLOH - Dataran Patin yang dibina pada 2008 bernilai lebih setengah juta kini terbiar usang dengan keadaan persekitaran yang sangat teruk, ditambah pula kerosakan akibat vandalisme pada bangunan yang dibina di Tanjung Keramat dekat Kuala Semantan itu.
Penduduk Kampung Bangau Tanjung, Rabuan Abdullah berkata, dia telah beberapa kali membuat lawatan ke Dataran Patin bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bangau Tanjung sejak banjir hujung tahun lalu.
Menurutnya, keadaan Dataran Patin yang tidak dijaga dan tidak ada penyewa semakin teruk selepas ditenggelami banjir sedalam lebih tiga meter hujung tahun lalu.
"Lebih baik Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memberikan hak menjaga bangunan ini kepada penduduk kampung Bangau Tanjung tanpa dikenakan sebarang sewa.
"Kami sakit mata apabila melihat bangunan yang dibina di dalam kawasan kampung kami ini terbiar usang, saya sendiri pernah melihat sebuah motosikal curi ditinggalkan di dalam bangunan Dataran Patin ini," katanya.
Rabuan berkata, sekiranya tidak ada pihak yang berminat dan tidak ada pihak yang mahu membaik pulih kerosakan Dataran Patin ini lebih baik diserahkan kepada penduduk kampung untuk menjaganya.
Menurutnya, kos baik pulih dijangka sangat tinggi memandangkan semua cermin di bilik persidangan di Dataran Patin itu telah pecah, pendawaian elektrik dicuri, tandas tersumbat, siling pecah dan banyak kerosakan kecil yang lain.
Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh Datuk Syed Mohd Nor Syed Jaafar berkata, MPT menerima tiga kertas kerja daripada pihak swasta yang berminat memajukan Dataran Patin tersebut dan sedang meneliti permohonan mereka.
Menurutnya, ada pihak yang berminat untuk menyewa dan membaik pulih bangunan itu, ada pihak yang mahu membaiki kerosakan dan ada pihak yang berminat untuk membaiki kerosakan dan menjaga bangunan itu.
"MPT sedang meneliti permohonan mereka ini kerana sejak dibina bangunan itu telah beberapa kali mengalami kerosakan.
"Sekiranya MPT masih keluarkan belanja untuk baiki kerosakan Dataran Patin dan masih berlaku kerosakan sudah tentu mendatangkan kerugian kepada MPT," katanya.