“ISU PELAKSANAAN POTONGAN GAJI MANDATORI PENJAWAT AWAM BAGI BAYARAN BALIK PEMBIAYAAN PTPTN”
1. Saya memahami maksud dan menghormati pendirian yang dikeluarkan oleh Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 23 Disember 2015 berhubung langkah pemotongan gaji mandatori yang dilaksanakan PTPTN. Walau bagaimanapun, saya ingin mengulangi kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh PTPTN pada 17 Disember 2015 yang lalu bahawa PTPTN telah pun mengumumkan akan mengembalikan semula amaun potongan setelah ditolak ansuran bulanan berdasarkan jadual bayaran balik semasa kepada 3,193 peminjam. Pendirian ini dibuat setelah PTPTN mengambil pandangan pelbagai pihak terutama rayuan peminjam sendiri. Namun, ini bukan bermakna PTPTN tidak konsisten dalam melaksana peranan serta fungsinya.
2. Bagaimanapun, peminjam terlibat digesa tampil atau datang segera berunding dengan PTPTN dalam tempoh selewat-lewatnya pada 18 Januari 2016. Sekiranya peminjam yang terlibat gagal berunding dalam tempoh masa yang ditetapkan, jumlah ansuran potongan gaji mandatori yang dinyatakan di dalam surat tersebut akan dikenakan semula kepada peminjam. Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani, peminjam perlu melangsaikan hutang mereka dalam tempoh 5 tahun (pinjaman RM10,000 dan ke bawah), 10 tahun (RM10,000-RM22,000), 15 tahun (RM22,000-RM50,000) dan 20 tahun (lebih RM50,000). Bagi yang tidak mampu melangsaikan dalam tempoh tersebut, rundingan perlu diadakan dan kebiasaannya perjanjian baharu dengan tempoh yang lebih panjang dan ansuran bulanan lebih rendah akan ditandatangani (restructuring). Sebaliknya bagi mereka yang enggan berunding, pilihan terakhir adalah:
a) tindakan perundangan untuk yang telah tamat tempoh bayaran balik, dan
b) potongan gaji mandatori dengan membahagikan jumlah hutang dengan baki tempoh bayaran balik. Sekiranya baki tempoh hanya beberapa bulan, maka potongan gaji bulanan adalah tinggi.
3. Saya berkeyakinan masalah peminjam akan diselesaikan jika datang bertemu PTPTN. Ini kerana pelbagai kaedah boleh dilakukan dan satu darinya, peminjam yang terlibat boleh membuat penstrukturan semula hutang dengan amaun ansuran berasaskan kemampuan bagi tempoh tidak melebihi umur 60 tahun, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Jumlah ansuran bayaran balik baharu boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada gaji dan umur peminjam. Jadi, peminjam dinasihatkan untuk membawa bersama slip gaji bagi memudahkan proses rundingan. Justeru, ia tidak akan membebankan sekiranya peminjam dapat hadir berunding dan menstrukturkan semula hutang mereka.
4. Sebenarnya, PTPTN sentiasa bersikap mesra pelanggan dan bersedia berunding bagi menyelesaikan masalah peminjam. Oleh itu, PTPTN turut menyediakan kaunter di UTC dan pusat-pusat membeli-belah yang boleh dikunjungi di luar waktu pejabat atau peminjam boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN pada bila-bila masa dan berjumpa di mana sahaja mengikut kesesuaian peminjam. Maklumat kaunter PTPTN dan nombor telefon Eksekutif Pemasaran PTPTN boleh disemak di portal rasmi PTPTN.
5. Suka saya nyatakan, pihak saya tidak mengambil kesempatan atau menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dalam melaksanakan tanggungjawab. Semua tindakan PTPTN dibuat berasaskan kepada nasihat, kajian dan pandangan pelbagai pihak termasuk dalam isu-isu tertentu merujuknya kepada kementerian berkaitan malah sesuatu polisi yang melibatkan kepentingan awam dan hendak dilaksanakan PTPTN biasanya akan merujuk serta mendapat kelulusan termasuk kepada Jemaah Menteri.
6. Dan dalam hal ini sebenarnya, pada 9 Julai 2015 yang lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan arahan agar penjawat awam melaksanakan bayaran balik melalui potongan gaji mulai 1 September 2015. Arahan ini melibatkan lebih 138,201 penjawat awam yang merupakan peminjam PTPTN di mana mereka ini mempunyai tunggakan atau hanya membuat bayaran sekali-sekala. Sesi taklimat dan kaunter bergerak dibuka di Kementerian dan Jabatan tertentu. Namun masih terdapat segelintir yang enggan berunding. Seterusnya, PTPTN telah mengeluarkan surat arahan potongan gaji mandatori bertarikh 4 Disember 2015 kepada majikan. PTPTN menganggap sikap negatif mereka telah mewujudkan situasi kurang adil kepada ramai Penjawat Awam lain yang begitu baik melaksanakan tanggungjawab mereka. Sehingga kini jumlah keseluruhan Penjawat Awam yang merupakan peminjam PTPTN adalah seramai 280,567 peminjam.
7. Langkah pelaksanaan potongan gaji mandatori ini juga adalah antara langkah terakhir apabila pelbagai usaha telah gagal dilakukan. Oleh itu, saya percaya PTPTN boleh menyelesaikan masalah penjawat awam yang culas membayar balik pembiayaan PTPTN dan sekali gus dapat membantu lebih ramai lagi anak-anak penjawat awam dan swasta lain yang memerlukan pembiayaan PTPTN. Bebanan kewangan PTPTN kini begitu tinggi kerana PTPTN mempunyai komitmen sebanyak RM54.6 bilion kepada lebih 2.5 juta pelajar termasuk sebahagiannya anak-anak kakitangan awam dan kakitangan awam sendiri. Saya yakin CUEPACS dan PTPTN boleh bersama membantu menyelesaikan masalah pinjaman PTPTN oleh Penjawat Awam kerana PTPTN sentiasa berusaha memainkan peranan bersama meningkatkan kualiti Perkhidmatan Awam melalui penyediaan Dana Pendidikan mencukupi kepada semua di samping komitmen PTPTN mendidik masyarakat agar bersama bertanggungjawab terhadap pinjaman PTPTN kerana bebanan kewangan PTPTN ini juga adalah bebanan kewangan negara, dan ia mesti dipikul semua pihak.
8. Saya ingin nyatakan bahawa, PTPTN menghadapi masalah apabila lebih 611,956 peminjam tidak pernah membuat bayaran pinjaman di mana sejumlah RM5 bilion tidak dibayar walau sesen pun. Ini menyebabkan masalah berlaku pada PTPTN kerana menhadapi aliran kewangan yang tidak baik untuk menyediakan pinjaman kepada pelajar baru yang kita biayai tidak kurang 200 ribu setahun, 600 ribu pelajar sedia ada dan sebahagiannya PTPTN perlu buat bayaran pada institusi kewangan yang dipinjam oleh PTPTN. Oleh itu PTPTN memerlukan tidak kurang RM5.6 Bilion setahun untuk tujuan berkenaan. Kerana itulah mulai Nov 2014 PTPTN terpaksa mengambil langkah mengurangkan pembiayaan sebanyak 5 % kepada pelajar ke IPTA dan 15% kepada pelajar ke IPTS.
9. PTPTN mendapat banyak permintaan agar memberikan pinjaman penuh kepada semua pelajar yang ingin ke IPT, malah PTPTN juga mendapat permintaan yang tinggi daripada pelajar Malaysia di luar negara. Namun demikian sehingga kini PTPTN tidak mampu memenuhi semua permintaan ini kerana aliran kewangan yang tidak baik akibat kegagalan beberapa pihak untuk membayar hutang seperti dipersetujui awal sewaktu perjanjian. PTPTN hanya boleh pertimbangkan semua ini jika aliran kewangannya menepati sasaran yang diinginkan, justeru itu PTPTN amat berharap mendapat kerjasama semua pihak.
10. PTPTN sedar situasi yang dihadapi semua pihak, terutama ketika berlaku kenaikan kos sara hidup. Namun PTPTN juga bimbang tidak mampu menyediakan dana secukupnya untk pelajar ke IPT termasuk dana kepada anak-anak atau Penjawat Awam mahupun Swasta yang juga ingin melanjutkan pelajaran ketika ini kerana kekurangan dan akibat kegagalan bayar balik oleh sesetengah pihak. Jika ini terus berlaku, tentu ia akan menambahkan bebanan kepada rakyat. Saya bersedia bertemu CUEPACS bagi menyelesaikan masalah ini kerana saya yakin PTPTN dan CUEPACS juga mempunyai iltizam yang sama iaitu bagi memastikan rakyat mendapat yang terbaik di negara ini.
YB DATO’ SHAMSUL ANUAR BIN HJ NASARAH
Pengerusi
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Na[truncated by WhatsApp]