BTC USD 83,727.0 Gold USD 4,119.71
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Check List Amalan Di Bulan Ramadhan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ibadah Puasa dan Anugerah

عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Daripada Abu Shalih Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'azza wajalla telah berfirman; 'Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang. Apabila kamu dihina orang atau pun diserang, maka katakanlah, 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.' Demi Allah, yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi. Dan bagi mereka yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Ia merasa gembira ketika berbuka lantaran puasanya, dan gembira ketika berjumpa dengan Rabbnya juga kerana puasanya." (HR Muslim No: 1944) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.

2. Puasa itu adalah perisai atau pendinding seseorang dari melakukan perkara yang dilarang serta melaksanakan sesuatu yang diperintah.

3. Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab rafats (perhubungan suami isteri di siang hari) termasuk perbuatan dan perkataan yang kotor, lucah dan buruk serta hina, sama ada yang diucapkan, ditulis serta ditularkan.

4. Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diserang, maka katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa.

5. Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang enak, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.

6. Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kebahagiaan:

a. Gembira ketika berbuka puasa
b. Gembira ketika berjumpa dengan Allah kerana ibadat puasanya.

Bangunkan Jiwa Taqwa. Semoga Ramadan tahun ini lebih baik untuk kita dengan kualiti dan kuantiti amal yang bertambah bagi mengapai Taqwa. Ramadan Aku Kembali Mendamba Redha Ilahi. Andaikan Ramadan Tahun Ini Terakhir Buat Kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

12hb Mac 2024
01hb Ramadan 1445H
 
Ramadan Bangunkan Jiwa Taqwa

Ramadan datang dan pergi setiap tahun dan kita telah melaluinya puluhan tahun. Mari kita renungkan sejenak adakah puasa Ramadan yang berlalu itu telah berjaya membangunkan jiwa takwa seperti mana yang Allah mahukannya ianya terhasil seperti dalam firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 183 . Maka atas matlamat taqwa itulah difardhukan ibadah puasa.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa

1. Fadhilah as-Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya “حقيقة الصوم” menyatakan bahawa hakikat puasa ialah untuk mencapai martabat taqwa. Bukan sekadar menahan diri daripada makan minum dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa. Dan, wasilah (jalan) bagi mencapai ketaqwaan itu, bukan sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan meliputi proses pengislahan, pembersihan dan pembinaan diri dengan melaksanakan apa yang diperintah Allah SWT dan sekaligus meninggalkan segala larangan-Nya

2. Ustaz Said Hawwa juga di dalam kitabnya “ الاسلام” menjelaskan bahawa as-saum (ibadah puasa) adalah antara rukun (prinsip asas) dalam din Islam dan ibadah ini adalah salah satu jalan bagi mencapai hakikat taqwa. Ini bererti. Antara jalan utama untuk mencapai takwa ialah dengan berpuasa.

3. Kenapakah taqwa sangat fokuskan, ini kerana taqwa itu adalah suatu akhlaq yang Allah SWT letakkan atasnya kejayaan bagi seorang muslim Ketika di dunia dan untuk kehidupan di akhirat kelak. Firman-Nya dalam ayat 17 surah at-Thur:

إِنَّ ٱلۡمُتَّقِينَ فِي جَنَّٰتٖ وَنَعِيمٖ

Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga dan nikmat

4. Dalam bulan Ramadan ini untuk mencapai sifat taqwa tersebut maka perlulah beramal sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya, qiyamullail, zikrullah, doa, tilawah al-Qur’an, solat sunat tarawih, istighfar, i’ktikaf di masjid, infaq fisabilillah, menghidupkan sepuluh malam akhir, mencari lailatul qadr serta amalan-amalan lain yang disyari’atkan.

5. Bagi yang berusaha bersungguh-sungguh menjaga puasanya, maka puasanya merupakan pembersihan rohaniah dari daki cintakan dunia. Puasanya juga berupaya untuk mendidiknya daripada menjadi tamak terhadap dunia seperti gila kuasa dan pangkat, bakhil, tamak ,sombong, , melakukan pembaziran dan suka bermewah-mewah. Inilah hasil takwa yang berjaya dibangunkan.

Ayuh, mari kita bangunkan jiwa takwa dengan bersungguh-sungguh pada tahun ini. Mungkin Ramadan tahun ini adalah Ramadan terakhir untuk kita.

Akhirnya mari kita renungkan kata-kata Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya “Menuju Ketaqwaan“ menjelaskan bahawa cukuplah taqwa dengan segala kelebihan dan keberkesanannya. Sesungguhnya taqwa merupakan pemancar kelebihan dan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya jalan untuk mengawal kejahatan dan kerosakan dalam masyarakat ialah dengan cara mengajak masyarakat kepada taqwa.

 
IMG_20240313_232805_959.jpg


Bulan Ramadan ni ramai yang berazam untuk khatamkan bacaan Quran.

Sekiranya anda nak khatam sebanyak sekali, cuba amalkan mengaji selepas solat 5 waktu.

1 Quran = 30 Juzuk
1 Bulan = 30 Hari

Jadi boleh habiskan 1 juzuk sehari, lebih kurang 20 muka surat sahaja. Bahagi kepada 4 muka surat setiap kali selepas solat fardu.

Moga kita dapat raih pahala sebanyak mungkin dalam bulan yang mulia ini.

#Ramadan4Ummah
#CGM
 
Back
Top
Log in Register