xydee6527
Active Member
- Messages
- 1,296
- Joined
- Oct 12, 2011
- Messages
- 1,296
- Reaction score
- 0
- Points
- 20
TAIPING - Catuan bekalan air di Taiping dan Kamunting dijadualkan esok tetap diteruskan berikutan paras air di dua loji rawatan masih ditahap rendah walaupun kawasan itu mengalami hujan pada Sabtu lalu dan kelmarin.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, ketika ini jumlah bekalan air khususnya di Loji Rawatan Air Taiping Headwork mengalami peningkatan kepada 31 juta liter sehari.
Beliau difahamkan pada Jumaat lalu jumlah takungan air hanya berada pada paras 27 juta liter sehari dan masih kritikal.
“Pada masa sama, paras air di empangan Air Kuning juga masih berada pada tahap rendah iaitu 38.26 meter padu.
“Paras kritikal untuk loji ialah pada tahap 34 meter padu untuk simpanan selama 28 hari,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan yang dipersetujui antara Lembaga Air Perak (LAP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang bersetuju untuk melakukan catuan bekalan air di dua zon iaitu Taiping dan Kamunting.
Zainol Fadzi berkata, sejak beberapa hari lalu kawasan Taiping dan Kamunting ada menerima hujan, namun jumlahnya tidak mencukupi.
Beliau amat berharap dalam tempoh masa terdekat hujan semakin bertambah dan difahamkan pihak LAP juga masih membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
"Disebabkan kawasan Taiping dan Kamunting telah menerima hujan sejak dua ke tiga hari lalu, jumlah akaun yang terlibat dengan catuan bekalan air akan dikurangkan daripada 27,900 kepada 23,000.
“Kita berharap jika daerah ini dapat menerima hujan secara berterusan, jumlah tersebut akan dikurangkan lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengurus LAP Cawangan Taiping, Shafii Mustafa berkata, sehingga kini proses catuan bekalan air akan dilaksanakan mengikut perancangan asal.
Katanya, walaupun Taiping dan Kamunting menerima hujan, namun paras air sungai tidak naik begitu tinggi.
“Dalam situasi ini, Taiping dan Kamunting perlu menerima hujan sekurang-kurangnya seminggu berturut-turut agar paras air sungai kembali normal.
"Bagaimanapun, orang ramai yang terlibat dengan pelaksanaan itu harus memberikan perhatian kerana mungkin jadual catuan bekalan air akan berubah-ubah,” katanya.
