kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,711
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,711
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Carrick enggan panik
CARRICK. - AFP
PENGENDALI Manchester United, Michael Carrick menegaskan tekanan terhadap kedudukannya sebagai ketua jurulatih langsung tidak mengganggu fikirannya selepas menyaksikan pasukannya tewas kepada Brighton dalam saingan Piala Liga Inggeris.
United mendahului 2-0 hasil jaringan Shea Lacey dan Mason Mount, namun kelebihan itu gagal dipertahankan apabila Brighton bangkit untuk mencatat kemenangan di Old Trafford.
Kekalahan tersebut turut mencetuskan kemarahan penyokong tuan rumah yang mengejek pasukan ketika wisel penamat dibunyikan selain melaungkan kritikan terhadap pemain dan barisan kejurulatihan.
Ia menjadi kekalahan ketiga United dalam enam perlawanan dalam semua pertandingan musim ini sekali gus meningkatkan persoalan mengenai masa depan Carrick selepas permulaan musim yang kurang memberangsangkan.
Bagaimanapun, bekas pemain tengah United itu tidak melihat tekanan berkenaan sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan.
“Saya faham apa yang berlaku di luar dan bagaimana dunia ini berfungsi, tetapi ia tidak mengganggu saya,” katanya.
Dalam masa sama, Carrick mengakui pemainnya perlu memiliki kekuatan mental untuk berdepan tekanan yang datang bersama tanggungjawab menyarung jersi kelab sebesar United.
Menurutnya, suasana di Old Trafford boleh menjadi lebih mencabar apabila keputusan tidak memihak kepada pasukan namun pemain perlu belajar mengendalikan keadaan berkenaan.
“Kita semua tahu tekanan itu ada, sama ada ketika keadaan baik atau sebaliknya.
“Bagaimana anda menghadapinya adalah perkara yang penting. Berada di sini akan menjadikan anda lebih kuat dari semasa ke semasa dan ia bergantung kepada bagaimana anda mengendalikannya,” katanya.
Carrick juga percaya United masih memiliki kualiti untuk mengubah keadaan meskipun keputusan terbaharu menyaksikan tekanan terhadap pasukan semakin meningkat.
Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, kemerosotan prestasi ketika ini tidak bermakna United tidak mampu kembali mencatat kemenangan dalam perlawanan berikutnya.
“Sudah tentu kami boleh mengubah keadaan. Kami mempunyai beberapa pemain yang sangat bagus.
“Ia terasa sukar ketika ini kerana kami tidak melalui minggu yang baik, malah mungkin sudah dua atau tiga minggu.
“Tetapi itu tidak bermakna kami tidak boleh memenangi perlawanan seterusnya dengan cepat. Pemain sudah menunjukkan sebelum ini kemampuan mereka dan kami juga pernah melakukannya sebagai satu kumpulan,” katanya.
