ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Penggunaan radar masa kini dilihat amat penting dalam mendapatkan sebarang maklumat terkini dan ‘penglihatan’ khasnya dalam sektor penerbangan.
Teknologi tersebut kini semakin berkembang pesat dan terbaharu dua syarikat, Eurofighter dan Tornado Management Agency (NETMA) telah bekerjasama untuk menghasilkan radar berteknologi tinggi.
Dikenali sebagai Captor E-Scan yang merupakan Active Electronically Scanned Array Radar System (AESA) termaju buat masa ini, radar tersebut akan dipasang pada pesawat tempur Eurofighter Typhoon.
Ruang muncung pesawat tempur yang luas di samping kebolehannya menggerakkan antena serta tambahan teknologi tersebut bakal memberikan ‘penglihatan’ yang terbaik buat pesawat tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter Alberto Gutierrez, perjanjian bersama itu merupakan antara detik terpenting sepanjang Program Eurofighter.
“Perjanjian tersebut merupakan satu anjakan yang terbesar dan detik terpenting buat kami. Penambahbaikan tersebut bakal meningkatkan keupayaan sistem persenjataan serta lebih banyak kebolehan yang tidak dimiliki oleh pesaing-pesaing kami,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak baru-baru ini.
Eurofighter Typhoon merupakan antara pesawat tempur termaju buat masa ini tersedia di pasaran dunia.
Kini, sebanyak tujuh buah negara iaitu Jerman, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Austria, Arab Saudi dan Oman telah menempah pesawat tempur tersebut dan merupakan antara program perolehan aset ketenteraan terbesar di Eropah.
Sementara itu, Timbalan Marsyal Udara, Graham Farnell yang menandatangani MoU tersebut bagi pihak Partner Nation berkata, Eurofighter merupakan simbolik kuasa udara bagi Pertubuhan Pakatan Atlantik Utara (NATO) dan akan terus berkhidmat untuk beberapa dekad akan datang.
“Kebolehan baharu tersebut pastinya menjamin pesawat tempur tersebut sebagai aset terpenting dan merupakan hari bersejarah buat program ini,” katanya.
Syarikat Eurofighter bersama pembekal utamanya, Euroradar serta beberapa lagi pembekal sekitar Eropah akan berkerjasama dalam projek tersebut bagi mengekalkan fokus terhadap teknologi tinggi merentasi empat negara.
Andrew Cowdrey, pengerusi Euroradar berkata, mereka telah bekerjasama rapat bersama Eurofighter dan Eurofighter Partner Companies dalam pembangunan teknologi tersebut.
“Captor E-Scan dibina berdasarkan kepakaran industri, ilmu terkini (best know-how), dan kerjasama pemain industri elektronik terkemuka Eropah,” katanya.
Kejayaan tersebut menjelaskan komitmen empat buah negara untuk menghasilkan pesawat tempur Eurofighter Typhoon dengan kebolehan terbaik bagi menerajui pasaran pesawat tempur masa kini.
Kedua-duanya, Eurofighter dan Euroradar amat yakin radar baharu tersebut memiliki potensi luas terhadap pelanggan sedia ada mahupun baharu bagi memenuhi kehendak serta keperluan semasa mereka.
Keupayaan pesawat tempur Eurofighter Typhoon dikatakan bakal menandingi mana-mana pesawat tempur lain di dunia bersama radar baharu Captor E-Scan yang boleh mengesan di dalam kawasan yang lebih luas.
Antara kelebihan lain adalah seperti penambahbaikan dalam jarak mengesan dan menjejak, kelebihan udara ke permukaan serta peningkatan terhadap langkah-langkah keselamatan elektronik.
Penerbangan pertama Eurofighter Typhoon bersama sistem radar baharu tersebut telah bermula sejak Julai tahun lalu dan ujian lapangan akan kerap dilaksanakan bagi menjamin keberkesanannya.
Kelebihan Captor E-Scan
Meningkatkan keberkesanan tempur pesawat.
Radar tersebut sesuai untuk kedua-dua Tranche 2 dan Tranche 3 pesawat serta boleh dimuatkan pada pesawat tempur Eurofighter Typhoon generasi sebelumnya.
Radar tersebut menawarkan pelbagai kelebihan menerusi mekanikal M-Scan termasuk meningkatkan pengesanan dan penjejakan, kebolehan udara ke permukaan termaju dan langkah perlindungan elektronik.
Masih mengekalkan ciri-ciri utama radar sebelumnya untuk
memastikan kematangan teknologi tersebut lebih menyerlah.
Antara kelebihan lain adalah saiz antena yang lebih besar.
Sudut 200 darjah memiliki kawasan pengesanan yang lebih luas berbanding piring radar AESA memberikan kelebihan taktikal ketika bertempur kepada pesawat tersebut.
Lebih besar antena memberikan lebih banyak isyarat TRMs (transmitter receiver modules), menyasar dengan lebih baik serta kelebihan utiliti melebihi spektrum EW.