afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,229
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,229
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Cadangan hidupkan semula ISA dapat bantahan keras
ISA yang membolehkan penahanan tanpa proses perbicaraan sebelum ini digunakan untuk menahan anggota pembangkang dan aktivis hak asasi manusia. (Gambar Reuters)
Organisasi hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan dua ahli politik ini turut melihat perundangan sedia ada sudah memadai untuk menangani dan menghadapi ancaman terhadap keselamatan negara.
Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron berkata, gesaan untuk menghidupkan semula ISA atau mengukuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) lazimnya berdasarkan salah andaian bahawa memperluas kuasa pemerintah akan mengurangkan ancaman terhadap negara secara berkesan.
Katanya, keselamatan sebenar bukan sepatutnya diukur dengan sejauh mana kuasa dimiliki pemerintah sebaliknya sejauh mana kuasa berkenaan dilaksanakan secara berkesan, profesional, dan bertanggungjawab.
Katanya, tiada undang-undang dapat menghapuskan fahaman radikal atau ekstremisme.
“Malaysia mesti beralih daripada berulang kali menggesa kuasa penahanan lebih meluas sebagai tindak balas terhadap setiap ancaman keselamatan,” katanya kepada FMT.
“Apabila sesebuah kerajaan bertindak balas dengan meluaskan kuasa perundangan luar biasa, ini berisiko mewujudkan jalan pintas yang berbahaya, iaitu kebergantungan terhadap penahanan tanpa pemantauan kehakiman semata-mata untuk kemudahan pentadbiran, bukannya kaedah keselamatan yang berkesan.
“Masalah seperti ini yang didorong ideologi, rasa tidak puas hati dan ekosistem dalam talian, memerlukan reformasi sistemik yang komprehensif seperti kepintaran, pendidikan dan pencegahan awal,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini menyuarakan pandangan supaya ISA diwujudkan semula, manakala Timbalan Perdana Menteri Fadhillah Yusof berkata Malaysia memerlukan undang-undang lebih kukuh selain Sosma untuk menangani idologi ekstremis dan isu sensitif.
Ayob Khan menyuarakan pandangan bahawa ISA paling berkesan dalam menangani ancaman terhadap keselamatan negara, ajaran sesat, dan isu sensitif melibatkan perkauman, agama dan institusi diraja.
Fadhillah yang juga berucap di acara sama melihat Sosma tidak sekukuh ISA, dan mencadangkan Malaysia perlu mengukuhkan undang-undangnya berikutan ancaman akibat ideologi ekstremis dan isu sensitif.
Bagaimanapun, beliau berkata, perundangan hanya patut digunakan sebagai usaha terakhir dan Malaysia perlu mencari keseimbangan antara melindungi keselamatan negara serta mematuhi tahap piawaian perundangan antarabangsa.
ISA, yang digubal pada zaman kolonial, membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga dua tahun. Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan undang-undang itu sebagai alat untuk menindas tentangan politik.
Susulan tekanan politik bertahun-tahun, akta itu dimansuhkan pada 2012 dan digantikan dengan Sosma.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung pula berkata, Malaysia sudah sedia memiliki pelbagai perundangan bagi menangani keganasan, ekstremisme dan jenayah terancang, termasuk Kanun Keseksaan, peruntukan antikeganasan, undang-undang antipengubahan wang haram, undang-undang berkait komunikasi, Sosma dan lain-lain.
Lee menegaskan isu sebenar bukan sama ada kerajaan mempunyai kuasa secukupnya untuk menjamin keselamatan negara, sebaliknya sama ada kuasa berkenaan dilaksanakan secara berkesan dan profesional, serta dalam rangka pemantauan kehakiman.
“Proses pengadilan jujur tidak wajar diabaikan dalam penguatkuasaan undang-undang tegas, dan mengukuhkan perundangan tidak bererti ISA perlu diwujudkan semula,” katanya.
“Kita boleh membaiki keupayaan siasatan, koordinasi risikan, kapasiti forensik digital, program melawan fahaman radikal, dan perundangan bersasar sambil mengekalkan pemantauan kehakiman dan hak untuk mendapat perbicaraan adil.”
Sistem risikan gagal?
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dari DAP berkata gesaan polis dan pemimpin kerajaan untuk mewujudkan semula ISA menunjukkan alat risikan negara gagal menangani ekstremisme.
Katanya, Malaysia tidak memerlukan undang-undang baharu untuk menangani ekstremisme dan ancaman keselamatan lain sedangkan undang-undang sedia ada gagal menghapuskannya.
“Jika anda tidak yakin dengan Sosma dan mahu mengembalikan ISA, ini bererti sistem risikan anda gagal. Jika tidak dapat memaklumkan kerajaan mengenai keadaan semasa, maka ini satu kegagalan.
“Dengan memperkenalkan undang-undang baharu anda mengakui anda mahu menggunakan undang-undang untuk mengawal rakyat. Itulah sebenarnya mesej yang disampaikan,” katanya.
“Sekalipun ada Sosma, adakah gangsterisme dan ajaran sesat berjaya dihapuskan? Tidak. Sebaliknya ia menjadi asas untuk menganiaya orang, mewujudkan ketakutan di negara ini, memburu musuh politik dan menyumbat mereka dalam penjara,” katanya.
