Paycomm anjur jualan 250,000 unit telefon talian tetap prabayar - Utusan Malaysia (December 13, 2008)
- Posted by paycomm on Saturday December 13, 2008 5:33 pm
KUALA LUMPUR 12 Dis. - Penyedia talian aplikasi telefon, Paycomm Sdn. Bhd. (Paycomm) mengunjurkan jualan telefon talian tetap prabayarnya sebanyak 250,000 unit tahun depan dengan pelancaran semula konsep telefon berkenaan pada bulan depan.
Perkhidmatan telefon itu akan menggunakan rangkaian talian Time Reach Sdn. Bhd. (TRSB), yang diambil alih Paycomm pada awal bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammad Farid Ridhwan berkata, buat permulaan, pihaknya menyasarkan untuk menjual sebanyak 50,000 unit.
Beliau memberitahu, salah satu strategi pemasaran adalah dengan mendekati pelanggan yang memerlukan penjimatan kos panggilan selain menyasarkan untuk menarik minat para pelanggan daripada golongan yang disenaraihitam oleh pengendali telekomunikasi lain.
''Kami belum menentukan kadar caj panggilan untuk perkhidmatan berkenaan tetapi ia akan dijamin lebih murah dan memberi penjimatan yang baik kepada para pelanggan.
''Sekarang adalah waktu yang sesuai untuk melancarkan semula telefon talian tetap berbayar berkenaan iaitu dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang dijangka perlahan,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Paycomm dikorporatkan pada tahun 2005 dan diberi lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP) pada 15 Disember 2005 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Syarikat itu yang dulunya merupakan syarikat Aliff Telecommunications Sdn. Bhd. (ATSB) menghasilkan 50,000 unit telefon berkenaan kepada Telekom Malaysia Bhd. (TM) secara kontrak dan ia ditamatkan pada 2004.
Bagi pelancaran semula telefon talian tetap prabayar berkenaan, sebanyak tiga syarikat rakan kongsi dilantik untuk mengeluarkan telefon berkenaan, kata Mohd. Farid.
Menurutnya, selain melancarkan semula telefon tersebut, Paycomm akan melancarkan model telefon mesra Internet iaitu Personal e-Kiosk pada suku ketiga tahun depan.
Model terbaru ini, katanya, boleh diakses dengan hanya menggunakan Mykad selain para pengguna boleh mendapatkan data mengenai jumlah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), keputusan peperiksaan penting kerajaan dan ia juga dapat mencapai lebih 160 aplikasi kerajaan.
Menurut Muhammad Farid, model terbaru ini boleh menggantikan model telefon lama yang digunakan pelanggan secara percuma selain meningkatkan lagi jumlah pelanggannya pada tahun depan.
"Personal e-Kiosk mampu didatangkan dalam bentuk yang lebih mesra Internet dan kadar cajnya dijangka lebih mahal berbanding caj untuk telefon talian tetap prabayar yang biasa,'' ujarnya.
Paycomm turut bercadang untuk menggantikan 30,000 telefon awam di 26 buah lokasi milik TRSB dengan.
Katanya, kad prabayar untuk telefon talian tetap prabayar, Personal e-Kiosk dan telefon awam boleh diperoleh dengan mudah di premis-premis perniagaan yang strategik tidak lama lagi.
Ditanya mengenai perkembangan perkhidmatannya di luar negara, pihaknya merancang untuk menembusi pasaran Kemboja, Thailand, Indonesia dan India pada akhir tahun depan.
Beliau yakin sambutan telefon jenis itu mendapat sambutan yang baik di negara-negara berkenaan yang memerlukan perkhidmatan yang berkesan dan pintar.
Katanya, selain Internet, ketiga-tiga jenis telefon berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan GSM (Global System for Mobile Communications)