BTC USD 76,222.4 Gold USD 4,349.87
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bicara 1MDB: Mahkamah benar sebahagian penyataan saksi Tony Pua dipadam

afwan83

Active+ Member
Messages
3,228
Joined
Aug 4, 2011
Messages
3,228
Reaction score
12
Points
25

Bicara 1MDB: Mahkamah benar sebahagian penyataan saksi Tony Pua dipadam​

d2de6a71-66dc-4eed-8f39-0b5323f479d4-Tony-Pua-Najib-Razak-tile-060826.jpg

Tony Pua dipanggil sebagai saksi dalam saman sivil 1MDB bernilai USD5.64 bilion terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak atas kapasitinya sebagai bekas ahli PAC.

Pesuruhjaya Kehakiman Redzuan Idrus membenarkan permohonan peguam utama Najib, Shafee Abdullah, untuk memotong beberapa perenggan selepas memutuskan perenggan tersebut mengandungi pendapat dan dengar cakap.

Petikan dipadamkan itu terutamanya merujuk kepada laporan media mengenai skandal 1MDB semasa pentadbiran Najib, termasuk beberapa artikel diterbitkan Sarawak Report.

Mahkamah mengambil masa hampir tujuh jam mendengar dan memutuskan setiap bantahan Shafee sewaktu Pua membacakan penyataan saksinya.

Shafee berhujah bahawa Pua, yang dipanggil sebagai saksi atas kapasitinya sebagai bekas ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bersandarkan laporan media untuk mengutarakan andaian yang Najib atau kerajaan cuba menghalang usaha merungkai skandal 1MDB.

“Hal tersebut terjumlah kepada satu penegasan fakta yang wajib dibuktikan melalui keterangan langsung, bukannya menerusi laporan akhbar,” hujahnya.

Mahkamah turut mengekalkan bantahan Shafee terhadap kenyataan Pua berhubung bekas peguam negara, Gani Patail, dengan memutuskan kenyataan tersebut berbentuk dengar cakap, lalu memotong perenggan merujuk kepada laporan media mengenai Gani.

Mahkamah turut memadamkan ulasan Pua mengenai rombakan Kabinet yang membawa kepada penyingkiran timbalan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Mahkamah seterusnya menerima hujah peguam GK Ganesan, yang mewakili bekas pengarah pelaburan 1MDB Kelvin Tan, bahawa penggunaan perkataan ‘skandal’ yang merujuk kepada 1MDB mengandungi niat berprasangka dan bersifat memudaratkan, lalu memerintahkan ia dikeluarkan daripada penyataan saksi itu.

Satu lagi perenggan berkaitan Bank Negara Malaysia (BNM) telah dipotong selepas mahkamah mendapati Pua bukannya sebahagian pasukan penyiasat bank pusat berkenaan.

Perenggan berasingan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dipadamkan memandangkan Pua tidak mempunyai penglibatan secara langsung dalam siasatan agensi tersebut.

Pua dipanggil memberi keterangan mengenai peristiwa penting menyelubungi isu 1MDB, terutama suasana politik di Malaysia dalam tempoh berkenaan.

1MDB menuntut untuk memulihkan kira-kira USD5.64 bilion daripada Najib dan beberapa pihak lain, atas dakwaan dananya disalahgunakan.

1MDB bersama empat anak syarikatnya — 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited — memfailkan saman pada 7 Mei 2021.

Saman itu turut menamakan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Nik Faisal Ariff Kamil, bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan Casey Tang, bekas timbalan ketua pegawai kewangan Terence Geh, bekas ketua pegawai pelaburan Vincent Beng, bekas ketua pegawai operasi, Radhi Mohamad dan Tan sebagai defendan.

Peguam Lee Shih dan Nathalie Ker hadir bagi pihak plaintif tersebut.

Pendengaran bersambung pada 10 Ogos, di mana mahkamah akan meneruskan pendengaran bantahan terhadap baki penyataan saksi Pua.
 
Back
Top
Log in Register