Apa yang aku faham Melayu itu adalah rumpun bangsa yang mendiami nusantara yang di dalam rumpun Melayu ini terkandung etnik bugis, jawa, minangkabau, melayu-jambi, melayu-riau, melayu-sulu, melayu-brunei, melayu-acheh, melayu-siam/pattani, dan juga etnik-etnik asli seperti jakun, batak, negrito, iban, kadazan, melanau dan sebagainya.
Yang menjadi kekeliruan di sini ialah bilamana wujudnya Melayu moden yang mana ia adalah pecahan kecil dari rumpun Melayu yang asal. Oleh itu ramai menganggap bahawa Melayu moden itulah Melayu yang sebenar sedangkan Melayu yang sebenar adalah lebih besar dari itu. Asal kewujudan Melayu moden adalah dari perkataan Melayunesia yang merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di Tanah Melayu.
Nak kata Indonesia itu bukan Melayu adalah salah sama sekali kerana pada asal nama Indonesia itu diperkenalkan oleh seorang Englishman bagi merujuk pulau-pulau di kepulauan Melayu pada tahun 1850. Sedangkan perkataan Indonesia tidak wujud sebelum itu malah keseluruhan pulau-pulau yang ada di nusantara sebelum itu dipanggil kepulauan Melayu. Oleh kerana itu juga kita melihat bahasa, budaya, dan adat resam penduduk-penduduk asal nusantara adalah sama.
Malah rancangan Sukarno untuk menggabungkan Indonesia dan Tanah Melayu satu ketika dahulu juga disebut sebagai Gagasan Nusantara Melayu Raya.
Dengan ini dapat disimpulkan bahawa yang mengasingkan Indonesia dan Melayu menjadi dua bangsa yang asing adalah pihak Inggeris yang mempunyai motif mereka sendiri.