janganlah kita berpecah belah...
Allah SWT telah menerangkan pada ayat terdahulu keengganan sebahagian ahli Kitab dan berterusan mereka dalam kejahatan dan menyekat mereka jalan hidayat untuk sampai ke dalam hati mereka.
Di samping itu, cabaran mereka terhadap kebenaran dan pengikutnya. Dan keengganan mereka untuk bukti yang sabit yang tidak boleh dinafikan kemudian mereka melampaui batas tersebut dan menentang orang yang beriman. Lantas ia meniupkan roh perpecahan dan kembali kepada zaman jahiliah.
Pada ayat ini Allah menerangkan kepada orang beriman tali yang kukuh tidak sesat supaya mereka berpegang dengannya iaitu dengan takwa kepada Allah SWT.
Ayat ke-102:
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Sebab Nuzul.
Ikrimah berkata, ayat ini diturunkan kepada Aus dan Khazraj ketika mereka hampir berperang, kemudian Nabi SAW mendamaikan mereka.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir meriwayatkan daripada Anas r.a katanya: “Seorang hamba tidak bertaqwa kepada Allah dengan sebenarnya sehingga lidahnya dipelihara daripada maksiat”.
ii. Ibn Jauzi berkata: “Perkataan takwa yang sebenarnya mempunyai tiga pendapat:
lDitaati tanpa diderhaka, diingati tanpa dilupa dan disyukuri tanpa dikufuri. Inilah pendapat Ibn Mas’ud, al-Hasan, Ikrimah, Qatadah dan Muqatil.
lBerjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya tanpa merasa takut kepada celaan dan berlaku adil walaupun terhadap diri sendiri, ibubapa dan anak-anak mereka. Inilah pendapat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas RA.
lIa bertakwa apa yang menjadi hak ke atas kamu. Inilah pendapat al-Zajjaj.
iii. Ibn Mas’ud berkata, pengertian takwa kepada Allah SWT ialah taat kepada-Nya, tidak menderhakai-Nya, mensyukuri-Nya, tidak mengingkari-Nya, mengingat-Nya serta tidak melupakan-Nya.
iv. Ibn Abbas r.a berkata, pengertian takwa adalah berjihad pada jalan Allah SWT dengan jihad yang sungguh-sungguh dan tidak mudah terpengaruh apabila dicela oleh seseorang ketika melaksanakan agama Allah.
Menegakkan keadilan semata-mata kerana Allah SWT termasuk terhadap diri sendiri, bapa dan ibunya.
v. Ibn Abbas r.a pula menafsirkannya begini: “Hendaklah Tuhan itu ditaati, jangan diderhakai, disyukuri jangan dikufuri dan diingati jangan dilupai”.
vi. Mujahid menafsirkannya: “Hendaklah kamu berjuang pada jalan Allah dengan sebenar-benarnya, jangan melakukan sesuatu pada jalan Allah yang menjadi celaan orang, dan berlakulah adil pada jalan Allah walaupun terhadap diri sendiri, terhadap ibubapa dan anak-anak kamu”.