Jadi lagi, bendera Johor, Jalur Gemilang dipasang terbalik
Iskandar Puteri: Lagi kes bendera Johor dan Jalur Gemilang dipasang terbalik dikesan berlaku dan kali ini ia berlaku di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian SILC di sini.
Menurutnya, pihak berkuasa khususnya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan polis perlu mengambil tindakan tegas sekiranya hasil siasatan mendapati pemasangan bendera itu dilakukan dengan sengaja.
"Saya menerima aduan mengenai sebuah kilang di Kawasan SILC, Iskandar Puteri yang memasang bendera secara terbalik.
"Sikap ini sangat kurang ajar dan tidak berprinsip. Saya menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu ini," katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Pandak berkata, perkara membabitkan Jalur Gemilang dan bendera Johor tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-duanya melambangkan maruah, kedaulatan serta identiti negara dan negeri.
Menurutnya, lebih mengecewakan apabila perkara itu berlaku ketika sambutan bulan kemerdekaan sedang berlangsung dan rakyat giat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan kepada negara.
"Negara kita sudah merdeka hampir 69 tahun, tetapi masih ada pihak yang dilihat sengaja mengeruhkan keadaan dan tidak mempunyai semangat patriotik.
"Kalau benar ia dilakukan dengan sengaja, ini bukan lagi soal tersilap memasang bendera, tetapi soal menghormati negara dan negeri tempat kita mencari rezeki," katanya.
Beliau berkata, pihak pengurusan kilang juga perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu dan memastikan bendera dipasang mengikut kedudukan yang betul.
Katanya, tindakan tegas wajar diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang serta menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih menghormati simbol negara dan negeri.