afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,321
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,321
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Bekas pemimpin PAS gagal dapatkan semula tauliah mengajar
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan tidak memerintahkan Ahmad Dusuki Abd Rani membayar kos kepada responden, iaitu Majlis Agama Islam Selangor dan Jawatankuasa Tauliah negeri.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Nordin Hassan menolak permohonan Ahmad Dusuki Abd Rani untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Nordin yang bersidang bersama Hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Ravinthran Paramaguru berkata tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan Dusuki tidak memenuhi ambang ditetapkan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Katanya, persoalan berkenaan berasaskan fakta dan tidak membangkitkan isu berkepentingan awam.
Bagaimanapun, panel itu tidak memerintahkan Dusuki, yang juga bekas anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor, membayar kos kepada responden iaitu Majlis Agama Islam Selangor dan Jawatankuasa Tauliah negeri.
Jamil Yaacob dan Ashok K Raman mewakili Dusuki, manakala Arham Rahimy Hariri mewakili responden.
Pada 26 Feb, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Zaini Mazlan berkata mahkamah tidak boleh menggantikan keputusan pihak berkuasa awam dengan keputusan mereka sendiri dalam perkara yang melibatkan kuasa budi bicara.
Zaini berkata Dusuki tidak mengenal pasti mana-mana peruntukan undang-undang yang mewajibkan majlis berkenaan mengembalikan tauliah beliau yang telah tamat tempoh.
Hakim itu turut berkata Dusuki gagal membuktikan bahawa beliau mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mendapatkan pembaharuan tauliah secara automatik, manakala perintah mandamus yang dipohonnya akan membolehkannya mendapatkan lanjutan tanpa membuat permohonan baharu.
Katanya, Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan yang membolehkan campur tangan mahkamah rayuan.
Dusuki diberikan tauliah untuk mengajar agama di Selangor oleh majlis agama Islam negeri dan jawatankuasa tauliah. Tauliah itu ditarik balik pada 3 Mac 2022, walaupun tempohnya hanya akan berakhir pada 30 Jun 2023.
Dusuki kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mencabar penarikan balik tauliah berkenaan serta memohon perintah supaya responden melanjutkan tauliah itu selepas tarikh tamatnya.
Beliau turut menuntut ganti rugi dan pengisytiharan bahawa responden tidak boleh menghalangnya daripada mengajar agama di negeri itu kerana penglibatannya dalam politik.
Pada 5 Okt 2023, Mahkamah Tinggi membatalkan penarikan balik tauliah berkenaan dan memutuskan bahawa tindakan itu tidak sah serta terbatal.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi enggan melanjutkan tauliah tersebut selepas tarikh tamat yang ditetapkan atau memberikan pengisytiharan yang dipohon, sekali gus membawa kepada rayuan berkenaan.
