ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Pengurusan Bencana Kota Tinggi, Azmi Raob diiringi Pegawai JKM Kawasan Dun Penawar, Siti Syawarah Abd Rashid menyampaikan bantuan kepada Kardi.
KOTA TINGGI - Bau hangit yang dihidu seorang penyewa di Felda Air Tawar 5, dekat sini, membawa petanda sebelum rumah sewa didiaminya terbakar dalam kejadian pagi semalam.
Rumah jenis separuh kekal yang terletak di Jalan Utama Sungai Rengit-Kota Tinggi itu, musnah keseluruhan ekoran kejadian berkenaan.
Mangsa, Kardi Diarsi, 40, berkata, sebelum keluar rumah dia sempat memeriksa suis lampu dan suis utama agar telah dimatikan termasuk mencabut kepala tong gas dan mengunci meter paip air.
"Sebelum itu, kira-kira jam 8 pagi, saya ada terhidu bau hangit di ruang bilik hadapan tetapi tidak nampak sebarang tanda asap atau api. Setelah memastikan semua suis dimatikan barulah saya meninggalkan rumah kira-kira jam 8.45 pagi.
"Kemudian, saya terus pergi kerja di kebun sawit yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan menaiki motosikal. Saya dapat tahu kejadian yang berlaku selepas dihubungi seorang rakan, yang kebetulan melalui kawasan rumah saya," katanya.
Menurutnya, dia yang berasal dari Lombok, Jawa Timur, Indonesia, sudah lebih empat tahun menetap di situ.
Jelasnya, selain perkakas dan peralatan rumah milik tuan rumah yang musnah, pasport, pakaian dan wang simpanan miliknya berjumlah RM2,400 juga tidak dapat diselamatkan dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Abd Rahim Abdul Rani berkata, pihaknya mendapat maklumat kejadian itu pada jam 8.50 pagi dan bergegas ke lokasi bersama lima anggota dan sebuah jentera.
Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi jam 9.02 pagi dan turut menerima bantuan daripada lima anggota dan sebuah jentera yang datang dari Balai Bomba Dan Penyelamat Kota Tinggi.
"Apabila sampai di lokasi, kami dapati keseluruhan rumah itu sudah musnah terbakar. Bagaimanapun, ia tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan pihak bomba masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.