Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud : Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.
Imam al-Qurtubi Rahimahullah dalam tafsirnya ke atas ayat ini menyebut:
"Iaitu janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka".
Kemudian beliau berkata lagi: "Boleh juga ia membawa erti janganlah kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama Allah. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu dari berpecah belah dan saling bermusuhan".
"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan menerkam kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai". (HR Ahmad)