surfer957
Super Active Member
- Messages
- 7,974
- Joined
- Mar 30, 2008
- Messages
- 7,974
- Reaction score
- 26
- Points
- 70
BERSAMA setem yang memaparkan wajahnya sendiri.
Bersama abang posto.
KECOH jadinya apabila Aznil Haji Nawawi ‘menyelongkar’ Pos Malaysia Berhad di Kuala Lumpur pada 25 September lalu.
Misi menyerbu jabatan paling sibuk saat menjelang Syawal ini diilhamkan oleh pengacara tersohor ini sendiri.
Berderet alasan yang diberi Aznil. Mengapa dia mahu merakamkan gambar rayanya di pejabat pos.
Pertama, tentu kata Aznil untuk memberi penghargaan kepada kakitangan pos Malaysia yang tidak pernah jemu melunaskan tanggungjawab menghubungkan individu dengan cara konvensional di sebalik modenisasi yang semakin deras.
Kedua, kerana dia mahu mengetahui proses yang dilalui oleh sekeping surat atau kad raya sebelum dihantar posmen kepada tuan punya badan.
Ketiga, kerana dia mahu mendekati para posmen yang satu ketika dahulu menghantar surat dan kad raya dengan berjalan kaki, menaiki basikal dan kini menunggang motosikal, meredah hujan dan panas terik hanya untuk menyampaikan amanah seseorang kepada seseorang dengan sempurna.
“Dan keempat saya nak mengembalikan semangat bahawa menulis surat atau menghantar kad raya secara konvensional bukanlah satu sistem yang ketinggalan zaman.
“Sebaliknya, ia nampak lebih ikhlas dan mempunyai nilai sentimental tersendiri,” ujar Aznil yang hari itu tampak segar dalam busana berwarna hijau.
Lantas hampir dua jam Aznil yang hanya akan mula bercuti raya pada hari raya pertama kelak ini menyelongkar aktiviti dan meninjau proses mereka bekerja.
Kebetulan, itulah hari terakhir bagi para pekerja tambahan yang membantu melancarkan proses kad raya dihantar tepat sebelum umat Islam menyambut Syawal pada 1 Oktober ini.
Dan suasananya cukup sibuk. “Tahun lalu kita menerima lebih enam juta kad raya untuk dikirimkan. Kebanyakannya dihantar oleh individu di kawasan sebelah Utara sementara syarikat korporat di Lembah Klang.
“Ini sekali gus membuktikan bahawa kad raya masih relevan biarpun dunia sudah maju,” jelas Ketua Operasi Mel, WPKL, Shamsuddin Harun yang setia menemani kunjungan kami pada hari itu.
Bagi Aznil pula, dia mengakui banyak pengalaman baru dikutip, sambil dia sendiri berselang seli diserbu pekerja-pekerja berdedikasi Pos Malaysia yang tidak menyangka hari itu jabatan mereka akan dilawati oleh pengacara Macam-Macam Aznil ini.
“Saya kagum dengan kakitangan di sini yang cekap dan amanah.
“Saya kata amanah kerana sepanjang bersama mereka tadi, saya lihat mereka tidak ambil peduli atau cuba membuka surat-surat dan kad raya yang diproses sedangkan ada yang tertulis nama Tan Sri atau Datuk.
“Yang mereka pentingkan adalah kedudukan poskod supaya mereka boleh mengasingkan kad raya dan ia sampai tepat pada waktunya.
“Semangat bekerja mereka juga jelas terserlah. Sayang jika suatu hari kelak tenaga manusia ini akan turut diganti dengan sebuah mesin,” kata Aznil panjang lebar.
Berlumba kumpul kad raya
Aznil kemudian pantas terkenang nostalgia zaman kanak-kanaknya. Betapa kad raya yang dikirim teman-teman akan selalu menjadi satu perlumbaan dan kayu ukur dia dengan adik-beradik lain.
Melalui kiriman kad raya yang banyak, mereka akan tahu siapa di kalangan mereka yang lebih popular dan ramai kawan.
“Seronok bila ingat kembali zaman kanak-kanak. Sejak Ramadan pertama, kami sudah mula menanti abang posmen datang menghantar kad raya.
“Kemudian kami berlumba mengira siapa yang mendapat kad raya paling banyak dan kami akan gantung di dinding rumah sebagai hiasan” katanya ketawa.
Kerana nostalgia inilah dia selalu memilih cara konvensional untuk memberi ucapan Aidilfitri kepada sahabat handai dan peminatnya.
Biar modenisasi memberi khalayak peluang untuk menghantar ucapan hari raya dengan pantas dan menjimatkan wang serta masa, dia lebih tertarik untuk meneruskan ritual menulis kad raya sendiri.
Dan sentimentalnya kad raya, kata Aznil lagi berbanding e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) adalah tulisan tangan yang ditulis si pengirim kepadanya.
“Apabila kita menerima sekeping kad raya dengan tulisan tangan seseorang, saya berasakan ada hubungan dan keikhlasan yang telah terjalin di situ.
Misalnya biar orang selalu ketawa dengan pantun pecah kaca pecah gelas, tetapi nilainya tinggi,” jelasnya yang menyimpan kad raya sebagai koleksi.
Malah kata Aznil dia sendiri yang akan menulis dan membalas kad raya yang dihantar semua peminatnya dari seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei tanpa menggunakan khidmat pembantu peribadinya.
Menerima lebih 1,000 kad raya pada tahun ini, beritahu Aznil: “Saya menghargai setiap kad yang dikirim peminat saya. Sebab itu saya mahu membalas semua kad raya peminat saya.
“Saya sudah rasa ada hubungan antara kami dengan hanya berbalas kad raya. Awak tahu siapa yang pernah hantar kad raya pada saya? Pengurus saya, Azlan.
“Dia kata sewaktu zaman sekolah, dia pernah hantar kad raya pada saya dan saya balas. Itu yang saya maksudkan sebagai menghargai peminat dan hubungan antara kami.”
