NEMO
CG Super Hardcore Club



- Messages
- 109,177
Paid Membership
- Joined
- Jan 13, 2007
- Messages
- 109,177
- Reaction score
- 1,046
- Points
- 1,101
BAGI mereka yang melalui jalan Raub-Lipis termasuk menggunakan laluan alternatif untuk ke Kota Bharu, Kelantan pasti terpandang papan tanda Kampung Tanah Bercangkul di sebelah kiri jalan.
Terlintas di fikiran mengapa nama kampung ini Tanah Bercangkul? Seiring keunikan yang ada, penulis berkongsi asal usul pembukaan kampung serta bagaimana ia mendapat nama.
Merupakan salah satu daripada beberapa kawasan dalam Kampung Gali Tengah, biarpun antara kawasan paling lewat diterokai di sini, Tanah Bercangkul pada hari ini muncul sebagai satu lokaliti yang padat dan ramai penduduknya.
Komposisi penduduk Tanah Bercangkul terdiri daripada anak watan Gali Tengah yang menduduki kawasan ini secara warisan sejak puluhan tahun lalu dan juga penduduk kawasan lain yang membeli tanah dan membina petempatan di kawasan ini.
Kerja mencangkul asal nama kampung
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) di sini, Mohammad Razi Abdul Rahman yang ditemui berkongsi cerita, walaupun telah diduduki sekitar penghujung 1940an dan awal 1950an, pada mulanya kawasan ini masih belum ada nama rasminya.
“Nama Tanah Bercangkul ini mula jadi buah mulut dan sebutan orang ramai pada tahun 1950an iaitu ketika Public Works Department (PWD) membina dan menaik taraf jalan raya menghubungkan Raub-Lipis. Ketika kerja-kerja itu dilaksanakan di kawasan Tanah Bercangkul, buruh-buruh yang bekerja tersebut mencangkul tanah dan menambun tapak laluan jalan raya tersebut,” katanya.
Tambahnya, kerja-kerja tersebut dilakukan secara manual menggunakan tulang empat kerat dan kebanyakan buruh yang bekerja ketika itu terdiri daripada kaum Cina termasuk wanita.
“Mereka ini menggunakan cangkul dan pongkes untuk menambun laluan jalan tersebut. Kekerapan penduduk menyebut “tanah yang bercangkul” bagi merujuk kepada kawasan berkenaan menyebabkan kawasan ini terus disebut Tanah Bercangkul oleh penduduk kampung.
Mula diduduki penduduk
Tanah Bercangkul dikatakan mula diterokai penduduk sejak sebelum tanah air mencapai kemerdekaan.
Biarpun, tidak ada catatan bertulis yang merekodkan sejarah ini, penduduk asal Kampung Gali Tengah yang kini tinggal di kawasan Tanah Bercangkul iaitu Taib@Ahad Mat Lui, 77 berkata kawasan ini dipercayai mula diduduki penduduk pada sekitar penghujung tahun 1940an dan awal tahun 1950an.
Katanya, mereka dikatakan mula meneroka dan bercucuk tanam di Tanah Bercangkul dan mendirikan rumah secara petempatan berselerak.
”Antara beberapa penduduk terawal kawasan Tanah Bercangkul adalah Nudin (almarhum), anak Nudin iaitu Mohamed Sulong (almarhum) dan keluarganya terus tinggal di kawasan berkenaan hingga kini. Selain itu, Jamil (Allahyarham) juga merupakan seorang lagi peneroka terawal di Tanah Bercangkul. Pak Ngah Ripin (Allahyarham,) juga merupakan seorang lagi penduduk terawal yang dikatakan membuka petempatan di Tanah Bercangkul pada era sebelum merdeka,” katanya.
Selain itu, terdapat lagi beberapa keluarga lagi yang mula membuka dan membina petempatan di Tanah Bercangkul.
”Selepas negara mencapai kemerdekaan, penduduk yang mendiami kawasan Tanah Bercangkul mula memikirkan untuk memohon hak milik tanah yang mereka duduki. Kawasan tanah yang mereka duduki di Tanah Bercangkul ini dikatakan hak milik Raub Australian Gold Mining (RAGM), iaitu syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan emas berskala besar di Bukit Koman dan kawasan sekitarnya.
“Bagaimanapun, RAGM dikatakan tidak melakukan apa-apa aktiviti perlombongan di Tanah Bercangkul ketika itu. Tanah Bercangkul menurut penceritaan lisan penduduk terdahulu merupakan kawasan yang turut mempunyai emas di dasarnya,” ceritanya.
Usaha mohon hak milik
Kongsi beliau lagi, dengan inisiatif Mohamed Nasib Muhammad Jabar (Allahyarham) yang mesra dengan panggilan Pak Teh Mohamed Nasib, penduduk mula bersepakat dan Pak Teh Mohamed Nasib mengumpulkan nama penduduk yang berminat memohon hak milik tanah di kawasan tersebut.
“Pak Teh Mohamed Nasib merupakan penduduk Tanah Bercangkul yang bekerja sebagai petition writer di pejabat penghulu Mukim Gali II. Pak Teh Mohamed Nasib dikatakan penggerak yang mencetuskan kesedaran kepada penduduk untuk memohon hak milik tanah tersebut.
“Beliau turut bantu penduduk isi borang permohonan tanah tersebut berpadanan dengan kemahiran dan pekerjaannya di pejabat penghulu berkenaan.
Permohonan dikemukakan oleh penduduk kampung dengan bantuan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) yang diterajui oleh ketua kampung Kundur Khatib Nai (Allahyarham) dengan membayar yuran permohonan sebanyak seringgit bagi satu permohonan ketika itu.
"Alhamdulillah, permohonan penduduk ini dapat kelulusan pihak berkuasa dan setiap penduduk dikatakan menerima geran hak milik tanah seluas suku ekar seorang. Kelulusan ini disambut dengan kesyukuran oleh penduduk dan semakin ramai penduduk membina rumah dan bercucuk tanam di kawasan ini.
“Sungguh pun demikian, kebanyakan tanah yang diteroka dan diduduki adalah di kawasan hadapan yakni berhampiran dengan jalan raya (penduduk kampung menyebut jalan raya tersebut sebagai lebuh) yang menghubungkan Raub dengan Kuala Lipis ketika itu. Jalan kampung yang lebar dan sistematik dikatakan mula dibina pada tahun 1970an dan mula diturap tar pada awal tahun 1980an,” katanya.