BTC USD 76,222.4 Gold USD 4,349.87
Time now: Jun 1, 12:00 AM

INT Arsenal 0 - 0 Liverpool : Arsenal kempunan jarakkan mata

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,716
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,716
Reaction score
97
Points
80

Tak mungkin Liverpool mampu sekat Arsenal​

3394702.webp

Arsenal kini berada pada momentum terbaik untuk melebarkan rekod kemenangan dalam saingan liga.

LIVERPOOL bakal berdepan tugas berat apabila bertandang ke Stadium Emirates menentang pendahulu liga, Arsenal pada awal pagi Jumaat.

Walaupun mempamerkan sedikit peningkatan prestasi sejak sebulan lalu, The Reds masih ketinggalan jauh 14 mata di belakang The Gunners menjelang pertembungan tumpuan di utara London itu.

Permulaan separuh masa pertama musim yang mengecewakan memaksa Liverpool, yang pada awalnya diletakkan sebagai pasukan pilihan, merendahkan cita-cita mereka dan kini hanya menumpukan usaha untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

Sebaliknya, Arsenal kini berada di landasan terbaik untuk menjulang trofi EPL buat kali pertama sejak 2004.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu kini selesa memimpin liga dengan kelebihan enam mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City.

Biarpun Arsenal dikatakan sedikit goyah pada bulan lalu, rekod tujuh kemenangan berturut-turut termasuk kemenangan bergaya 4-1 ke atas Aston Villa telah melenyapkan keraguan tersebut.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp percaya Arsenal kini kembali ke tahap terbaik dan sukar digugat di puncak liga.

Beliau menjangkakan tuan rumah terlalu gagah buat Liverpool yang masih tercari-cari rentak konsisten.

"Ini adalah perlawanan tumpuan. Arsenal sempat berdepan tempoh sukar namun kini kembali ke prestasi sebenar dan mengukuhkan cengkaman di puncak liga.

"Saya rasa sukar untuk mana-mana pasukan menyekat mereka musim ini, lebih-lebih lagi mereka jarang keciciran mata di laman sendiri," kata Redknapp.

Mengulas mengenai prestasi Liverpool, Redknapp berpendapat pasukan itu tidak berhak mendapat lebih daripada satu mata ketika seri menentang Fulham sebelum ini.

"Mereka seolah-olah hilang dinamik di bahagian serangan, sesuatu yang mengejutkan saya memandangkan kualiti yang dimiliki.

"Kita telah melihat pasukan yang lebih hebat daripada Liverpool bertandang ke Arsenal musim ini dan bergelut. Saya meramalkan Arsenal akan menang 3-1," ujarnya.
 

Arsenal kempunan jarakkan mata, buntu diikat Liverpool​

3396017.webp

Arsenal diikat Liverpool tanpa jaringan dalam aksi Liga Perdana Inggeris. Foto: AFP

ARSENAL mensia-siakan peluang keemasan untuk mendahului lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 menentang Liverpool di Stadium Emirates pada Jumaat.

Walaupun gagal menjaringkan gol di laman sendiri buat kali pertama musim ini, keputusan itu sudah memadai buat The Gunners melebarkan kelebihan kepada enam mata berbanding pencabar terdekat di tangga kedua, Manchester City.

Kegagalan City mencatat kemenangan dalam tiga aksi berturut-turut sepanjang minggu lalu sebenarnya telah membuka ruang luas buat anak buah Mikel Arteta untuk menghampiri gelaran liga pertama mereka dalam tempoh 22 tahun.

Suasana di Emirates yang gamat sebelum wisel permulaan bagaimanapun bertukar sedikit hambar apabila pertembungan antara juara bertahan dan pasukan pilihan juara itu gagal memenuhi jangkaan.

Kedua-dua pasukan dilihat bergelut dengan keadaan cuaca buruk susulan Badai Goretti yang membawa hujan lebat serta angin kencang, sekaligus menyukarkan corak permainan.

Liverpool, yang merupakan salah satu daripada dua pasukan yang pernah menewaskan Arsenal musim ini, hampir memecah kebuntuan pada babak pertama menerusi Conor Bradley namun rembatannya sekadar menggegar palang gol.

Ia berpunca daripada hantaran ke belakang William Saliba yang hampir memerangkap penjaga gol, David Raya yang sudah tertewas di posisinya, namun nasib menyebelahi tuan rumah apabila lambungan Bradley terkena bahagian bawah palang.

Bersambung babak kedua, The Reds tampil lebih dominan menguasai bola dan kawasan namun ketiadaan tiga tonggak serangan utama merencatkan ketajaman di hadapan gol.

Ketiadaan Alexander Isak dan Hugo Ekitike yang cedera serta Mohamed Salah yang menyertai Piala Negara-Negara Afrika jelas dirasai pelawat.

Ancaman Liverpool hanya hadir menerusi larian deras Jeremie Frimpong yang kerap menguji pertahanan Arsenal, namun gagal melakukan hantaran akhir yang berkesan.

Peluang terbaik pelawat hadir menerusi sepakan percuma Dominik Szoboszlai yang hampir mengulangi jaringan memukau pada pertemuan terdahulu, namun rembatan derasnya tersasar sedikit pada saat akhir.

Di kem tuan rumah, Arteta terpaksa mengeluarkan Viktor Gyokeres selepas satu lagi persembahan kurang bermaya, menyaksikan kemarau jaringan penyerang itu dalam permainan terbuka kini berlanjutan kepada 10 perlawanan.

Arteta cuba mengubah nasib dengan memasukkan tenaga baharu dari bangku simpanan termasuk Gabriel Jesus, Noni Madueke, Eberechi Eze dan Gabriel Martinelli dalam usaha memburu gol kemenangan.

Bagaimanapun, mereka hanya berjaya menguji penjaga gol Liverpool, Alisson Becker pada masa kecederaan menerusi percubaan jarak dekat Jesus dan Martinelli.

Satu mata yang diraih menyaksikan Liverpool kini merekodkan 10 perlawanan tanpa kalah, sekaligus mengukuhkan cengkaman di tangga keempat dengan kelebihan tiga mata mengatasi Newcastle United dan Manchester United bagi pemburuan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
 

Tindakan Martinelli tolak Bradley dikecam​

3396020.webp

Insiden membabitkan Martinelli dan Bradley pada penghujung perlawanan.

PENYERANG Arsenal, Gabriel Martinelli dikecam hebat dan disifatkan sebagai 'memalukan' selepas tindakannya cuba menolak pemain Liverpool, Conor Bradley yang sedang mengalami kecederaan keluar dari padang pada penghujung aksi seri 0-0 pada Jumaat.

Dalam kejadian pada masa kecederaan itu, Bradley dilihat terjatuh dalam keadaan janggal berhampiran garisan tepi padang.

Martinelli yang menyangka pemain pertahanan Ireland Utara itu hanya cuba membuang masa, bertindak membaling bola ke arah Bradley sebelum mengasarinya secara fizikal untuk memaksa pemain itu bangun.

Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan pemain Liverpool sehingga berlaku pertikaman lidah dan tolak-menolak yang menyaksikan Martinelli serta Ibrahima Konate dilayangkan kad kuning. Bradley akhirnya terpaksa diusung keluar akibat kecederaan yang dialaminya.

Pengulas sukan Sky Sports, Gary Neville berang dengan tindakan pemain Brazil itu.

"Anda tidak boleh berbuat demikian. Ia sangat teruk. Saya rasa permohonan maaf perlu dibuat.

"Bradley sedang diusung keluar. Sejujurnya saya sangat marah dengan Martinelli. Memalukan. Saya terkejut tiada pemain Liverpool yang datang dan memukul Martinelli di situ," tegas bekas pertahanan Manchester United itu.

Nada sama turut disuarakan rakan setugasnya, Roy Keane yang mengkritik sikap Martinelli.

"Saya tidak sukakannya. Ia pernah berlaku kepada saya apabila saya cedera teruk dan pemain lawan berdiri di atas saya, ia bukan sesuatu yang baik.

"Saya terkejut pemain Liverpool tidak bertindak balas lebih agresif terhadap Martinelli. Kelakuan itu benar-benar memalukan. Tindakan yang tidak elok," ujar Keane.

Sementara itu, Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui bimbang dengan keadaan Bradley namun enggan terlalu menyalahkan Martinelli.

"Saya 100 peratus yakin jika dia (Martinelli) tahu tentang kecederaan itu, dia tidak akan berbuat demikian.

"Tetapi ia tidak kelihatan elok jika Bradley mengalami kecederaan serius seperti yang kami jangkakan. Anda tentu tidak suka melihat pemain dialihkan sebegitu jika dia mungkin mengalami kecederaan," katanya.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta pula tampil mempertahankan pemainnya dengan menegaskan Martinelli tidak akan bertindak sedemikian jika menyedari lawannya itu benar-benar cedera.

"Mungkin dia tidak tahu kerana mengenali Gabi (Martinelli), dia tiada niat jahat.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada Conor, harap ia tidak serius, tetapi jelas tiada niat daripada Gabi untuk melakukan sesuatu yang buruk kepadanya," jelas pengendali dari Sepanyol itu.
 
Back
Top
Log in Register