oldtbone
Legendary Member

- Messages
- 17,323
- Joined
- May 25, 2012
- Messages
- 17,323
- Reaction score
- 3,695
- Points
- 191
APMM menyelamatkan dua pelayar selepas kapal layar mereka terkandas di pantai Kampung Seh, Sedili Kecil, Kota Tinggi. Foto APMM
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan dua pelayar kapal IREEN yang dalam perjalanan ke Thailand selepas terkandas kira-kira 0.6 batu nautika dari pantai Kampung Seh, Sedili Kecil, Kota Tinggi, awal pagi hari ini.
Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4 pagi sebelum Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, kapal IREEN terbabit belayar dari Marina Sebana Cove, Pengerang menuju ke Naratiwat, Thailand sebelum bilik jentera kapal layar dimasuki air akibat cuaca buruk mengakibatkan kapal itu hilang kawalan dan terdampar di pantai berhampiran kampung berkenaan.
Katanya, dua mangsa, iaitu kapten kapal layar IREEN, Robert David, 61, warga Amerika Syarikat bersama kru dikenali sebagai Nongpet, 40, warga Thailand, dijumpai selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan penyelamat APMM yang tiba di lokasi kejadian mendapati kapal layar terbabit sudah terdampar dalam keadaan stabil di pantai.
“Operasi penyelamatan selesai kira-kira 6 pagi. Mangsa bersama kapal layar masih ada di pantai itu, cuma APMM membantu kapten untuk mencari kontraktor membaiki kapal sebelum boleh meneruskan pelayaran,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Aminuddin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mementingkan aspek keselamatan dan memastikan maklumat ramalan cuaca apabila belayar ke laut bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Dalam masa sama, mereka juga disarankan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Daerah Maritim Johor Bahru di talian 07-2199496 untuk aduan atau sebarang kecemasan di laut,” katanya.
sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/01/417465/apmm-selamatkan-pelayar-terkandas
.