BTC USD 75,470.9 Gold USD 4,282.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Article Discussion Apakah yang boleh dijangkakan murid sekolah rendah daripada makanan dapur pusat?

adi19

Fun Poster
Messages
765
Joined
Oct 30, 2013
Messages
765
Reaction score
3
Points
25
screenshot-2025-09-30-063352.png

Sampel makanan dari syarikat katering Gourmetz. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

SINGAPURA: Apakah yang diperlukan untuk menyediakan hidangan yang menarik selera murid sekolah rendah? Menurut sebuah syarikat katering yang akan menguruskan beberapa kantin sekolah mulai Januari tahun depan, warna sayur-sayuran juga penting.

"Kami memikirkan jenis sayur-sayuran yang hendak digunakan. Sebenarnya, kebanyakan kanak-kanak tidak mempunyai cita rasa yang rumit; malah, kebiasaan itu adalah satu keselesaan," kata Encik Desmond Chin, Pengarah Urusan syarikat katering Gourmetz.

ADVERTISEMENT

"Jadi kami cenderung menggunakan brokoli, bunga kobis, sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam – itu sahaja. Kami tidak akan memberi mereka bahan yang mewah seperti asparagus."

Mulai Januari tahun depan, 13 sekolah di serata Singapura akan melancarkan model dapur pusat di kantin mereka. Inisiatif ini berdasarkan projek rintis 2022 di Sekolah Menengah Yusof Ishak, yang dikendalikan oleh syarikat katering SATS.

Gourmetz akan mengendalikan lima daripada 13 kantin sekolah yang mengguna pakai model baharu ini – Sekolah Rendah Blangah Rise, CHIJ Kellock, Sekolah Rendah Radin Mas, Sekolah Rendah River Valley, dan Sekolah Menengah Outram di kampus York Hill sehingga ia ditutup pada 2027 kelak.

Chang Cheng Mee Wah akan menguruskan kantin di Sekolah Rendah Dazhong, Kranji, Pioneer, Qifa dan West View, manakala Wilmar Distribution akan menguruskan kantin di Sekolah Rendah Casuarina, Chongzheng, Northoaks, dan kampus baharu Sekolah Menengah Outram di Anchorvale Crescent.

Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan, walaupun kebanyakan sekolah kini mempunyai bilangan gerai kantin yang mencukupi, ada yang berdepan kesukaran yang semakin meningkat untuk menarik pegerai mengisi kekosongan, walaupun dengan kadar sewa yang rendah.

ADVERTISEMENT

"Sekolah juga berdepan persaingan untuk mendapatkan pegerai daripada pusat penjaja, dan kedai makan lain, yang melayani jumlah pelanggan yang lebih besar," katanya.

MOE menyatakan projek perintis di Sekolah Menengah Yusof Ishak menunjukkan hasil yang "menggalakkan," sambil menambah bahawa 13 sekolah memilih untuk mengguna pakai model dapur pusat kerana pegerai sudah bersara dan gerai-gerai kosong masih belum diisi.

Pegerai sedia ada mungkin dirujuk ke sekolah lain atau disyorkan untuk bekerja dengan pengendali dapur pusat.

Walaupun model dapur pusat memastikan akses kepada hidangan yang sihat dan harga yang berpatutan, model tradisional dengan pegerai tunggal kekal sebagai pilihan utama.

MENU DITUKAR SECARA BERGILIR

ADVERTISEMENT

Di kantin yang dikendalikan Gourmetz, hidangan akan dirancang dalam tempoh lima minggu. Para murid dan pelajar boleh menjangkakan lima hingga tujuh pilihan hidangan harian – termasuk pilihan vegetarian, antarabangsa, tempatan, masakan Barat, dan nasi ayam.

Sesetengah sekolah akan mempunyai gerai yang menjual mi, makanan ringan, dan minuman.

Mediacorp mencuba tiga hidangan yang akan disediakan kepada pelajar: nasi ayam, makaroni cendawan dengan isi ayam panggang dan brokoli, dan spageti aglio olio dengan sos cendawan, ikan goreng, dan bunga kobis.

Nasi ayam akan menjadi sajian harian. "Terdapat sesetengah kanak-kanak, disebabkan persekitaran atau pilihan, mereka hanya makan nasi ayam," kata Encik Chin, memetik tinjauan kanak-kanak dari sekolah aliran utama dan antarabangsa.

Nasi ayam itu wangi dan lebih enak daripada yang dijangkakan, dan ayamnya tidak bertulang dan tidak berkulit – selaras dengan garis panduan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB). Versi bijirin penuh makaroni dan spageti digunakan, dan makanan akan dihidangkan dalam dulang boleh guna semula dengan bahagian untuk karbohidrat, protein, dan 50g sayur-sayuran.

ADVERTISEMENT

Setiap hidangan berharga antara S$2.20 hingga S$3 bergantung kepada saiz hidangan. Gourmetz juga merancang untuk menawarkan buah-buahan percuma di kaunter berasingan.

Gourmetz pada masa ini membekalkan makanan kepada prasekolah, sekolah antarabangsa, dan pusat penjagaan warga emas. Encik Chin berkata satu cabaran adalah menjadikan makanan menarik kepada kanak-kanak, terutamanya apabila memperkenalkan bijirin dan sayur-sayuran yang lebih sihat.

"Mungkin ada beberapa aduan daripada ibu bapa atau mungkin daripada kanak-kanak pada peringkat permulaan bahawa ia terlalu sihat," kata Encik Chin. "Kami boleh mengubah suai menu supaya kanak-kanak masih menikmatinya."

Sebagai contoh, mi bijirin penuh mungkin mempunyai rasa masam, dan nasi bijirin campuran boleh menjadi lebih keras daripada nasi putih, yang mungkin memerlukan masa untuk membiasakan diri, tambahnya.

Beliau menggesa ibu bapa dan guru untuk membantu proses peralihan itu: "Pasti akan ada aduan. Jadi jika mereka mengatakan sayur-sayuran terlalu banyak, atau sebagainya, mereka perlu memainkan peranan mereka untuk menggalakkan anak-anak mereka (memakannya)."

MASA MENUNGGU LEBIH SINGKAT

Seperti gerai kantin sedia ada, pengendali dapur pusat mesti mematuhi garis panduan HPB. Hidangan mesti mengandungi bijirin penuh, 50g sayur-sayuran, dan 50g protein. Menggoreng dengan minyak yang banyak tidak dibenarkan.

Selepas berpindah ke Punggol pada 2022, Sekolah Menengah Yusof Ishak melaksanakan model hibrid, menggabungkan hidangan bento dapur pusat SATS dengan pilihan makanan tambahan. Ini termasuk tiga gerai yang menawarkan makanan ringan, mi sup, dan buah-buahan segar, serta mesin layan diri untuk minuman, makanan ringan, dan sandwic panas.

Pengetuanya Chen Ziyang memberitahu Mediacorp bahawa model itu sudah "menyingkatkan secara signifikan" masa menunggu berbanding dengan barisan kantin tradisional, dan pelajar serta ibu bapa sedia maklum tentang peningkatan itu.

Kakitangan dan pelajar mesti membuat pesanan melalui platform online sekurang-kurangnya dua hari lebih awal. Menu harian mempunyai tujuh hidangan lengkap, dua hidangan ringan, dan dua makanan ringan. Kira-kira 90 pilihan tersedia setiap penggal, termasuk makanan tempatan seperti nasi lemak.

Di sekolah yang dikendalikan oleh Gourmetz, pelajar boleh memilih hidangan mereka seawal tiga bulan atau selewat-lewatnya sehari lebih awal. Perubahan boleh dibuat sehingga sehari sebelum hidangan disediakan.

Pada hari tersebut, pelajar menggunakan kad EZ-Link mereka atau loker makanan, yang mengeluarkan hidangan.

Makanan akan dimasak di dapur pusat Gourmetz dan dibawa ke sekolah menggunakan alat pemanas. Hidangan dipindahkan ke loker makanan 15 minit sebelum waktu rehat.

Gourmetz juga akan menyediakan hidangan tambahan setiap hari untuk memenuhi keperluan mereka yang terlupa untuk membuat pesanan awal, kata Encik Chin.

Menyentuh tentang kebimbangan bahawa makanan yang dipesan lebih awal mungkin tidak mengajar pelajar cara menguruskan wang seperti kantin tradisional, Encik Chin berkata sistem itu merangkumi e-dompet. Ibu bapa boleh menambah nilai e-dompet untuk pembelian makanan ringan dan minuman, membolehkan pelajar mempelajari kemahiran menguruskan kewangan.

Dengan pembayaran kod QR dan e-dompet menjadi perkara biasa, ini akan membantu pelajar belajar cara menggunakannya, tambahnya.

 
Back
Top
Log in Register