ajakio85
Active+ Member
- Messages
- 2,868
- Joined
- Feb 1, 2008
- Messages
- 2,868
- Reaction score
- 183
- Points
- 38
"TERDAPAT dua golongan dalam kalangan umat aku, jika mereka baik, maka akan baiklah manusia: pemerintah dan ahli fiqh – dalam riwayat yang lain disebut- ulama."
Kedudukan hadis ini di sisi sarjana hadis, ia tidak sahih. Sebahagian menilainya sebagai hadis daif (lemah) bahkan ada juga yang menilainya sebagai mauduk’ (palsu).
Hadis ini mempunyai masalah pada sanadnya (susur jalur periwayat). Salah seorang periwayatnya iaitu Muhammad bin Ziyad adalah seorang yang dikenali sebagai pendusta dan mencipta hadis palsu. Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Ahadith Al-Dhaifah wa Al-Maudhua'h menukilkan pendapat ini daripada Imam Ahmad, Ibn Ma'in dan Al-Daruqutni.
Ibn Hajar Al-Asqalani dalam kitab Tahzib Al-Tahzib juga menukilkan pendapat daripada golongan sarjana hadis lain perihal Muhammad bin Ziyad. Antaranya ialah pendapat daripada Abu Hatim, Al-Bukhari, Al-Nasai, Al-Tirmizi, Ibn Hibban dan sebagainya. Kesimpulannya, Muhammad bin Ziyad adalah seorang yang lemah dan tidak dipercayai dalam kalangan mereka.
Jadi, hadis ini tidak boleh digunakan sebagai hujah. Namun begitu, kandungan hadis ini boleh dijadikan pengajaran di samping hadis-hadis sahih lain yang banyak membicarakan berkenaan pemerintah dan ulama.
Dua institusi penting
Tidak dinafikan pemerintah dan ulama adalah dua golongan yang penting dalam sesebuah masyarakat. Pemerintah memimpin rakyat untuk hidup sejahtera. Manakala ulama membimbing umat agar hidup berlandaskan agama. Dua golongan ini saling memerlukan.
Sekiranya pemerintah mentadbir dengan amanah, jujur dan adil, maka rakyat juga akan menikmati kehidupan yang tenang dan harmoni. Begitu juga ulama. Ulama yang menguasai manhaj (metodologi) beragama yang betul, akan mendidik masyarakat dengan kefahaman agama yang betul. Beramal di atas dalil yang sahih. Membanteras bidaah dan khurafat. Tidak takjub kepada satu mazhab sahaja dan menguruskan perbezaan pandangan dengan ilmiah dan matang.
Nasib pemerintah di akhirat
Rakyat sangat mengharapkan orang yang menjadi ketua mereka ialah pemimpin yang adil dan menjalankan pemerintahannya dengan penuh keadilan. Amanah dengan jawatan, tiada penyelewengan. Nasib dan hak rakyat terbela tanpa ada sebarang kezaliman. Pemimpin seperti inilah yang disenaraikan oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu golongan yang akan mendapat naungan ALLAH di hari kiamat kelak.
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh golongan yang ALLAH akan menaungi mereka pada hari tidak ada naungan melainkan naungan ALLAH: 1) Pemerintah yang adil..." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Maka, seorang pemimpin boleh berada di dalam dua keadaan di akhirat kelak. Sama ada jawatannya dapat membantu untuk mendapat rahmat ALLAH dan dimasukkan ke dalam syurga, apabila dia memimpin dan memerintah dengan penuh keadilan. Atau, jawatan yang dipegang akan menyebabkannya mendapat kemurkaan ALLAH, disebabkan dia menjadi pemerintah yang zalim dan khianat kepada rakyatnya.
Sebab itu, Rasulullah SAW telah memberi amaran dan peringatan yang keras kepada golongan pemimpin yang tidak menjalankan pemerintahan mereka dengan adil. Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Empat golongan yang ALLAH benci kepada mereka: (salah satu golongan tersebut ialah) pemimpin yang zalim." (Riwayat Al-Nasaie & Ibn Hibban, hadis hasan)
Anas bin Malik juga meriwayatkan Rasulullah SAW menyebut: "Sesiapa yang bertanggungjawab menguruskan sesuatu urusan kaum Muslimin, kemudian dia menipu mereka, maka dia di dalam neraka." (Riwayat Al-Tabrani, hadis sahih)
Justeru, mereka yang diberikan tanggungjawab menjadi pemerintah atau pemimpin dalam sesuatu urusan, hendaklah melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh adil, kerana kelak dia akan dipersoalkan. Rakyat atau orang yang dipimpin mengharap dan mengasihi pemerintah yang adil, bercakap benar, mengutamakan kepentingan rakyat, tidak mengamalkan rasuah dan sebagainya.
Mungkin, pesanan berikut boleh dijadikan renungan untuk kita bersama.
Aisyah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda : "Sekiranya ALLAH mahukan kebaikan kepada seseorang pemerintah, ALLAH akan jadikan baginya menteri/pembantu yang benar. Jika pemerintah itu terlupa, menterinya akan mengingatkannya, jika dia ingat, menteri tersebut akan membantunya. Sekiranya ALLAH mahukan kepada pemerintah itu selainnya (iaitu keburukan), maka ALLAH akan jadikan baginya menteri/pembantu yang jahat. Jika dia terlupa, menteri itu tidak akan mengingatkannya, jika dia ingat, menteri itu tidak membantunya." (Riwayat Abu Daud & Ibn Hibban, hadis sahih li ghairihi)
Ulama seumpama anjing
Selain pemerintah, satu lagi entiti penting dalam sesebuah masyarakat ialah golongan sarjana agama atau ulama. Sesebuah masyarakat yang mempunyai ulama akan menjadikan kehidupan masyarakat tersebut berada di atas landasan yang betul. Ini kerana, ulama adalah golongan yang mewarisi tugas nabi-nabi yang mengajak umatnya ke arah kebaikan dan mencegah kejahatan. Hal ini akan berlaku jika ulama benar-benar menjalankan tugasnya tanpa ada sebarang rasa takut dan tidak menyembunyikan kebenaran.
Namun begitu, perkara sebaliknya akan berlaku kepada masyarakat jika wujud ulama yang tidak menyampaikan kebenaran. Malah lebih parah lagi jika mereka pula yang menyelewengkan fakta dan kebenaran, dikaburi dengan satu dua ayat-ayat al-Quran dan hadis sebagai alasan. Lagi memeritkan sekiranya 'orang agama' menjadi pembela, penyokong dan 'penyuci dosa' kepada kejahatan dan penyelewengan pemerintah.
Itu belum dikira lagi golongan agama yang mempergunakan nilai agama dan jawatan yang disandang bagi mengisi kantung peribadi. Kerusi agama yang diduduki seakan-akan tidak dapat dirasai apakah kesannya kepada pembangunan nilai Islam. Sanggup mendiamkan kebatilan yang berlaku demi memastikan jawatannya tidak melayang. Apa yang disuarakan ialah perkataan bagus yang mahu didengari oleh pihak tertentu sahaja. Alangkah rendahnya maruah orang agama jika perlu menuruti perintah orang lain sehingga membelakangkan perintah al-Quran dan sunnah yang dipelajarinya.
Al-Quran tidak pernah mengelar orang lain dengan perumpamaan anjing melainkan kepada golongan agama yang sanggup menjual agama demi kepentingan peribadi.
"Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat Kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir." (Surah Al-'A'raf: 175-176)
Oleh itu, dalam membina kehidupan dunia yang harmoni bagi menuju kehidupan akhirat yang dirahmati, kita perlukan kepada pemimpin yang mampu mentadbir dengan baik, amanah dengan jawatannya dan adil kepada rakyat. Begitu juga dengan ulama. Kita perlu merujuk kepada ulama yang jujur dengan ilmu, berani menyatakan kebenaran, tidak memperdagangkan agama untuk keuntungan diri, menguruskan perbezaan pandangan dengan matang dan mengajak manusia untuk mengangkat dan membesarkan ALLAH, bukan membesarkan dirinya.
ABD RAZAK MUTHALIB, Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM