BTC USD 81,519.0 Gold USD 4,165.56
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Angkat berat keliru

TXT

CG Super Hardcore Club
gemgemgemgemgemgem
Messages
459,648
Paid Membership
Joined
Mar 15, 2010
Messages
459,648
Reaction score
38,262
Points
2,836
KUALA LUMPUR - Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengambil pendirian mempertahankan seorang atletnya yang positif ujian doping sampel A Sukan SEA XXVI 2011 sementara menunggu keputusan sampel B.

Presidennya, Zafarul Akbar Kassim bagaimanapun menegaskan, pendirian itu tidak bermakna PABM memandang remeh terhadap perbuatan atletnya yang didapati mengambil bahan rangsangan terlarang.

Justeru jelasnya, andai sampel B pada akhirnya berkesudahan sama, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap atlet terbabit mengikut peraturan Persekutuan Angkat Berat Asia.

"Saya menyokong apa yang dinyatakan Setiausaha MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Datuk Sieh Kok Chi iaitu kedua-dua atlet terbabit tidak bersalah sehingga keputusan muktamad sampel B diperoleh.

"Lagi pun, pernah ada kes-kes sebelum ini yang mana melibatkan sampel A positif, tetapi pada akhirnya keputusan sampel B yang diperolehi pula adalah negatif.

"Terdapat banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi ujian, perkara seperti kemungkinan bertukarnya sampel air kencing, ia tidak mustahil ," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Zafarul turut melahirkan rasa terkilan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku pada atlet naungan persatuannya itu, meskipun pelbagai langkah proaktif telah diambil sebelum para atletnya dihantar bertanding.

Jelasnya, PABM telah melaksanakan program latihan pusat dengan semua badang yang bakal bertanding untuk Sukan SEA dan Kejohanan Dunia di Paris diminta berkampung di China selama 45 hari.

"Kenapa kita lakukan program sebegini? Inilah bukti terbaik menunjukkan betapa serius PABM mahu memastikan semua atlet berat menjalani persiapan rapi yang merangkumi penjagaan pemakanan dan segala pengambilan suplemen dengan sempurna.

"Malah kami sengaja memilih tempat latihan yang terletak di pedalaman untuk memastikan atlet-atlet tidak berkesempatan keluar dengan sesuka hati dan melanggari diet pemakanan.

"Sebelum berlepas ke China, para pegawai juga membuat pemeriksaan untuk memastikan atlet-atlet tidak membawa ubat-ubatan sendiri. Segala pengambilan suplemen adalah dikawal serapinya oleh para jurulatih.

"Jadi saya tidak faham, Malaysia ada tiga pemenang pingat kesemuanya, satu perak dan dua gangsa... kalau dia sangkut, kenapa dua lagi rakannya tidak sedangkan semua mengikuti kem latihan yang sama," jelasnya.

Zafarul menambah, rekod bersih atlet terbabit yang telah menabur bakti selama 10 tahun lamanya juga menjadi bukti terbaik dia bukan seorang atlet yang sanggup 'bermain kotor'.

"Saya doakan yang terbaik untuk atlet itu. Kalau sampel B dia sangkut juga yang mana saya harap ia tidak berlaku, PABM akan menghukumnya.

"Namun, ini tidak bermakna kariernya sebagai atlet musnah. Lihatlah Amirul (Hamizan Ibrahim), dia berjaya bangkit biarpun selepas digantung dua tahun," ujarnya.
 
Back
Top
Log in Register