BTC USD 63,954.0 Gold USD 4,331.37
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Angkara Minyak Senyonyong

lempeng

Fun Poster
Messages
895
Joined
Dec 16, 2005
Messages
895
Reaction score
145
Points
23

Muka berulat, jasad berminyak: Angkara minyak senyonyong



Seperti diceritakan Md. Shah Saad, seorang pemandu ambulans kepada wartawan eksekutif Mastika, Mohd. Ikhwan Ab. Ghani



Suatu malam, kira-kira dua tahun lalu saya ditugaskan mengambil satu mayat warga emas di sebuah rumah di utara tanah air.

Sebagai seorang pemandu ambulans, saya terus menuju ke rumah berkenaan sebaik mendapat panggilan kecemasan dari penduduk.

Sebaik saja sampai di sana, saya lihat orang ramai sudah penuh mengerumuni rumah tersebut. Sejurus turun dari ambulans, saya terhidu bau yang sungguh busuk. Saya menyapa seorang lelaki di situ.

“Dah mati ke?” soal saya.
Lelaki itu menganggukkan kepala.

“Kuat baunya. Dah lama ke dia mati?”

Lelaki itu menggelengkan kepala. Menurut lelaki itu yang juga ahli jawatankuasa surau di kawasan itu, si mati sudah hampir seminggu tidak kelihatan di surau.

Sebelum itu, lelaki berkenaan memberitahu si mati selalu dilihat pergi sembahyang berjemaah di surau. Disebabkan sudah hampir seminggu tidak kelihatan, ahli-ahli surau menjenguk ke rumahnya. Setibanya di rumah si polan itulah, mereka terhidu bau yang busuk.

Lantas mereka tidak berani masuk. Risau jika sesuatu yang buruk berlaku. Lantaran itu, mereka segera menghubungi pihak polis.

Begitulah penjelasan lelaki tersebut panjang lebar.



Saya mengangguk tanda faham apa yang telah berlaku. Lalu, saya beranikan diri melangkah masuk ke dalam rumah. Bau mayat sungguh kuat dan amat busuk.

Saya hampiri sekumpulan anggota polis yang sedang bertugas. Apabila sampai di situ, masya-Allah, saya terkejut apabila melihat mayat seorang lelaki berusia 80-an duduk dalam keadaan yang mengerikan.

Tangan lelaki itu berpaut pada kerusi dan lutut kanannya tersembam ke tanah. Mayat itu berada betul-betul di depan tandas. Saya dekati mayat itu. Muka lelaki itu sudah berulat. Tidak nampak lagi wajah sebenarnya. Tapi yang menghairankan saya, seluruh tubuhnya walaupun sudah kembung, tetapi seluruh badannya berminyak.

Sepatutnya dagingnya sudah lembik jika mayat sudah dalam keadaan kembung sedemikian rupa. Tetapi situasi mayat ini pelik sungguh — masih okey dan tidak hancur.

Melalui bantuan beberapa orang anggota polis, saya berjaya mengangkat mayat tersebut masuk ke dalam ambulans. Dahsyat. Bau mayat itu sungguh busuk dan meloyakan.

Walaupun sudah biasa dengan bau mayat, tetapi mayat ini membuatkan saya hampir termuntah.

Sampai saja di bilik mayat, saya amati wajah lelaki tua itu. Saya seakan kenal dengan lelaki itu. Tetapi disebabkan wajahnya sudah berulat dan hancur, saya hanya berani mengagak tetapi tidak berani mengesahkannya.

Semasa berada di luar bilik mayat, saya bertemu dengan seorang lelaki yang ditemui semasa berada di rumah arwah si mati.

“Siapa arwah tu?” soal saya.
“Ehh, takkan tak kenal. Itu kan mayat si polan yang terkenal dengan romeonya dulu,” balas lelaki itu tersengih.

Oh ya! Memang saya sudah mengagak. Agakan saya tepat. Memang dialah yang saya sangkakan awal-awal tadi. Tapi kenapa mayat arwah jadi begitu?

Memang suatu ketika dahulu, arwah ini seorang yang sungguh kacak dan didambakan ramai gadis. Dia juga terkenal dengan gelaran ‘playboy’. Ramai gadis yang mahu mendekatinya.

Selebihnya saya tidak mahu cerita. Saya tidak mahu mengaibkan si mati. Biarlah kisah perangainya dulu terkubur bersama jasadnya.

Cuma apa yang saya ingin tekankan, si mati dulu ialah seorang romeo yang terkenal di kawasan tempat tinggalnya.

Namun, persoalan demi persoalan menerjah ke dalam fikiran saya ketika itu. Kenapa wajahnya dimakan ulat, manakala tubuhnya berminyak? Satu persoalan, kenapa tiada seekor pun ulat yang mengerumuni tubuhnya. Pelik!

Menurut cerita lelaki itu lagi, arwah mengamalkan ilmu pemanis. Dengar cerita dia pakai minyak senyonyong. Minyak yang dipuja itulah kononnya menjadikan arwah semasa mudanya kelihatan manis dan kacak di mata gadis. Selain itu, sesiapa sahaja yang memandang lelaki ini juga akan jatuh kasih dan sayang secara automatik.

Mungkin disebabkan itulah seluruh tubuhnya berminyak. Mungkin ilmu itu masih lagi diamalkannya sehingga dia meninggal.

Tapi kenapa mukanya sahaja yang dimakan ulat?

Lelaki tersebut menerangkan – menurut apa yang dia tahu, minyak senyonyong dipakai pada muka untuk menaikkan seri wajah. Mungkin disebabkan itulah ulat berebut-rebut hendak memakan mukanya yang disapu minyak senyonyong.

Ada kemungkinan juga, Allah mahu menunjukkan kebesaran-Nya serta memberi pengajaran kepada mereka yang masih hidup.

“Tapi, bukankah arwah ni sudah insaf dan selalu pergi ke surau?” soal saya lagi kepada lelaki berkenaan.

Lelaki itu menganggukkan kepala. Mengikut pandangan lelaki itu, arwah memang selalu ke surau, tetapi cara dia bersembahyang sangat pelik.

Semasa sembahyang arwah kerap menoleh ke kiri dan ke kanan dan ke belakang untuk lihat jemaah lain. Sesiapa yang bersembahyang di sebelahnya memang tidak khusyuk.

Kadang-kadang terfikir juga, jika begitulah sikapnya, lebih baik rasanya arwah sembahyang di rumah untuk mengelakkan dia mengganggu jemaah lain.

Tapi dari sudut lain, kita tidak boleh membaca isi hatinya. Mungkin dia benar-benar mahu berubah. Dan kita tidak boleh melarang dia daripada melakukan kebaikan. Jelas lelaki itu lagi dengan panjang lebar.

Ada betulnya kata-kata lelaki tersebut yang bercerita panjang lebar tentang arwah. Tapi bau mayat lelaki itu masih lagi menusuk-nusuk hidung.

Bau itu membuatkan saya terbayang-bayang keadaan mayat, sungguh menyedihkan. Bulu roma saya meremang. Saya cuba berprasangka baik. Saya tidak mahu menyimpan perasaan buruk kepada si mati. Apa yang terjadi mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Apa yang saya fikirkan, Allah mahu menunjukkan bahawa sesiapa yang melakukan perkara yang syirik, atas dunia lagi Allah telah menghina mereka — seperti yang difirmankan Allah dalam surah Yunus ayat 27 yang bermaksud:

“Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kebinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksaan) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”



:::::::::::::::::::sumber: Mastika, Nov 2011
 
Back
Top
Log in Register