KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan empat bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh selepas dibelasah hingga parah oleh empat pelajar lain menggunakan topi keledar dalam kejadian di depan kafe siber di pekan Rawang, dekat sini, kira-kira jam 6 petang, Sabtu lalu.
Kejadian tercetus apabila mangsa, Mohd Khairul Nizam Mohamad bersama rakan sebayanya, Mohd Ilyas Mazlan, kedua-duanya berusia 16 tahun, pergi ke kafe siber berkenaan untuk bermain permainan video, namun gerak-geri mereka tidak disenangi sekumpulan empat pelajar lain.
Mohd Khairul dan Mohd Ilyas yang curiga dengan gelagat keempat-empat pelajar terbabit kemudian saling jeling-menjeling sesama mereka sehingga menimbulkan keadaan kurang selesa dan seterusnya ketegangan yang kemudian mencetuskan pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata pergaduhan antara dua kumpulan pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu berlaku di sebuah kafe siber di belakang pasar baru Rawang, sejurus selepas Mohd Khairul dan Mohd Ilyas keluar dari premis terbabit.
Sejurus selepas itu, katanya, kedua-dua rakan berkenaan dihampiri empat pelajar lelaki tingkatan empat dan lima, lalu memukul mereka.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipukul menggunakan topi keledar menyebabkan kepalanya cedera parah. Ia dipercayai berlaku berikutan salah faham antara mangsa dengan kumpulan pelajar terbabit.
“Bagaimanapun, kawan mangsa sempat melarikan diri dan hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membawa Mohd Khairul ke Hospital Selayang, tetapi dia terpaksa dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh berikutan kecederaan serius yang dialaminya di kepala dan telinga.
Abdul Rahim menjelaskan, Mohd Khairul pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh, Hulu Selangor, kini koma, namun stabil dan dijangka menjalani pembedahan kedua membuang darah beku di belakang kepalanya.
Menurutnya, Mohd Ilyas yang sempat menyelamatkan diri kemudian membuat laporan polis dan mendakwa bengkak di kepala serta cedera di beberapa anggota badan.
Pihak polis sudah mengenal pasti semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan mereka dipercayai mempunyai masalah disiplin di sekolah masing-masing. Ada antara mereka tidak hadir ke sekolah sehingga 30 hari.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan yang sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, denda atau sebatan,” katanya.
Sementara itu, usaha Harian Metro menemui keluarga mangsa di Hospital Sungai Buloh, malam tadi, tidak berhasil apabila dimaklumkan pengawal keselamatan hospital itu mereka sudah pulang dan tiada pelawat dibenarkan menziarahi pesakit di ICU sehingga tengah hari ini.