balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Ramli dan Shamsiah menunjukkan sebahagian sijil yang pernah dimenangi.
< 1 / 2 >
SEBERANG TAKIR – Memegang pada kata-kata hikmah, anak adalah pembawa rezeki mendorong pasangan suami isteri, Mohd Jusoh@Ramli Yusof, 70, dan Hasanah@Shamsiah Hasnah Samad, 65, terus tabah membesarkan 17 anak sehingga menjadi orang berjaya.
Malah, pencapaian anak berusia antara 20 dan 49 tahun itu juga bukan calang-calang apabila ada yang bergelar peguam, pegawai kerajaan, guru, ahli perniagaan dan beberapa jawatan penting lain.
Semangat dan kekuatan yang ditunjukkan pasangan suami isteri itu bukan sahaja mampu dijadikan contoh buat pasangan lain, malah lebih membanggakan kesemua 17 anak iaitu 10 perempuan dan tujuh lelaki yang diperoleh melalui perkongsian hidup selama lebih 50 tahun, berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Atas ketabahan dan kejayaan mendidik anak itu juga turut membuatkan keluarga Ramli yang juga merupakan imam Masjid Kampung Banggol Pauh menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah termasuk keluarga mithali, keluarga miskin anak cemerlang, imam cemerlang dan banyak lagi.
Bercerita lebih lanjut mengenai keluarga besarnya itu, Ramli berkata, bukan mudah untuk mendidik anak apatah lagi dengan pekerjaannya ketika itu sebagai pemandu ambulans dan isterinya pula hanya suri rumah, namun berkat kesabaran dan pengorbanan akhirnya membuahkan kemanisan.
Didik anak bersederhana
“Alhamdulillah, tiada yang lebih membahagiakan buat saya dan isteri apabila melihat anak berjaya dalam bidang masing-masing.
"Pakcik didik anak agar hidup secara sederhana kerana pendapatan kecil buatkan kami serba kekurangan," katanya.
Kata Ramli, pendapatannya sebagai pemandu ambulans tidak seberapa, manakala anak pula ketika itu masih kecil dan hampir sebaya kerana jarak antara mereka ada yang hanya setahun.
“Pada masa itu anak-anak masih kecil dan jarak umur antara mereka pun hanya setahun seorang.. walaupun pendapatan tak seberapa tetapi pakcik percaya anak itu pembawa rezeki," katanya yang sudah lebih 20 tahun bersara daripada Kementerian Kesihatan.
Menurut Ramli lagi, nilai kesederhanaan menjadi tunjang utama dalam mendidik anaknya selain memastikan didikan agama dan pembelajaran seiring dan menjadi landasan buat mereka meneruskan kehidupan.
“Sebagai penjaga pakcik dan isteri sentiasa memastikan keperluan anak diutamakan khususnya dalam hal agama dan pendidikan, tetapi dalam masa sama kami tidak menyekat minat mereka.
“Walaupun ketika itu umur anak-anak boleh dikatakan hampir sebaya dan ada antara mereka belum puas bermanja, namun mereka seakan memahami kesukaran pakcik dan isteri," katanya.
Katanya, walaupun usia masih kecil, anak-anaknya jarang bergaduh, sebaliknya sentiasa membantu satu sama lain dan saling menyayangi.
Ramli berkongsi pengalamannya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Hulu Takir.
Dia kini turut mengajar kelas al-Quran di empat masjid sekitar Kuala Nerus.
Jelas Ramli lagi, didikan agama perlu dijadikan tunjang buat ibu bapa bagi memastikan anak bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia tetapi lebih utama di akhirat.
“Sejak kecil pakcik sentiasa ingatkan anak-anak agar jangan sesekali meninggalkan solat kerana ia merupakan tiang agama, selain perlu menghormati orang lain,” katanya yang turut berjaya melibatkan kesemua anaknya menyertai pertandingan tilawah al-Quran.
'Anak faham kami susah'
Sementara itu, bagi Shamsiah pula, menjadi ibu kepada 17 anak bukan tugas mudah untuk digalas, apatah lagi dengan kesempitan hidup yang dilalui ketika itu.
Namun kesukaran itu tidak sesekali menjadi penghalang buatnya untuk memastikan anak-anak membesar dengan baik.
“Sebagai surirumah, kebanyakan masa makcik dihabiskan bersama anak dan walaupun tidak belajar tinggi, makcik sentiasa bersama anak ketika mereka belajar di rumah,” katanya yang sentiasa menerapkan nilai kekeluargaan tinggi pada anak-anaknya.
Mengenang kembali kesempitan hidup masa lalu, kata Shamsiah, dia amat bersyukur kerana anak-anaknya memahami keadaan ibu bapa mereka.
Dia tidak pernah berdepan dengan masalah besar ketika membesarkan mereka.
"Anak-anak faham kami susah.. mereka tidak pernah meminta-minta.. makan apa yang ada dan tak pernah merungut jika terpaksa bergilir pakaian.
"Disebabkan kami ramai, segantang beras (3.5 kilogram) hanya cukup untuk dua hari saja.. itupun anak-anak tak makan banyak.. seekor ikan selayang makcik potong tiga supaya anak-anak dapat sama rata," katanya.
Kata Shamsiah, setiap hari anak-anaknya bawa bekal ke sekolah untuk jimatkan kos.
Shamsiah turut berkongsi pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan apabila dia dan dua anak perempuannya melalui tempoh berpantang yang sama apabila ketiga-tiga mereka bersalin serentak.
“Walaupun pengalaman itu sudah 20 tahun berlalu, tetapi ia pengalaman yang tak mungkin dilupakan, di mana kami tiga beranak berpantang bersama dan anak bongsu makcik sebaya dengan dua orang cucu itu,” katanya.
Katanya lagi, bagi memastikan hubungan kekeluargaan terus utuh, kesemua 17 anak, 11 menantu dan 33 cucu akan memastikan hari keluarga diadakan sekurang-kurangnya sekali setahun.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/anak-itu-pembawa-rezeki-1.359903