BTC USD 84,364.2 Gold USD 4,140.70
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Anak Derhaka

Pistia

Super Active Member
Messages
8,760
Joined
Sep 22, 2008
Messages
8,760
Reaction score
48
Points
70
http://www.hanan.com.my/print.php?sid=1869

“Beruntunglah si anak yatim,” saya berbual dengan seorang apprentice yang berkunjung ke rumah.

“Kenapa pula untung ustaz?” beliau nampak sedikit terkejut dengan kenyataan saya.

“Masakan tidak beruntung, derita hidup tidak beribu dan bapa, terlalu kecil berbanding hukuman Allah ke atas anak durhaka!” saya menjawab.

Beliau diam seketika.


“Maksud ustaz, lebih beruntung hidup tanpa ibu bapa?” tanyanya.

“Anak-anak beruntung ada ibu bapa. Tetapi ibu bapa belum tentu beruntung dikurniakan anak-anak. Hari ini ramai anak benci dengan ibu bapa sendiri,” saya menyambung perbualan.



Memang benar.

Saya sudah jadi mangli dengan fenomena anak durhaka. Anak yang memusuhi ibu bapa. Anak yang mengkritik ibu bapa. Anak yang menyakiti ibu bapa.

Tanda-tanda kiamat barangkali.



“Apabila seorang perempuan melahirkan tuannya sendiri” (Petikan Hadith ‘Jibril’)

BIBIT KEMARAHAN

Pengamatan saya, memperlihatkan bahawa anak-anak mula menimbulkan bibit benci atau sekurang-kurangnya tidak berpuas hati dengan ibu bapa sendiri, semasa mereka menempuh beberapa fasa kehidupan.

Seorang bapa, mungkin garangnya hingga tampar dan jentik menjadi makanan harian seorang anak. Di sepanjang masa, anak menerima hakikat bahawa bapanya adalah seorang yang garang. Lalu dia sentiasa berusaha untuk mengelak daripada ‘buat masalah’ dengan bapa yang garang itu.

Tetapi untuk membenci bapa, tidak terlintas di hati dan kepala.

Fasa pertama yang sering menimbulkan rasa benci serta marah anak kepada ibu bapa ialah apabila anak-anak mula meningkat usia, bersekolah dan memulakan tabiat berkunjung ke rumah kawan-kawan malah bermalam di sana. Pada usia inilah anak mula terdedah kepada contoh-contoh lain tentang bagaimana ’sepatutnya’ seorang yang bergelar ibu juga bapa. Anak-anak mula membandingkan ibu bapanya sendiri, dengan ibu bapa kawan.

rasa takut terhadap kegarangan bapa dan ibu, mula berubah menjadi benci.

Fasa kedua pula ialah apabila berumahtangga.

Dalam sesetengah keadaan, ada ibu atau bapa yang melebihkan anak mereka sendiri berbanding menantu. Tetapi ramai juga menantu yang ‘bertuah’ mendapat mertua yang baik-baik, namun mereka mula secara tidak sedar menyemai suatu fikiran yang jelek bahawa ibu bapaku tidak sebaik mertua.

Perbandingan-perbandingan inilah yang menyemai bibit benci dan rasa tidak puas hati si anak kepada ibu bapa mereka sendiri.
 
Last edited:
SEBURUK MANA PUN MEREKA

Se
buruk mana pun ibu bapa kita, janganlah sekali-kali kita lupa pada kebaikan mereka semasa kita belum ada upaya menyimpan ingatan.

Kita menumpang duduk 9 bulan di perut seorang perempuan. Alam itu digelar Alam Rahim. Alam kasih sayang dan alam belas kasihan. Jika tiada sekelumit sayang di naluri seorang ibu, nescaya dibuang sahaja isi perut itu di tandas, di longkang, di tong sampah atau di mana sahaja.

Kerana secebis belas dan ihsan itulah, kita lahir ke dunia.

Lupakah (memang tidak ingat), semasa kita kecil, kita menjerit sesuka hati, memalukan ibu bapa di tengah kenduri? Kita pecahkan pinggan orang, kita curi barang orang, kita kencing dan berak sesuka hati, kita demam tidak bermusim. Bukan kita seorang, malah adik beradik yang lain.

Jika seorang ibu dan seorang bapa, tiada naluri kasih sayang, patah riuk tulang kita dikerjakan mereka. Penat bekerja, tidur entah di mana, bergolok gadai mencari bekal, apakah semuanya semata-mata untuk membesarkan seorang pembenci?

Kita ada ramai kawan, tetapi kita hanya ada seorang ibu dan seorang bapa. Busuk wangi, buruk dan baik, itulah ibu dan itulah bapa.

Pernah suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, memberitahunya bahawa ibu lelaki itu menyuruhnya mentalakkan sang isteri. Lalu Abu Darda’ berkata. Aku telah mendengar bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:



“Ibu bapa adalah pintu Syurga yang paling tengah. Terserahlah kepada kamu sama ada mahu mensesia-siakan pintu itu atau memeliharanya” (Hadith sahih riwayat Ahmad, al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Biar pun sandaran dalil Abu Darda’ terhadap soalan lelaki tersebut kepada hadith ini ada perbahasan ulama’ mengenainya, namun persoalan yang terus kekal, Allah menyediakan pintu syurga bukan di tangan kawan yang paling kamceng, atau kekasih yang sejati itu.

Pintu masuk ke syurga yang paling utama, adalah pada memenuhi hubungan kita dengan ibu, juga dengan bapa.

SALAH IBU BAPA

Saya tidak nafikan, bahawa fenomena anak durhaka adalah produk dosa ibu bapa. Kesalahan ibu bapa merupakan faktor terbesar kepada keberhasilan anak durhaka. Malah sejak sekian lama, kita kaum Melayu sudah disedarkan bahawa Sazali adalah produk kesalahan si bapa menterjemahkan kasih sayang sebagai ‘beri semua yang anak inginkan’.

Memang malang di dunia ini bukan malang kerana tidak disayangi. Tetapi malang kerana gagal menyayangi. Sama ada tidak sayang kepada anak-anak, atau menyayangi mereka dengan cara yang salah.

Sudah terlalu biasa, ceramah saya tentang ibu bapa terpaksa diubah suai. Menekan-nekan akan kepentingan anak menghormati dan menjaga ibu bapa, menjadi sebuah sesi yang penuh penyeksaan, kepada si anak yang membenci ibu bapa. Kebanyakannya, adalah akibat sikap ibu bapa sendiri.
 
DI PIHAK ANAK-ANAK

Tetapi anak-anak perlu sedar.

Allah SWT tidak mewajibkan seorang anak untuk menyayangi ibu dan bapa!

Kasih sayang itu adalah perasaan yang mustahil boleh dipaksa tanpa asasnya. Mana mungkin seorang anak yang dibuang, diabai, disisih, dipinggir malah didera oleh ibu bapa, mampu untuk membuta tuli memaksa diri menyayangi orang yang tidak menyayangi mereka.

Sebaliknya Allah SWT meletakkan kewajipan kita sebagai anak-anak, adalah pada berlaku ihsan, berbuat baik dan menghormati ibu bapa. Ia bukan balasan kebaikan ibu bapa kepada kita, tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai anak, biar bagaimana sekali pun si ibu dan si bapa.

Baik kejam seorang bapa.

Biar cuai seorang ibu.

Mahu pun busuk seorang bapa.

Biar kafir atau sundal sekali pun seorang ibu.

Bukan anak yang bertindak menghukum mereka.

Segala dosa ibu bapa, kecuaian mereka, dan serba serbi kesalahan dan kekurangan mereka, ibu bapa itulah yang akan bersoal jawab dengan Allah tentang tanggungjawab dan peranan mereka terhadap kita.

Namun bagi seorang anak, tugas kita adalah untuk tetap menghormati, menjaga kebajikan, memelihara dan memenuhi keperluan mereka tatkala mereka dalam hajat yang diwajarkan Syariat.

Menghormati mereka, cukup dengan tidak membalas ‘kejahatan’ mereka dengan ‘kejahatan’ kita. Sedang kita pun banyak berbuat jahat kepada Allah, namun Allah sentiasa Maha Tahu cara untuk ‘berbuat baik’ dengan kita. Bagaimana kita boleh mendamba keampunan Allah tanpa syarat, sedangkan kita ghairah meletakkan pelbagai syarat, terhadap ibu bapa sendiri?

Jika sikap kita yang sempit jiwa untuk menguzurkan kekurangan ibu bapa, yakinilah bahawa Allah jua sulit untuk menguzurkan kekurangan kita (yang tidak terbilang itu).

ANDAI TIADA KASIH DAN SAYANG

Kewajipan si anak adalah pada mengekalkan perlakuan baik terhadap ibu bapanya. Bukan bergantung kepada layanan ibu bapanya dahulu, tetapi ialah adalah tanggungjawab anak sebagai seorang anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Untuk menyayangi ibu bapa, terpulang kepada anda.

Namun…

Melaksanakan kewajipan tanpa nilai dan kasih sayang adalah suatu beban. Berat tanggungjawab tanpa kasih sayang, adalah maksud malangnya diri yang gagal menyayangi.

Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “apakah perihalnya kamu ini?”

Perempuan itu menjawab, “yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”

Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”

Perempuan itu membalas, “tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua. Aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”

Binasalah si anak yang lupakan peringatan ini!
 
Last edited:
JIKA Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat tetapi apa caranya jika orang tua sudah meninggal dunia sedangkan ketika hidupnya kita menderhaka dan melawan mereka?

Apabila insaf, selalulah menziarahi pusara ibu bapa dan bacakan ayat suci untuknya. Jumpa kembali kawan baik ibu bapa atau jiran yang masih ada dan berbuat baik kepada mereka.

Sedekahkan kepada masjid atas nama ibu bapa. Walaupun ibu bapa sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga mereka berdua reda dan Allah mengampunkan dosa.

Allah Maha Pengampun dan luas rahmat-Nya tetapi jangan pula mengambil kesempatan untuk berbuat jahat, kemudian baru hendak bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala akan diterima.

Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Contohnya, tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, tetapi cuba selidiki kesalahan yang kita lakukan hari ini.

Pertama, bagaimana hubungan kita dengan Tuhan? Jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan kita dengan ibu bapa?

Seboleh-bolehnya pastikan hubungan kita dengan ibu bapa sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalin hubungan baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita.

Lazimnya dalam hubungan ini, ibu yang dilebihkan se dangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak.

Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, Nabi s.a.w meminta ibu didahulukan. Tiga kali ibu memanggil, barulah sekali kepada bapa.

Bagaimanapun, sebaik-baiknya kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.

Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka.

Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak mengambil kira kata-kata mereka, kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.

Mentua juga mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Jika mereka berkecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati ibu bapa kita.

Kita sayang anaknya, jadi mengapa tidak turut menyayangi orang yang melahirkannya?

Saya tahu, ada menantu berkecil hati dan memendam rasa terhadap mentua yang terlalu mengambil berat terhadap anaknya.

Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua kepada Rasul dan ketiga kepada ibu dan ibu mentua manakala keempat bapa dan bapa mentua. Kelima barulah isteri.

Jadi, isteri kena faham jika suami sayang dan melebihkan ibu bapa, kerana itu memang wajar.

Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua Rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak selain Allah ialah ibu bapanya.

Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail a.s.

Suatu hari Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak mengenali mentuanya.

Menantunya berkasar, menyebabkan Nabi Ibrahim berkecil hati tetapi sebelum pulang Nabi Ibrahim berpesan kepada menantunya itu, meminta suaminya menukar alang rumah kepada yang baru.

Apabila Nabi Ismail pulang ke rumah, isterinya meng gambarkan rupa lelaki berkenaan yang menyampaikan pe sanan. Nabi Ismail sedar, itu adalah bapanya.

Nabi Ismail insaf di sebalik simbolik kata-kata bapanya bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan.

Kemudian Nabi Ismail berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Baginda.

Nabi Ibrahim tertarik dan sebelum pulang, baginda ber pesan lagi, dengan mengatakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.
 
Last edited:
Apa punca anak derhaka ?

Media massa memainkan peranan penting. Apabila diteliti terlalu kurang filem atau drama yang menayangkan cerita keluarga bahagia dan harmoni. Walaupun pengakhir-nya, si anak atau ibu bapa sedar dan bertaubat tetapi proses untuk kearah itu penuh perlakuan tidak sopan, tengking dan herdik serta bermaki hamun.

Kata Tuan Ibrahim, "Kita boleh adakan cerita yang baik. Tidak mustahil seorang anak mengajak adik-adiknya berdoa untuk kesejahteraan ayah mereka. Cium tangan ayah sebaik pulang dan balik kerja, ajak sembahyang jemaah dan sebagainya. Pelikkah kalau ibu bapa praktikkan begitu?" soalnya.

Proses pendidikan yang tidak bermoral turut mempengaruhi. Bagaimana mahu melahirkan anak-anak berakhlak jika di sekolah para guru tidak bermoral? "Selalu saya tekankan, jika baran dan marah sekalipun, tolong jangan keluarkan perkataan-perkataan celupar seperti *****, bengap atau dungu kepada anak murid, kerana kata-kata guru seperti emak, sebahagian daripada doa," pesannya.

Sabda nabi saw, "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukul."

"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula renggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.

"Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumah tangga. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.

"Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup," katanya lagi.

Faktor makanan turut mengganggu jiwa anak-anak dan menjadi aktif tidak menentu. Dalam proses tumbesaran anak-anak, jenis dan mutu makanan sangat penting kerana ia menjadi darah daging.

Rasulullah pernah bersabda yang antara lain kisahnya, seo'rang budak bermain bola dan tertendang masuk ke dalam masjid. Dia masuk ke masjid dan bertembung dengan nabi, dan nabi pun menyebut anak subahat sebanyak tiga kali. Ayahnya runsing dan bertanya kenapa Rasulullah berkata begitu. Bila diperiksa rupanya faktor makanan yang dimakan oleh ayahnya mengganggu tumbesaran si anak. Ia membentuk darah daging dan air mani yang akhirnya membentuk si anak.

Makanan yang baik , pertama halal dan kedua bermutu. Duit halal atau haram turut mengkelaskan jenis makanan. Sebab itu, jika berpendapatan tetap salurkan sedekah atau membayar zakat kerana ia membersih harta. Daripada harta itulah, kita mendapatkan makanan yang akhirnya membentuk darah daging.
 
Back
Top
Log in Register