afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,229
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,229
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Anak cucu peneroka mahu isu Felda selesai, bukan jadi modal politik
Isu Felda kembali menjadi perhatian susulan dakwaan salah urus serta siasatan terhadap beberapa perkara membabitkan agensi itu dan anak syarikatnya.
Naib Ketua Wanita Umno Cameron Highlands, Masliana Ahmad, berkata Felda berkait rapat dengan kehidupan peneroka dan keluarga mereka, justeru masalah membabitkan institusi itu perlu ditangani tanpa dipolitikkan.
“Kalau kita fikir tok nenek kita dulu pun, saya anak peneroka. Tok saya pun orang Felda. Jadi, bila ada isu yang melibatkan kejatuhan sesuatu parti, kita tak boleh heret isu Felda dalam politik,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, masalah di peringkat akar umbi perlu diselesaikan supaya peneroka dapat menilai pihak yang benar-benar mampu membela kesinambungan kehidupan mereka.
Isu Felda kembali menjadi perhatian susulan dakwaan salah urus serta siasatan terhadap beberapa perkara membabitkan agensi itu dan anak syarikatnya.
Pada 7 Sept, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa berkaitan pelantikan pemaju dan penjualan tanah Felda.
Masliana berkata, kegagalan menangani isu berkenaan menjelang PRU16 berisiko menjejaskan sokongan peneroka kepada Umno.
“Kalau cakap pasal risiko, memang risikonya sangat berat. Kalau kita biar dan tak mengatasi masalah ini, ia akan menjejaskan juga undi orang Felda,” katanya.
Katanya, Umno perlu menjadi ‘mata, telinga dan suara’ peneroka dengan memberikan penjelasan jelas mengenai perkembangan serta penyelesaian berkaitan perkara tersebut.
“Kita kena perjelaskan apa yang berlaku supaya ia menjadi keyakinan kepada pengundi bahawa Felda masih boleh bertahan dan masih ada jalan penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Puteri Umno Cameron Highlands, Nur Hidayah Mohd Zani, berkata generasi baharu peneroka mahu Felda terus kukuh dan mempunyai masa depan.
Sebagai cucu peneroka generasi ketiga di Felda Sungai Koyan 3, beliau berkata isu berkaitan Felda bukan hanya memberi kesan kepada peneroka hari ini, tetapi turut menentukan masa depan generasi seterusnya.
“Bagi generasi muda, kami mahu melihat Felda terus kukuh dan mempunyai masa depan. Apa yang penting ialah masalah yang ada perlu diselesaikan supaya generasi peneroka seterusnya masih boleh melihat Felda sebagai institusi yang memberi manfaat,” katanya.
