ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Nagavalli menunjukkan kesan kecederaan dialami Logeswaran.
TELUK INTAN - Seorang suri rumah kesal dan mendakwa aduan berkenaan kecederaan dialami anaknya selepas diserang seekor anjing, baru-baru ini tidak mendapat perhatian pihak bertanggungjawab.
R Nagavalli, 39, mendakwa, pihak berkenaan seolah-olah tidak dapat mencari jalan penyelesaian walaupun laporan polis dibuat sejurus selepas kejadian itu yang berlaku pada 24 Mac lalu.
Menurutnya, anak lelakinya, S Logeswaran, 13, yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kandi diserang anjing peliharaan salah seorang penduduk di Ladang Glouster, Jalan Changkat Jong, dekat sini yang turut dikenalinya sejak beberapa tahun.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika anak saya pulang dari kelas tambahan. Ketika kejadian, saya terdengar bunyi anjing menyalak disusuli jeritan anak dari rumah pemilik anjing yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah saya.
"Saya keluar rumah dan ternampak ketika itu ahli keluarga pemilik anjing itu menyuruh anak saya jangan bergerak, namun dia tidak menghalau anjing berkenaan sebaliknya berdiam diri sehingga binatang itu melompat serta menggigit mencederakan beberapa bahagian tubuh anak saya," katanya.
Nagavalli berkata, akibat kejadian tersebut, anaknya mengalami kecederaan di tangan, pinggang dan paha.
"Saya segera bawa anak yang berlumuran darah ke sebuah klinik di Teluk Intan untuk menerima rawatan kerana bimbang keadaan bertambah melarat.
"Selepas itu saya berjumpa dengan pemilik anjing tersebut namun jawapan yang diberikan mengecewakan apabila mereka enggan bertanggungjawab ke atas kejadian yang menimpa anak saya," katanya.
Katanya, dia turut membuat laporan polis, namun tiada tindakan tegas diambil sebelum menemui pihak berkaitan yang boleh menyelesaikan kes tersebut namun masih tidak dapat pembelaan sewajarnya.
"Kejadian ini bukan pertama kali berlaku, malah sebelum ini sudah ada tujuh orang menjadi mangsa anjing tersebut.
"Saya berharap pihak bertanggungjawab tampil membela nasib anak saya yang kini masih trauma setiap kali lalu di kawasan rumah berkenaan," katanya.