AS alih tekanan ke Cuba
Castro (kanan) menjadi sasaran baharu pentadbiran Trump.
MIAMI - Kempen tekanan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini beralih dari Iran ke Cuba selepas pemimpin Republikan itu memberi tempoh kepada Teheran untuk segera memuktamadkan perjanjian damai.
Pendakwa raya persekutuan pada Rabu mengumumkan pertuduhan jenayah terhadap bekas Presiden, Raul Castro berhubung insiden penembakan pesawat awam pada 1996.
Castro, 95, didakwa mengarahkan dua pesawat kecil itu ditembak jatuh ketika beliau memegang jawatan Menteri Pertahanan pada masa tersebut.
Pendakwaan tersebut yang difailkan secara rahsia oleh juri agung pada bulan lalu turut merangkumi tuduhan pembunuhan dan pemusnahan pesawat selain lima juruterbang tentera Cuba juga didakwa.
"Selama hampir 30 tahun, keluarga kepada empat warga Amerika yang dibunuh telah menunggu keadilan. Mereka adalah orang awam yang tidak bersenjata dan sedang menjalankan misi kemanusiaan untuk menyelamatkan serta melindungi individu yang melarikan diri daripada penindasan merentasi Selat Florida,” kata pemangku Peguam Negara, Todd Blanche di Miami.
Ketika disoal tentang tindakan lanjut pihak berkuasa AS untuk membawa Castro ke muka pengadilan di AS, Blanche berkata, waran tangkapnya telah dikeluarkan.
"Kami menjangkakan beliau akan hadir ke sini, sama ada secara sukarela atau dengan cara lain," ujarnya.
Beberapa pemerhati melihat pendakwaan itu sebagai satu ancaman yang serius terhadap negara Amerika Latin susulan penahanan bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Januari lalu atas pertuduhan dadah di New York.
Sementara itu, Trump ketika ditanya tentang perkembangan seterusnya di Havana menggunakan alasan Washington sedia memberikan bantuan kemanusiaan kepada 'negara yang sedang gagal', sekali gus memberi isyarat campur tangan AS dalam situasi di negara Pulau Caribbean tersebut. - Agensi
MIAMI - Kempen tekanan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini beralih dari Iran ke Cuba selepas pemimpin Republikan itu memberi...
www.sinarharian.com.my