PRU-15: Amanah Johor 'terluka', kerusi Tanjung Piai diserah pada Muda
AMINOLHUDA Hassan. FOTO arkib NSTP
Johor Bahru: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menggesa pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya segera membuat semakan semula keputusan kerusi Parlimen Tanjung Piai yang diberikan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kepimpinan parti negeri melahirkan rasa kecewa atas keputusan menyerahkan Parlimen Tanjung Piai kepada calon Muda.
Bagaimanapun katanya, Amanah Johor menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden itu.
"Sewajarnya rakan komponen PH lain mempunyai kerusi lebih banyak yang seharusnya memberi kerusi mereka kepada Muda bukannya Amanah yang mempunyai bilangan kerusi yang sedikit.
"Setakat perbincangan awal sebelum ini, kerusi yang ditandingi Amanah ialah enam, MUDA (satu), DAP (lapan), dan PKR (11).
"Secara asasnya perbincangan pembahagian kerusi dalam kalangan tiga komponen utama PH membabitkan PKR, Amanah dan DAP perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum perundingan dengan pihak lain dilakukan.
"Kami Amanah Johor memohon kepada pucuk pimpinan PH supaya membuat semakan semula keputusan berkaitan dengan kerusi Tanjung Piai ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz dilaporkan mengumumkan pengasas bersama Muda serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, Lim Wei Jiet seba
gai calon yang diturunkan PH di Parlimen Tanjung Piai bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Wei Jiet yang juga seorang peguam turut dilaporkan sudah memulakan gerak kerja di Tanjung Piai bersama pasukan Muda dengan beberapa program ramah mesra bersama penduduk sudah bermula sejak Khamis lalu.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Johor, Mazlan Aliman dilaporkan berkata, keputusan Majlis Presiden PH menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada Muda didakwa sebagai keputusan yang 'melukakan' Amanah Johor.
Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Timbalan Pengerusi PH Johor berkata, apa yang Amanah alami berhubung dalam Parlimen Tanjung Piai seolah-olah mengulangi apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu.
"Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang sepatutnya milik Amanah juga diberikan kepada Muda.
"Kami sekali lagi berharap Majlis Presiden PH meneliti semula ketetapan kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum hari penamaan calon Sabtu ini," katanya.
Disiarkan pada: Oktober 31, 2022 @ 4:23pm