Lagi Kes Langgar Polis Traffic [ Budak PMR!][Melampau Betul!]
Sarjan trafik koma 13 jam dilanggar saudara sendiri
Oleh SHARIZA ABDULLAH
KUALA NERANG 6 Okt. – Seorang anggota polis trafik koma selama 13 jam selepas dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dipercayai saudaranya sendiri ketika mengadakan operasi bersepadu mengesan motosikal curi di Kilometer 7, Kampung Lubuk Prong, Jalan Kuala Nerang-Naka, petang semalam.
Sarjan Abu Seman Lebar, 54, dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap (IPD) di sini patah tangan kanan, cedera di dahi dan tangan kiri selain lebam-lebam di badan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu.
Penunggang motosikal itu pula yang dikatakan akan menduduki kertas mata pelajaran Geografi hari ini masih dirawat di Hospital Alor Star (HAS), dekat sini dan sehingga tengah hari ini dia dilaporkan masih belum sedarkan diri.
Abu Seman dihantar pulang ke rumahnya dari Hospital Kuala Nerang kira-kira 6 petang semalam dan hanya sedarkan diri pada pukul 5.30 pagi ini.
Difahamkan pelajar itu merupakan anak saudara mangsa.
Turut tercedera dalam kejadian berkenaan ialah sepasang suami isteri, Zakaria Ahmad, 44, dan pasangannya, Kamariah Ismail, 39, yang terjatuh akibat terlanggar motosikal yang menggelongsor ke tengah jalan selepas rempuhan berkenaan.
Bagaimanapun, dua anak pasangan berkenaan yang berusia antara satu hingga tiga tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sekatan
Ketua Polis Padang Terap, Deputi Supritendan (DSP) Hamzan Darus berkata, ketika kejadian, mangsa mengetuai kira-kira 10 anggota trafik dari cawangan yang sama menjalankan tugas dengan mengadakan sekatan jalan raya bagi mengesan motosikal curi yang dipercayai banyak digunakan di daerah ini.
''Kumpulan anggota trafik ini kemudiannya cuba menahan dua buah motosikal yang ditunggang oleh dua pelajar sekolah yang sedang menghala ke Kuala Nerang dari Naka.
''Namun mereka cuba melepaskan diri dari sekatan tersebut dengan memecut laju menyebabkan salah seorang penunggang motosikal itu merempuh mangsa,'' katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di rumahnya di Kampung Baru, di sini hari ini.
Ekoran rempuhan itu katanya, mangsa dan pelajar berkenaan dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang, di sini untuk mendapatkan rawatan.
Hamzan berkata, pelajar itu boleh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara berbahaya dan juga boleh didakwa dibawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebabkan kecederaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda RM2,000.
Tambah beliau, pihaknya juga sudah mengenal pasti seorang lagi suspek yang berjaya melepaskan diri dalam kejadian tersebut dan siasatan akan dilakukan ke atasnya selepas dia selesai menduduki peperiksaan PMR.
Dalam pada itu Hamzan melahirkan kekecewaan kerana keluarga pelajar terbabit masih menyalahkan pihak polis walaupun mereka sendiri telah melakukan kesalahan dengan membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen :smt021 :smt091
''Tindakan undang-undang juga boleh dikenakan kepada ibu bapa pelajar tersebut,'' katanya.
Hamzan menambah, Abu Seman merupakan anggota polis yang aktif mengadakan ceramah keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah di sekitar daerah Padang Terap.