Jualan ECPI cecah RM31j
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
[email protected]
2010/07/17
GESUNDHEIT Laboratories and Pharmaceutical Sdn Bhd mencatatkan jualan mencecah RM31 juta pada tahun lalu dengan hampir 60 peratus disumbangkan hasil jualan produk utama iaitu air minuman ECPI.
Pengarah Urusannya, Zahari Saad, berkata angka dicatatkan itu adalah pencapaian luar biasa syarikat berbanding jualan yang dicatatkan dua tahun lalu.
“Pada 2008, hasil jualan dicatatkan tidak begitu tinggi namun, tahun lalu meningkat sehingga lima kali ganda,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Menurutnya, tahun ini syarikat menjangkakan peningkatan 20 peratus disumbangkan hasil eksport ke beberapa negara.
“Tahun lalu, kami mula mengeksport dua produk iaitu air minuman ECPI dan GTH ke beberapa negara seperti Kuwait, Singapura dan Brunei namun setakat ini belum mencatatkan jualan memberangsangkan.
“Namun, bermula awal tahun ini, kami mempergiatkan kegiatan eksport dan akan menembusi pasaran Qatar, Bahrain, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE),” katanya.
Malah, menurut Zahri, pihaknya juga mendapat geran sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi program perkembangan eksport.
“Dengan sokongan daripada agensi kerajaan, kami lebih yakin untuk memasarkan produk ini ke luar negara dan akan terus menghasilkan produk inovatif bersaing dengan produk antarabangsa,” katanya.
Zahari berkata, lebih membanggakan apabila air minuman ECPI mendapat sambutan menggalakkan di luar negara walaupun saingan agak sengit.
“Penjualan air minuman adalah bidang yang banyak saingan, namun dengan keunikan pada air minuman ECPI, kami memikat pengguna,” katanya.
Dalam usaha meluaskan perniagaan, Gesundheit turut membabitkan diri dalam industri lain termasuk pelancongan dan sedang membangunkan sebuah hotel.