Lebih ramai pelajar menggunakan alat pembelajaran AI bagi membuat kerja rumah. (Gambar: iStock/STAP)
SINGAPURA: Semasa anak perempuannya masih di sekolah menengah, Cik Shubhada Jayant Bhide terpaksa mencari pusat tuisyen terbaik, menghantar dan mengambil anaknya dari kelas, serta memperuntukkan sebahagian gajinya untuk membayar yuran tuisyen anaknya itu.
Namun kini, anak lelakinya, Shrihaan, mendapat bantuan pembelajaran di rumah - daripada seorang “guru tuisyen” yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) - dan pada kos yang jauh lebih rendah.
IKLAN
Pelajar Menengah 1 itu akan merujuk kepada guru AI apabila dia berasa keliru tentang sesuatu yang dipelajarinya di sekolah, dan tidak berpeluang bertanya kepada guru.
“Ia benar-benar mengubah keadaan berbanding tuisyen tradisional,” kata Cik Shubhada, seorang karyawan IT yang berusia dalam lingkungan 40-an tahun.
“Ia betul-betul di hujung jari kami,” tambahnya.
Penggunaan AI dalam pendidikan bukanlah sesuatu yang baharu, dengan Kementerian Pendidikan (MOE) memperkenalkan ciri pembelajaran berasaskan AI dalam portal pembelajaran onlinenya sejak tahun lalu.
Namun, lonjakan pada jumlah chatbot AI Generatif sejak kebelakangan ini - yang dimulakan oleh ChatGPT OpenAI - mencetus kemunculan pelbagai alat pembelajaran berasaskan AI.
IKLAN
Pada Julai lalu, ChatGPT turut melancarkan “kaedah pembelajaran” yang bertujuan membantu pelajar memahami bahan pembelajaran, dan bukannya sekadar memberi jawapan.
Sebilangan guru tuisyen di Singapura memberitahu Mediacorp bahawa perkhidmatannya lebih disesuaikan dengan sukatan pelajaran tempatan berbanding jenama global.
Tutor-tutor AI juga melaporkan peningkatan pada jumlah permintaan daripada pelajar tempatan.
Platform Tutorly, yang digunakan oleh Shrihaan, memperoleh lebih 1,200 pengguna percuma sejak dilancarkan pada Januari.
Khidmat tuisyen matematik berasaskan AI, WizzTutor, menarik lebih 800 pengguna sejak Jun.
IKLAN
Platform teknologi pendidikan Geniebook, yang turut mempunyai lima cawangan fizikal, melaporkan peningkatan 25 peratus bagi penggunaan khidmat pembelajaran AI miliknya berbanding tahun lalu.
BERI PELUANG SAMA RATA KEPADA PELAJAR?
Tutor AI memposisikan diri sebagai pilihan alternatif yang lebih berpatutan berbanding tuisyen tradisional, dengan isi rumah Singapura membelanjakan sebanyak S$1.8 bilion pada 2023 - naik daripada S$1.4 bilion pada 2018, menurut tinjauan perbelanjaan terkini pemerintah.
Kajian yang dijalankan setiap lima tahun itu juga menunjukkan isi rumah membelanjakan purata S$104.80 sebulan untuk tuisyen privet, berbanding S$88.40 pada 2018.
Yuran tuisyen berbeza mengikut saiz kelas dan mata pelajaran, namun secara purata, satu sesi tuisyen peribadi boleh menelan belanja antara S$20 hingga S$120 sejam.
IKLAN
Di pusat tuisyen terkenal seperti The Learning Lab, satu kelas bagi pelajar menengah boleh mencecah sehingga S$172, atau S$688 sebulan.
Menjelang peperiksaan GCE 'N' tahun lalu, pelajar berusia 17 tahun, Aditya Mishra, mendapati kebanyakan pusat tuisyen sudah penuh.
Dia kemudian menggunakan The Wise Otter, iaitu tutor AI di Telegram.
Versi percuma alat itu menyediakan sokongan matematik yang mencukupi.
“Ia sebenarnya agak bagus ... Saya tak rasa pelajar perlu bayar terlalu banyak hanya untuk belajar,” katanya.
Platform Tutorly, yang merangkumi kebanyakan mata pelajaran dari sekolah rendah hingga maktab rendah, mengenakan yuran sebanyak S$49 sebulan.
Pengguna berbayar boleh bertanya soalan, mendapatkan penjelasan, soalan latihan dan ringkasan; serta akses tanpa had kepada kertas peperiksaan tahun-tahun lalu. Pelan percuma juga disediakan, namun dengan akses terhad.
Yuran bulanan bagi WizzTutor pula adalah S$74 - hanya lebih S$2 sehari, “lebih kurang harga secawan kopi atau teh.” kata pengasas bersama WizzTutor Samuel Swee.
Beliau menggambarkan platform itu sebagai usaha untuk “memberi peluang sama rata kepada pelajar dengan latar belakang berbeza”.
“Kami tidak menggantikan guru,” katanya.
“Ia lebih kepada peranan yang saling melengkapi, di mana alat seperti WizzTutor boleh membantu pelajar membina asas yang kukuh, beri lebih latihan dan maklum balas segera - inilah yang biasanya pelajar mahukan.”
Menjawab pertanyaan Mediacorp, MOE menyatakan bahawa alat pembelajaran AI adalah untuk pembelajaran kendiri dan tidak perlu didaftarkan di bawah Akta Pendidikan, melainkan pusat itu menawarkan program tuisyen atau pengayaan kepada 10 pelajar atau lebih.
Namun, para pakar pendidikan memberi amaran bahawa tutor AI perlu direka bentuk untuk menggalakkan pembelajaran sebenar - dan bukan hanya memberikan jawapan semata-mata.
Encik Jonathan Sim, pensyarah di Akademi Pembelajaran dan Pembangunan Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata tutor AI mungkin mudah “mengalah” dan memberi jawapan apabila didesak oleh pelajar yang tidak sabar.
Dr Wong Lung Hsiang, penyelidik kanan pendidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), pula berkata AI boleh menggalakkan “pemikiran jalan pintas” jika digunakan secara tidak wajar.
Tutorly akur bahawa tidak mudah untuk mengesan pelajar yang menyalahgunakan platform, namun menyatakan kebanyakan pengguna menggunakannya di bawah pemantauan ibu bapa mereka.
WizzTutor pula mempunyai papan pemuka khas untuk ibu bapa memantau penggunaan anak mereka, termasuk soalan yang dimasukkan ke dalam sistem.
“Apa yang kita hilang apabila beralih daripada guru manusia kepada tutor AI ialah ... figura manusia yang boleh mengurus dan memberi motivasi kepada pelajar,” kata Encik Sim dari NUS.
Beliau menegaskan peri pentingnya kehadiran “manusia dalam proses pembelajaran” - individu yang boleh membantu memberi konteks dan berbincang dengan pelajar tentang apa yang mereka pelajari.
AI harus dilihat sebagai rakan pemikir, dan bukan sekadar pemberi jawapan. Pelajar pula perlu membandingkan hasil AI dengan pemahaman mereka sendiri, tambah Dr Wong dari NIE.
jelasBERITA: Adakah guru AI akan jejas industri tuisyen SG bernilai berbilion dolar?
SINGAPURA: Semasa anak perempuannya masih di sekolah menengah, Cik Shubhada Jayant Bhide terpaksa mencari pusat tuisyen terbaik, menghantar dan mengambil anaknya dari kelas, serta memperuntukkan sebahagian gajinya untuk membayar yuran tuisyen anaknya itu. Namun kini, anak lelakinya, Shrihaan...