combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,392
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,392
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
31 Kes Sengatan Ubur-ubur Di Pantai Bukit Keluang
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut merekodkan 31 kes sengatan ubur-ubur berbisa membabitkan mangsa berusia antara tiga hingga 44 tahun di Pantai Bukit Keluang, Besut sejak Mei lepas sehingga kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapten (PA) Mohd Fazlien Jaafar berkata semua mangsa ialah pengunjung yang mandi-manda di pantai peranginan berkenaan.
"Pada Mei lepas, sebanyak 23 individu dilaporkan terkena sengatan ubur-ubur berbisa, manakala pada bulan ini lapan lagi kes direkodkan setakat Jumaat lepas.
“Jumlah kes ini berdasarkan mangsa yang datang ke Menara Tinjau APM di Pantai Bukit Keluang untuk mendapatkan rawatan awal selepas terkena sengatan hidupan marin itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ramai lagi pengunjung yang terkena sengatan, namun tidak memaklumkan perkara itu kepada pihaknya.
Dalam pada itu, Mohd Fazlien berkata mangsa yang mendapatkan bantuan di Menara Tinjau APM akan diberikan rawatan awal oleh anggota bertugas.
Beliau berkata mangsa yang terkena sengatan lazimnya mengalami kemerahan pada kulit serta kesakitan pada bahagian anggota badan, terutama tangan.
"Anggota APM akan menyembur bahagian yang terkena sengatan menggunakan cecair khas sebelum mangsa yang mengalami reaksi alahan dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut di hospital dengan segera.