TT
CG Super Hardcore Club




- Messages
- 166,601
- Joined
- Jan 13, 2009
- Messages
- 166,601
- Reaction score
- 22,873
- Points
- 1,831
Lokasi kejadian yang didiami ke semua mangsa amuk berkenaan.
BAGAN DATUK - Tiga beradik berusia antara dua hingga empat tahun maut dipercayai selepas dikelar dan ditetak seorang lelaki dalam satu kejadian amuk di sebuah rumah di Kampung Sungai Haji Muhammad, hari ini.
Kejadian jam 2.30 petang itu turut mengakibatkan ibu dan kakak sulung mangsa parah, sementara bapa cedera ringan.
Maklumat awal menyebut, lelaki dikenali penduduk dengan nama Rambo itu telah memecah masuk rumah keluarga berkenaan dengan senjata tajam.
Penduduk kampung yang enggan dikenali memaklumkan, kejadian itu disedari ketika dia dalam perjalanan untuk ke tempat kerja.
Menurutnya, orang ramai yang berkumpul di masjid memaklumkan, ada kejadian amuk di rumah keluarga terbabit.
“Rakan memaklumkan Rambo mengamuk dan mengelar serta menetak enam sekeluarga, dikhabarkan ada yang maut.
“Kami penduduk kampung masih lagi terkejut dengan kejadian ini,” katanya.
Lelaki dikenali Rambo itu dimaklumkan baharu sahaja pulang ke kampung berkenaan selepas merantau.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan dimaklumkan apabila laporan siasatan siap.
http://www.sinarharian.com.my/jenayah/tiga-beradik-maut-dikelar-1.835679
Rambo didakwa bunuh 3 beradik, cederakan 4 lain
![]()
TELUK INTAN: Seorang pekerja penyelenggaraan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga tuduhan membunuh tiga beradik dalam sebuah rumah di Kampung Sungai Haji Muhammad di Bagan Datuk, pada 17 Mei lalu.
Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 35, turut didakwa dengan tiga tuduhan cubaan membunuh dan satu tuduhan mencederakan seorang kanak-kanak di kampung sama pada hari sama.
Shahrul Pitri dituduh atas tiga tuduhan berasingan membunuh Muhammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5, dan dua adiknya, Muhammad Firash Zafrill, 3, serta Nur Zia Fasihah, 2.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah projek bantuan bina rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di kampung terbabit antara jam 2.30 hingga 2.40 petang pada hari pertama umat Islam berpuasa itu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Shahrul Pitri mengaku memahami pertuduhan itu dan tiada pengakuan direkodkan, manakala tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Majistret Syahdatul Kamila Zakaria menetapkan 4 Julai ini untuk kes itu disebut semula bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Di mahkamah berasingan, Shahrul Pitri dituduh cuba membunuh menggunakan parang terhadap guru agama, Redhuan Embi, 32, di jalan depan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad (SKSHM), kira-kira jam 2.45 petang.
Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap ibu tiga beradik berkenaan, Zuraidah Mat Ali, 35, di rumah projek bantuan bina rumah MAIPk antara jam 2.30 hingga 2.40 petang.
Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap murid Tahun Empat, Nur Aina Umaira Subri, 10, di titi pondok depan SKSHM antara jam 2.15 hingga 2.25 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga tuduhan itu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Shahrul Pitri juga didakwa mencederakan Nur Zuryn Faziera Mohd Fadzil, 9, yang juga kakak kepada tiga beradik mangsa bunuh, menggunakan parang di titi pondok depan SKSHM antara jam 2.15 hingga 2.25 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 kanun sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.
Tertuduh yang beralamat di Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor, mengaku tidak bersalah terhadap semua empat pertuduhan berkenaan.
"Saya minta bicara, saya dalam keadaan tidak sedar, saya khayal," kata tertuduh di depan Majistret Norila Mohd Ardani.
Norila turut menetapkan semua kes itu disebut semula pada 4 Julai ini dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/05/431934/lelaki-dituduh-bunuh-3-beradik-cederakan-4-lain
Motif kerana dendam pasal kerja
![]()
IPOH: Polis percaya kejadian amuk dengan parang yang mengorbankan tiga beradik di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh dekat Rungkup, Bagan Datuk, minggu lalu berpunca daripada perselisihan faham dan pengaruh dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata perselisihan faham dikatakan berlaku antara suspek dan bapa mangsa berhubung soal kerja.
Katanya, setakat ini hanya keterangan ahli keluarga mangsa diambil bagi membantu siasatan.
"Berdasarkan maklumat, kita kenal pasti berlaku perselisihan faham antara suspek dengan bapa mangsa berkaitan kerja.
"Suspek adalah penagih dadah dan dalam keadaan mental tidak stabil, dia melakukan perbuatan yang amat kejam," katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Bubur Lambuk kepada Petugas Trafik dan Masyarakat di kediaman Ketua Polis Perak di Jalan Tower, di sini, hari ini.
Katanya, polis sudah mengambil keterangan mangsa yang cedera kecuali ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Yahya berkata, polis memohon lanjutan tahanan reman terhadap suspek berusia 35 tahun itu esok.
"Reman suspek tamat esok dan dijangka disambung seminggu lagi bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan kematian tiga kanak-kanak dan 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan bunuh kepada empat mangsa yang cedera.
Dalam kejadian amuk kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, Nurziah Fasihah Mohd Fadzil, 2; bersama abangnya, Muhammad Firash Zaffril, 3; dan Muhammad Faqhqih Zahirul Haq, 5; maut ditetak lelaki rakan sekerja bapa mereka.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/05/429342/hanya-kerana-dendam-kerja
Suasana kini sunyi sepi
![]()
Suasana sepi rumah mangsa dari jalan utama.
![]()
Pintu rumah yang dikopak suspek menggunakan parang sebelum masuk ke dalam dan menetak serta mengelar tiga beradik bersama ibu mereka.
![]()
Gelongsor yang sering menjadi permainan ketiga-tiga beradik yang meninggal dunia dikelar.
BAGAN DATUK - Suasana tenang ketika menyelusuri Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, tidak menggambarkan sepenuhnya keadaan penduduknya yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian amuk mengorbankan tiga beradik, 1 Ramadhan lalu.
Meskipun tragedi menyayat hati itu sudah berlalu hampir seminggu tetapi kesannya terutama kepada mereka yang tinggal berhampiran rumah kejadian berkenaan tidak lalu makan serta lena tidur kerana masih terngiang jeritan tiga beradik serta ibu mereka ketika itu.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang Khamis lalu, menyebabkan tiga beradik Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhammad Firash Zaffril, 3, maut selepas dikelar da ditetak rakan bapa mereka yang dikenali sebagai Rambo.
Malah kejadian berkenaan turut menyebabkan ibu mereka, Zuraidah Md Ali, 35, parah setelah ditetak di bahagian ibu jari tangan kiri, muka dan kedua-dua belah paha, dia kini masih ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Tinjauan Sinar Harian di kediaman mereka, semalam mendapati keadaan sunyi sepi, beberapa barang masih bersepah malah kesan kopak di pintu masih dapat dilihat.
Hati lebih sayu melihat gelongsor yang jadi mainan tiga beradik bersama kakak sulung mereka Nur Zuryn Faziera, 9, masih ada ditinggalkan berhampiran jalan masuk ke rumah mereka.
Rumah bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) yang tidak sampai sebulan didiami mereka sekeluarga itu kosong.
Bapa mangsa, Mohd Fadzil Muhammad mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah kerana terlalu bersedih dengan tragedi berlaku.
Penduduk kampung yang melalui jalan utama berhadapan rumah berkenaan turut menoleh beberapa kali seolah-olah masih membayangkan kejadian yang tidak disangka boleh berlaku di kampung mereka.
Ada juga yang memecut laju apabila melalui hadapan rumah tersebut seolah-olah dihantui perasaan takut dengan apa yang menimpa keluarga berkenaan.
Tolong andak...
Nenek saudara mangsa, Salbiah Idris, 72, atau dipanggil Andak berkata, kejadian disaksikan dengan matanya sendiri dari dalam rumahnya itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam lebih-lebih lagi ketiga-tiga beradik tersebut rapat dengannya.
Katanya ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum mendengar suara menjerit-jerit dari rumah keluarga berkenaan dan melihat suspek sedang mengopak pintu hadapan menggunakan parang.
“Saya menjerit cakap apa kenanya ni Yang (gelaran suspek dipanggil saudara) tak baik bulan-bulan puasa buat macam ini cuba mengucap jangan macam ni.
“Tetapi dia menjawab nampak ni sambil hulur parang, Andak jangan masuk campur, lalu saya terus berlari ke rumah anak saudara lagi satu untuk meminta tolong,” katanya.
Salbiah berkata, selepas memaklumkan kepada anak saudaranya itu dia bergegas pulang khuatir suaminya sendirian di rumah sekiranya suspek mengamuk memasuki rumahnya selepas itu.
“Masa itu saya dengar jeritan Edah (Zuraidah) dengan anak-anaknya, abah-abah, andak-andak tolong... apa nak tolong awok ni udah menggeletor macam ni.
“Lepas itu saya dengor budak-budak udah diam, dia dah keluar penuh darah dekat tangan saya bercakap dengan suami Ya Allah abang udah habis budak ni udah berdarah tangannya,” katanya.
Menurutnya, selepas suspek menuju ke sekolah mencari anak sulung keluarga berkenaan anak saudara yang dipanggilnya datang dan menjerit mengatakan bahawa ketiga-tiga beradik sudah tidak bernyawa.
“Dia menjerit Andak habis anak saudara aku habis, lepas tu dia jerit Allahuakbar! Allahuakbar! sebelum melaungkan azan dan saya tak tahu nak cakap memang sayu tak sangka macam ini.
“Saya tak sanggup masuk ke dalam rumah untuk melihat mayat mereka kerana sudah tidak bermaya dan terkejut dengan apa yang menimpa,” katanya.
Baru sambut hari lahir anak sulung
Malam sebelum kejadian keluarga berkenaan baharu sahaja meraikan ulang tahun kelahiran anak sulung mereka, Zuryn Faziera.
Salbiah berkata, Mohd Fadzil sempat menghadiahkan sebuah basikal baharu buat anaknya itu.
“Basikal itu ada saya simpan di rumah saya malah plastiknya belum dibuka lagi sebab baru sehari dipakai kakak (Zuryn Faziera) semasa kejadian untuk ke sekolah petang itu.
“Budak baru dapat basikal baru jadi dia seronok bawa ke sekolah dengan kawan-kawan dia dan saya lihat mereka gembira sekali sambut ulang tahun kelahiran kakak malam itu,” katanya.
Dia berkata, Zuryn Faziera juga sudah menyusun siap-siap basikal buat Allahyarham adik-adiknya sebelum kejadian di mana basikal lamanya diberikan kepada adik keduanya, Faqhqih Zahirulhaq.
“Basikal Faqhqih Zahirulhaq pula diberikan kepada adik ketiga iaitu Firash Zaffril selepas dia memiliki basikal baharu tersebut dan mereka begitu semangat semasa itu.
“Saya betul-betul tak sangka akhirnya kegembiraan tersebut hilang sekelip mata apabila hanya tinggal kakak sahaja adik-adiknya meninggal dunia dalam kejadian tersebut,” katanya.
Dia juga tidak dapat menahan sebak apabila melihat gelongsor bersebelahan rumah mangsa melalui tingkap rumahnya yang sering menjadi tempat bermain adik-beradik itu setiap hari.
“Sunyi, sepi semuanya sudah tiada jeritan kegembiraan, bergaduh dari cucu-cucu saudara saya yang sebelum ini cukup riuh dan menghiburkan dengan karenah mereka,” katanya.
Haq cakap nak puasa tapi dia pergi puasa pertama
Sementara itu, sepupu juga jiran kepada bapa mangsa yang ingin dikenali sebagai Zul, 38 berkata, dia tidak menyangka kunjungannya ke rumah keluarga berkenaan malam sebelum kejadian adalah yang terakhir dia melihat tiga beradik tersebut.
“Malam itu saya bawa mi rebus sebab tahu esok nak puasa jadi mungkin boleh bagi tiga beradik tu makan untuk esoknya memandangkan mereka masih kecil untuk berpuasa.
“Masa itu saya lihat sendiri anak ketiga dan keempat iaitu Firash dan Ziah terbaring diruang tamu dan di situ jugalah saya lihat mayat mereka bergelimpangan selepas dibunuh dalam kejadian tersebut,” katanya dalam nada sebak.
Dia amat menyayangi ketiga-tiga beradik itu dan sering melawat anak saudaranya itu selain mencium mereka, tetapi kejadian yang penuh tragis itu menyebabkan dia kehilangan mereka sekelip mata.
“Saya sempat dengar Haq umur lima tahun bercakap dengan ayahnya dia nak puasa esok sebab cikgu cakap kita tak boleh makan bila berpuasa dan saya gembira mendengarnya.
“Tapi tak sangka hari pertama puasa dia yang sekolah tadika nak berpuasa dan hari itu juga dia pergi meninggalkan kami bersama dua lagi adiknya,” katanya.
Zul mengakui, apabila mengenangkan kejadian berkenaan dia begitu sedih kerana Mohd Fadzil dan suspek merupakan pekerjanya.
“Mereka juga rapat tetapi ia berakhir dengan kematian tiga beradik yang masih kecil.
“Masa saya lihat mereka dalam rumah selepas kejadian tersebut saya tak tahu mayat Haq ada dibelakang rumah mungkin dia cuba lari tetapi dilibas oleh lelaki berkenaan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/masih-terngiang-jeritan-itu-1.837660
Dihayun parang ketika kayuh basikal
![]()
TELUK INTAN - "Takut dan terkejut nampak pakcik bawa parang,” itulah perasaan anak sulung mangsa, Nur Zuryn Faziera, 9 yang dikejar suspek dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk, kelmarin.
Menurutnya, dia sedang mengayuh basikal bersama rakannya yang dikenali sebagai Aina untuk ke Sekolah Agama Rakyat berhampiran.
“Nampak pakcik berlari bawa parang dan terus hayun. Kami kelam kabut lari dan kemudian rasa pedih sikit kat belakang.
“Memang tak ingat apa-apa tapi saya dengar orang jerit dan menangis. Ustaz pun ada masa itu,” katanya yang ditemui di perkarangan Hospital Teluk Intan dan ditemani oleh saudara terdekatnya.
“Saya tak dapat tengok mak lagi. Mak ada dalam wad. Tahu mak luka tapi tak tahu la macam mana.
“Ayah pun ok tapi adik..., ada orang tunjuk gambar polis tutup muka adik,” katanya dalam nada sebak.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/rasa-pedih-belakang-tapi-ok-1.836308
3 beradik dikebumi satu liang lahad
![]()
Jenazah tiga beradik yang terbunuh dalam satu kejadian amuk semalam, dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap dekat Pasir Salak, hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
PASIR SALAK 18 Mei - Jenazah tiga adik beradik yang maut ditetak di rumah mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad di Selekoh, Bagan Datuk semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, dekat sini hari ini.
Jenazah Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhammad Firash Zaffril, 3, dibawa ke tanah perkuburan tersebut pada kira-kira pukul 9.10 malam diiringi ahli keluarga terdekat.
Terdahulu, kesemua jenazah mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada kira-kira pukul 7.30 petang selepas dimandi, dikafankan dan disembahyangkan di hospital berkenaan.
Semalam, ketiga-tiga jenazah tersebut telah di bawa ke HRPB untuk dibedah siasat yang bermula pagi tadi dan selesai pada kira-kira pukul 5 petang.
Sementara itu, suasana hiba dan sayu menyelubungi di tanah perkuburan yang dihadiri kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli-ahli keluarga, rakan-rakan mangsa termasuk masyarakat setempat apabila bapa mangsa, Mohd. Fadzil Mohammad, 32, diberi peluang mencium ketiga-tiga jenazah anaknya sebelum dikebumikan.
http://www.utusan.com.my/berita/jen...ebumi-satu-liang-lahad-1.675270#ixzz5FreN5N5j
Pendarahan berlebihan akibat luka tetakan di leher
![]()
MOHD Fadzil mendukung jenazah anaknya Muhammad Firash Zaffril keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, Seberang Perak. - Foto Muhaizan Yahya
IPOH: Jenazah tiga beradik Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, abangnya Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, dituntut ahli keluarga selepas hampir 10 jam proses bedah siasat dijalankan hari ini.
Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini difahamkan bermula jam 9 pagi dan berakhir 7 malam.
Tiga beradik berkenaan adalah mangsa yang maut dalam tragedi 1 Ramadan semalam akibat ditetak rakan sekerja bapa mereka dalam kejadian di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh, Bagan Datuk.
Difahamkan hasil bedah siasat mendapati punca kematian ketiga-tiga mangsa adalah pendarahan berlebihan akibat luka-luka hirisan dan tetakan di leher.
Bapa ketiga-tiga beradik itu Mohd Fadzil Mohammad, 32, turut sama menunggu bagi menuntut jenazah dari jam 8 pagi hingga proses bedah siasat selesai dan jenazah kemudian dimandikan sebelum disembahyangkan oleh ahli keluarga di Jabatan Forensik HRPB.
Jenazah tiga beradik itu kemudian dibawa dengan sebuah van jenazah untuk dihantar ke kampung halamannya di Ulu Dedap, Seberang Perak, untuk dikebumikan.
Dijangka kesemua jenazah akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap selepas solat Isyak.
Dalam kejadian amuk jam 2 petang semalam, turut cedera adalah ibu mangsa Zuraidah Md Ali, 35, yang putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus serta anak sulung Nur Zuryn Faziera, 9, yang cedera di kepala dan tangan kanan juga akibat ditetak.
Rakan sekolah anak sulung keluarga berkenaan dikenali sebagai Aina berusia sembilan tahun dan seorang guru agama Redhuan Embi, 32, juga cedera di pipi akibat ditetak susulan suspek bertindak ke sekolah berhampiran untuk menetak Nur Zuryn Faziera yang ketika itu berada di pondok di hadapan sekolah.
Polis turut mengesahkan seorang anggota polis turut cedera akibat bergelut dengan suspek ketika ingin memberkasnya dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selain ujian air kencing turut mendapati positif syabu dan ganja.
https://www.bharian.com.my/berita/k...rahan-berlebihan-akibat-luka-tetakan-di-leher
Rumah PPR baru duduk sebulan, kalau mahu bakar bakarlah, kata bapa
![]()
“KALAU nak bakar rumah tu... bakarlah, saya dah tak sanggup nak tinggal dan tengok rumah tu lagi,” kata Mohd Fadzil Mohammad, 32.
Mohd Fadzil, bapa kepada tiga beradik yang maut dalam tragedi amuk 1 Ramadan semalam berkata, dia tidak mampu untuk melihat barangan anak-anaknya terutama barang permainan.
Katanya, dia tidak sangka rumah idaman hasil Program Perumahan Rakyat (PPR) yang baru didiaminya sekeluarga kurang sebulan menjadi lokasi berlaku sejarah hitam yang tidak akan dilupakannya.
“Saya trauma untuk melihat lagi rumah itu, saya pasti anak sulung dan terutama isteri Zuraidah Md Ali, 35, juga tidak mampu lagi tinggal di rumah berkenaan kerana dia menyaksikan tragedi itu sendiri.
“Justeru, saya buat keputusan untuk membawa isteri serta anak (sulung) pulang dan tinggal di kampung halaman saya di Ulu Dedap, Seberang Perak untuk sementara waktu bagi memulihkan semangat kami,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.
Mohd Fadzil berkata, ketiga-tiga jenazah anaknya akan dikebumikan di kampungnya, hari ini selepas selesai proses bedah siasat.
“Isteri yang kini menjalani pembedahan susulan pergelangan tangan hampir putus di Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu melalui kakak ipar saya yang menemaninya mahu ketiga-tiga arwah anak kami dikebumikan di Kampung Sungai Haji Muhamad, Bagan Datuk.
“Tetapi saya bersama ahli keluarga yang lain sudah berbincang dan memikirkan apa yang terbaik adalah kebumikan arwah anak di Ulu Dedap agar kami tidak mudah terkenang kejadian yang berlaku, selain dapat memberi ruang untuk kami pulihkan semangat,” katanya.
Mohd Fadzil yang masih kelihatan lemah susulan tragedi ngeri itu bagaimanapun enggan bercerita lanjut berhubung kejadian menimpa keluarganya.
Dia bersama beberapa ahli keluarga dan rakan berada di HRPB sejak 9 pagi tadi bagi menuntut jenazah ketiga-tiga anaknya, dan setakat 3.30 petang dua mangsa sudah selesai dibedah siasat dan hanya tinggal jenazah anak bongsunya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/05/340919/kami-trauma-lihat-rumah-tu
Mujur cikgu pakai helmet
![]()
GURU Sekolah Menengah Kebangsaan Rungkup, Redhuan Embi, 32, menjadi mangsa amuk seorang lelaki yang mengorbankan nyawa tiga kanak-kanak.
“SAYA bernasib baik kerana masih memakai helmet (topi keledar) ketika berada di atas jalan kampung, jika tidak saya tidak mungkin dapat menikmati hari kedua Ramadan," kata Redhuan Embi, 32.
Guru Pendidikan Agama Islam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Rungkup itu antara mangsa serangan lelaki bersenjatakan parang yang mengamuk di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, dekat Rungkup di Bagan Datuk, semalam.
Katanya, topi keledar dipakai menyelamatkan kepalanya daripada cedera ditetak, namun bahagian pipi kanannya terpaksa menerima sekurang-kurangnya 60 jahitan akibat serangan suspek.
Mengimbau kembali kejadian itu, Redhuan berkata dia sedang menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.
"Saya selalunya akan membuka helmet apabila masuk jalan kampung tetapi pada hari kejadian saya rasa macam tak sedap hati.
"Kemudian saya bertembung dengan suspek yang sedang berjalan kaki dan biasanya bila jumpa orang kampung, saya angkat tangan tetapi saya tak nampak dia pegang parang ketika itu.
"Saya fikir suspek nak ke kebun tetapi selepas saya angkat tangan, dia terus melibas muka saya menyebabkan saya jatuh dari motor.
"Tanpa berlengah, saya cepat-cepat lari dan apabila menoleh ke belakang, suspek seperti mahu mengejar saya.
"Pada ketika itu juga darah banyak keluar dari pipi dan kemudian saya terjatuh ketika melarikan diri.
"Sekumpulan anggota polis yang melalui kawasan itu untuk menangkap suspek kemudian membantu saya. Saya kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Batang untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Bahagia, Teluk Intan, hari ini.
Redhuan berkata, dia tidak dapat menggambarkan nasibnya jika menanggalkan topi keledar ketika itu.
"Saya kenal keluarga suspek tetapi kami tidak begitu rapat. Sejak kejadian itu saya fobia untuk pulang ke rumah," katanya yang kini mendapat cuti sakit selama seminggu.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/05/340900/update-mujur-saya-pakai-helmet
Rambo dakwa tak tentu arah
![]()
“AKU ni ‘libang-libu’ (tidak tentu arah).”
Itu ungkap suspek yang menetak mati tiga beradik dan mencederakan empat yang lain di Kampung Sungai Haji Muhammad, Rungkup di Bagan Datuk, semalam.
Suspek, 35, meluahkan kata-kata itu kepada ibu saudaranya yang hanya mahu dikenali sebagai Siti ketika mereka bertemu di rumah lelaki terbabit, sehari sebelum kejadian.
Siti, 60-an, berkata dia pergi ke rumah suspek yang dipanggil 'Yang' dalam kalangan ahli keluarganya pada Selasa lalu untuk membeli buah dan daun pisang.
“Saya selalu membeli daun dan buah pisang di rumahnya (suspek). Dia mengizinkan saya untuk mengambil pisang, tetapi pada masa sama dia kelihatan tidak tentu arah.
“Selepas mengambil buah pisang, saya ada menghulur wang RM10 tetapi dia menolaknya. Dia kemudian berkata 'aku ni libang-libu'.
“Saya rasa tidak sedap hati dan takut dengan kelakuan dia yang kelihatan tidak tenang dan sedikit agresif, jadi saya terus menghidupkan enjin kereta dan pulang ke rumah," katanya ketika ditemui, hari ini.
Siti berkata, suspek sebenarnya seorang yang sangat rajin dan selalu membantu keluarga serta penduduk kampung.
“Saya tidak sangka dia akan buat begitu. Saya tidak tahu puncanya atau adakah dia ada masalah dengan ayah kepada mangsa?” katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/05/340896/update-suspek-dakwa-rasa-tidak-tentu-arah
Suspek kes tetak positif dadah
![]()
TELUK INTAN 18 Mei - Seorang lelaki yang ditahan kerana menetak sehingga mati tiga beradik di Kampung Sungai Haji Muhammad di Selekoh, Bagan Datuk semalam didapati positif dadah
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 35 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan ganja
Kata Mohd. Marzukhi, siasatan awal pihaknya mendapati ketika kejadian suspek berada dibawah pengaruh dadah namun dalam keadaan sedar
“Ujian saringan awal mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan ganja
“Kita percaya dia berada dalam keadaan khayal tetapi perbuatannya itu tidak menunjukkan dia sedang berkhayal kerana dia tahu siapa yang hendak dicarinya iaitu mangsa-mangsa terlibat,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/suspek-kes-tetak-positif-dadah-1.675090#ixzz5FpEOBo8o
*DAERAH: Hilir Perak*
*BTH: 17/5/2018*
*MAKLUMAN KES *
KEJADIAN AMUK SEHINGGA MENYEBABKAN KEMATIAN (3) KANAK-KANAK DAN (4) ORANG CEDERA PARAH.
*A. BALAI/NO.RPT*
Rungkup/000817/18
*B. MASA RPT*
1430 Hrs
*C. NO. KS*
Hilir Perak/JSJ/KS/-/18
*D. TARIKH RJH*
17/05/18.
*E. TEMPAT KEJADIAN*
Rumah tidak bernombor Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh Perak
*F. PENYIASAT*
ASP Mohd Subkey Alias
*G. KLASIFIKASI*
Sek 302 Kanun Keseksaan.
*H. PENGADU*
Nama : Konst 193111 Mohd Fazli bin Abdullah
KP : RF193111
Balai Polis Rungkup
*I. MANGSA*
Mangsa 1(si mati)
Nama : Nur Ziah Fasihah binti Mohd Fadzil
160831-08-0818
Umur : 2 tahun
Mangsa 2(si mati)
Nama : Muhammad Firash Zaffril bin Mohd Fadzil
150216-08-1027
Umur : 3 tahun
Mangsa 3(si mati)
Nama : Mohammad Faqhqih Zahirulhaq bin Mohd Fadzil
130402-08-0839
Umur : 5 tahun
Mangsa 4 (ibu simati)
Zuraidah binti Md Ali
830226-08-5776
Umur : 35 tahun
Suri rumah
(Kecederaan parah ditetak di bahagian ibu jari tangan kiri, muka dan kedua -dua belah paha)
Mangsa kelima(kakak sulung si mati)
Nama : Nur Zuryn Faziera binti Mohd
Fadzil
090517-08-0464
Umur : 9 tahun
Pelajar Darjah 3
(Kecederaan : luka dilibas parang di bahagian tangan kanan dan kepala)
Mangsa keenam
Nama: Aina(kawan Zurin)
Umur : 9 tahun
Pelajar darjah 3
(Kecederaan : luka di bahagian tangan kanan dan kepala)
Mangsa ketujuh
Nama : Ustaz Riduan
Umur : 40 an
Ustaz Sekolah Rungkup
(Kecederaan luka di pipi kanan terbuka dipercayai dilibas dengan parang)
*J. KERUGIAN*
*K. RAMPASAN*
Tiada.
*L. SUSPEK*
Tiada
*M. TANGKAPAN*
Nama : Shahrulfitri bin Jusoh
Kp : 830719085301
Umur : 37 tahun
Kerja kampung
Kawan kepada bapa mangsa
*N. RINGKASAN KES*
Pada 17/05/2018 jam 2.30 petang semasa pengadu bertugas di kaunter aduan Balai Polis Rungkup terima panggilan telefon daripada orang awam beritahu (1) lelaki kurang siuman mengamuk menggunakan parang di Hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad Selekoh Perak. Pengadu jadikan laporan ini sebagai laporan maklumat pertama pengadu.
Hasil siasatan dapati kejadian pertama berlaku di alamat rumah tidak bernombor Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh Perak. Kejadian disusuli dengan saspek datang menyerang Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad Selekoh Perak
Tempat kejadian merupakan rumah bantuan PPRT jenis batu setingkat yang mempunyai 3 bilik tidur dan satu bilik tandas. Kawasan belakang rumah merupakan kebun ladang sawit dan terdapat dua buah rumah berhadapan kawasan kejadian dengan jarak 80 meter dan 100 meter.
Terdapat tiga mayat yang dijumpai iaitu 2 mangsa berada di dalam rumah dan 1 di bahagian belakang rumah. Mangsa keempat iaitu ibu mangsa turut diserang di tempat yang sama dan mengalami kecederaan parah.
Mangsa kelima dan keenam telah diserang semasa berada di Sekolah Kebangsaan Haji Muhammad Selekoh.
Terdapat satu lagi mangsa ketujuh telah ditetak di bahagian pipi semasa melalui jalan utama Kampung Haji Muhammad Selekoh. Kesemua mangsa 4,5,6,&7 sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Saspek telah berjaya ditangkap bersama barang kes iaitu parang panjang lebih kurang 2 kaki berhulu kayu oleh anggota Balai Polis Rungkup dan ditahan di dalam lokap untuk siasatan lanjut.
*SEKIAN. TERIMA KASIH*
'Suspek bunuh tiga beradik direman'
![]()
SUSPEK yang dipercayai menyebabkan kematian tiga beradik dan mencederakan empat yang lain di Kampung Sungai Haji Muhammad, Rungkup, semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan
Perintah reman berkenaan yang bermula hari ini sehingga 24 Mei depan dikeluarkan Majistret Syahdatul Kamila Zakaria
Siasatan ke atas lelaki berusia 35 tahun itu akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, Nurziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, bersama dua abangnya, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mumammad Faqhqih Zahirul Haq, 5, disahkan maut di tempat kejadian
Tragedi turut menyebabkan ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, parah sementara kakak sulung, Nur Zurin Faziera, 9, bersama dua lagi penduduk kampung termasuk seorang murid tahun tiga, cedera. Suspek yang bekerja sebagai penyelenggara di sebuah agensi kerajaan dikatakan mengalami halusinasi dan bertindak di luar kawalan
Lelaki itu melibas tiga beradik berkenaan hingga menyebabkan kematian, sementara ibu mangsa cedera di pergelangan tangan kiri, putus ibu jari selain menerima jahitan di muka
Tindakan suspek berterusan apabila dia kemudian mengamuk di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhamad yang terletak kurang 50 meter dari kediaman keluarga terbabit
Kejadian amuk di kawasan sekolah menyebabkan dua murid termasuk kakak mangsa serta ustaz berusia 40 tahun, cedera
http://www.hmetro.com.my/utama/2018/05/340798/suspek-bunuh-tiga-beradik-direman
![]()
![]()
![]()
![]()
Guru sekolah yang cedera ditetak.
Suspek amuk tiada rekod sakit mental
![]()
BAGAN DATUK: Suspek yang menetak mati tiga kanak-kanak dan mencederakan empat mangsa lain dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, di sini, petang tadi, tidak mempunyai rekod sakit mental.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun dipercayai berhalusinasi dan mendengar bisikan sebelum kejadian berlaku.
"Polis menahan lelaki terbabit berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad selepas suspek melepaskan parang panjang yang dipegangnya.
"Semakan awal mendapati suspek yang juga rakan sekerja kepada tiga kanak-kanak yang dibunuh, tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta tiada rekod rawatan sakit mental," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yahya berkata, pihaknya akan menahan reman lelaki terbabit untuk siasatan lanjut, termasuk menjalankan ujian air kencing bagi mengenal pasti sama ada suspek positif dadah atau sebaliknya.
"Motif pembunuhan juga masih dalam siasatan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/05/427114/suspek-amuk-tiada-rekod-sakit-mental
Aku dah tak ada apa-apa lagi, raung bapa
![]()
BAGAN DATUK: “Aku dah tak ada apa-apa lagi."
Ini rintihan berulang Mohd Fadzil Muhammad, 32 tahun, bapa kepada tiga beradik yang dipercayai maut dikelar dalam insiden menyayat hati di Kampung Sungai Haji Muhamad, di sini pada petang Khamis.
Mohd Fadzil, 32 tahun yang kelihatan sugul, mencari kelibat anaknya sempat ditemui di perkarangan Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan selepas insiden tragis yang berlaku pada Ramadan pertama itu.
Ketiga-tiga beradik yang maut dikelar tersebut adalah Muhd Faqhqih Zahirul Haq Muhd Fadzil, 5 tahun, Muhammad Firash Zaffril, 3 tahun dan Nurziah Fasihah Fadzil, 2 tahun yang ditetak dengan kejam di kediaman keluarga tersebut.
Sementara itu, ibu tiga beradik itu, Zuraidah Md Ali, 35, dipercayai mengalami kecederaan parah akibat dilibas oleh lelaki tidak siuman berkenaan di beberapa bahagian badannya dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, suspek lelaki berusia 37 tahun dipercayai merupakan rakan sekerja kepada bapa mangsa di ladang kelapa sawit dan mempunyai motif tertentu untuk menjadikan keluarga tersebut sasarannya dalam insiden itu.
“Suspek telah pergi ke rumah rakannya dan menetak tiga beradik itu serta mengelar ibu mereka, sebelum bergegas ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad yang berada sekitar 20 meter dari rumah itu.
“Suspek kemudian mencari kakak sulung mereka, Nur Zurin Faziera, 9 dengan niat mencederakannya namun gagal berbuat demikian sebaliknya mencederakan seorang rakan sekelasnya, Ainaa, yang cedera di tangan,” katanya kepada pemberita.
Menurut Yahya, seorang guru agama yang hanya mahu dikenali sebagai Redzuan berada di perkarangan sekolah turut terkena amukan suspek, namun terselamat dan mengalami kecederaaan di pipi berikutan memakai topi keledar.
Katanya, polis kemudian berjaya menangkap suspek di sekolah rendah berkenaan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
http://www.astroawani.com/berita-ma...u-dah-tak-ada-apa-apa-lagi-bapa-mangsa-175769
Dengar jeritan sekeluarga, 30 minit kemudian senyap
![]()
“Lelaki itu memaki hamun sambil menetak dengan parang pintu rumah empat beranak berkenaan sebelum berjaya masuk.
“Keadaan sangat huru hara dengan jeritan tiga beradik serta ibunya, namun kira-kira 30 minit kemudian jeritan itu terhenti,” kata Salbiah Idris, 72.
Salbiah adalah nenek saudara kepada tiga kanak-kanak yang maut dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, Bagan Datuk, hari ini yang turut mengakibatkan empat lagi parah.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, tiga beradik yang maut itu adalah Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2; abangnya Muhammad Firash Zaffril, 3; dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.
Turut cedera dalam kejadian itu adalah ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, yang putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus serta anak sulung Nur Zuryn Faziera, 9, yang cedera di kepala dan tangan kanan juga akibat ditetak.
Rakan sekolah anak sulung keluarga berkenaan dikenali sebagai Aina, 9, dan seorang guru agama berusia 40 tahun juga cedera dalam kejadian amuk itu.
Salbiah berkata, dia tidak berani keluar rumah dan hanya menjerit dari tingkap meminta lelaki yang juga penduduk kampung itu agar bertenang.
“Namun lelaki itu menggugut saya agar tidak masuk campur dan akan menetak jika saya hampiri.
“Saya meminta bantuan suami Abu Bakar Jalil, 72, agar mententeramkan lelaki itu tetapi suami juga tidak berani kerana lelaki terbabit bersenjatakan parang,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak bersebelahan rumah mangsa.
Menurutnya, selepas keadaan menjadi senyap lelaki terbabit dilihat berjalan ke arah Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad dan dikatakan menetak anak sulung keluarga berkenaan serta dua lagi mangsa.
“Bapa tiga beradik itu Mohd Fadzil Mohammad, 32, dikatakan melarikan diri sebaik menyedari lelaki berkenaan yang juga rakan sekerjanya memotong kelapa sawit, menyerang rumah.
“Polis tiba selepas dihubungi penduduk kampung sebelum pemeriksaan di dalam rumah mendapati dua beradik berlumuran darah di ruang tamu manakala anak yang kecil di pintu belakang rumah.
“Ibu kanak-kanak itu pula berada dalam bilik dengan kecederaan manakala nenek tiga beradik itu tidak dicederakan,” katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/05/340686/30-minit-kemudian-jeritan-terhenti
TIGA Kanak-kanak (dua depan) dan seorang didukung ibu yang maut ditetak seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh. - Foto Ihsan Pembaca
![]()
![]()