BTC USD 62,128.6 Gold USD 4,466.23
Time now: Jun 1, 12:00 AM

10 jam tersesat di Bukit Larut

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg

Kesemua pendaki yang tersesat berjaya dibawa keluar dari kawasan Bukit Larut oleh pasukan penyelamat​

TAIPING - Lima pendaki tersesat selama hampir 10 jam ketika menuruni Bukit Larut pagi kelmarin.

Empat daripada mangsa terbabit, Mohd Iqbal Razali, Mohd Khairul Faiz Mat Tajuddin, Syazwan Kamaruddin, Mohd Fazlil Hafiq Mohd Sharif merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Semanggol.

Nadrin Hanafi Mohd Rozi, 20, yang mengetuai pendakian itu berkata, mereka berlima menyedari tersesat ketika menggunakan jalan pintas dalam perjalanan turun.

Menurutnya, mereka memulakan pendakian pada kira-kira jam 10 pagi sebelum mengambil keputusan untuk turun kira-kira satu jam kemudian.

"Selepas berbincang, sekitar jam 12 tengah hari kami buat keputusan menggunakan jalan pintas untuk turun. Bagaimanapun, selepas menyedari ada sesuatu yang tidak kena, kami sepakat untuk mendaki semula ke lokasi asal, namun gagal.

"Ketika sedang mencari jalan keluar, seorang daripada rakan mengalami kecederaan apabila kaki kirinya terseliuh.

"Jadi kami semua mengambil keputusan untuk menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Dia bersama rakan-rakannya turut menjerit meminta tolong dan jeritan mereka didengari sepasukan anggota bomba yang sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat.

"Kami bersyukur kerana semuanya selamat. Sebelum ini, kami pernah melakukan pendakian bersama namun ini adalah kejadian yang pertama kami tersesat jauh di dalam hutan.

"Saya dan rakan-rakan lain akan lebih berhati-hati dan mengikut laluan betul ketika mendaki supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Dengar jeritan minta tolong

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa, Hasna Rashid berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat sejurus menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 5.37 petang.

Menurutnya, dua jentera dengan kekuatan 15 anggota bersedia di lokasi kejadian dan empat daripada mereka masuk ke lokasi untuk mencari kesemua mangsa terbabit.

"Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat pada jam 7.45 malam, kira-kira enam kilometer dari lokasi permulaan operasi selepas mendengar jeritan mangsa meminta tolong.

"Keadaan kelima-lima mangsa sangat lemah ketika ditemui kerana terpaksa menahan lapar dari siang. Selain itu, kesemua mereka termasuk seorang yang mengalami kecederaan ringan di kaki dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

"Kumpulan remaja terbabit dibawa keluar dari lokasi kejadian kira-kira jam 10.51 malam," katanya.

Hasna berkata, anggotanya terpaksa menempuh pelbagai cabaran ketika kerja operasi mencari dan menyelamat apabila melalui jalan bercuram ketika menuruni kaki bukit.

"Keadaan cuaca yang semakin gelap juga sedikit menyukarkan operasi menyelamat dan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan pistol suar yang di tembak ke langit untuk menjadi panduan jalan keluar," katanya.

Kejadian kedua tahun ini

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian tersebut adalah kes kedua berlaku di lokasi sama pada tahun ini.

"Saya menasihatkan pendaki supaya mengikut laluan yang ditetapkan dan jangan menggunakan jalan pintas bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Beliau berkata, seramai 40 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping terbabit dalam operasi tersebut dengan dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Larut Matang dan Selama serta kakitangan
pusat peranginan Bukit Larut.
 
Back
Top
Log in Register