𝗪𝗮𝗿𝗶𝘀𝗮𝗻 𝗡𝗲𝘆𝗺𝗮𝗿 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗕𝗼𝗹𝗮 𝗦𝗲𝗽𝗮𝗸
Sudah tentu tidak semua orang menyukai Neymar.
Sikapnya yang gemar berlakon di atas padang, perangainya yang kadang-kadang kebudak-budakan serta gaya rambutnya yang pelik mungkin membuatkan ramai berasa jengkel.
Namun, satu perkara yang tidak boleh disangkal adalah keupayaannya untuk menghiburkan ramai penonton di stadium dan di rumah.
Jika anda menonton Neymar dan tidak pernah merasakan keajaiban dalam permainannya, mungkin anda terlalu membenci perwatakannya sehingga tidak dapat menikmati kebolehannya.
Memang benar, Neymar sendiri turut menyumbang kepada tekanan yang dikenakan ke atasnya.
Keputusannya meninggalkan Barcelona untuk menyertai PSG pada 2017 membuktikan bahawa dia mahu menjadi bintang utama, bukannya sekadar pemain kedua di belakang Messi.
Dia juga sering bercakap tentang impiannya untuk menjadi pemain terbaik dunia.
Namun, menilai Neymar hanya berdasarkan impian yang tidak tercapai adalah tidak adil. Sejak kecil, dia dipaksa memikul harapan yang tidak realistik, harapan untuk menjadi "Pele yang seterusnya".
Pada akhirnya dunia tidak mendapat "Pele baharu", sebaliknya seorang pemain genius yang mampu mencipta detik-detik magis di atas padang.
Jika orang menganggap Neymar sebagai satu kegagalan, mungkin masalah itu bukan terletak pada dirinya tetapi pada orang yang meletakkan harapan tinggi ke atasnya.
Neymar kini merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Brazil mengatasi legenda seperti Pele, Ronaldo, Garrincha dan Ronaldinho.
Zuraimi Zukri