Berita Hangat!!~
Sumber Dari:
http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Monday/Setempat/20070101110108/Article/indexm_html
IPOH: Ada sindiket tertentu termasuk dari luar negara dikesan menawarkan urus niaga membabitkan mata wang Dinar Iraq di negara ini kononnya ia bakal memberi pulangan 150 kali ganda.
Urus niaga itu dijalankan menggunakan laman web serta orang perseorangan yang dilantik ejen sindiket terbabit dengan menawarkan jualan Dinar Iraq pada harga yang rendah.
Antara contoh yang digunakan ketika menjalankan urusniaga terbabit ialah bagaimana orang ramai yang membeli mata wang Kuwait pada suatu ketika dulu mengaut keuntungan besar apabila dijual semula sebaik negara itu kembali aman daripada peperangan.
Menurut sumber, sebuah bank terkemuka di sini, dakyah yang disebarkan itu sebenarnya bertujuan menipu untuk mengaut keuntungan dari orang awam.
“Bagaimana sebuah negara yang sedang bergolak mempunyai nilai mata wang yang tinggi.
“Mata wang Dinar Iraq bukan saja bernilai rendah malah bank dan pengurup wang di Malaysia tidak berurus niaga dengan mata wang itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, sejak dua minggu lalu setiap hari lebih enam orang datang untuk menukar mata wang sama ada Dinar Iraq 10,000 atau Dinar Iraq 1,000 selepas membeli dari individu tertentu termasuk dipercayai kakitangan kerajaan.
Sumber bank berkata, ramai pembeli cuba menukarkan wang terbabit di bank perdagangan dan di premis pengurup wang khususnya di Ipoh dan Kuala Kangsar tetapi gagal berbuat demikian sehingga mengakibatkan mereka (pembeli) kerugian.
Beliau berkata, bagi negara Teluk, pihak bank hanya menerima Riyal dalam urus niaga pertukaran wang asing selain 25 mata wang popular dunia.
Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zainuddin mendakwa dia membeli mata wang itu selepas percaya dengan pujukan ejen mata wang yang juga kakitangan kerajaan.
“Saya membeli Dinar Iraq terbabit 1,000 dengan harga RM20 selepas diyakinkan kakitangan kerajaan itu bahawa mata wang ini bernilai 150 kali ganda di pasaran.
“Tetapi apabila datang ke sini (pengurup wang), mereka memberitahu saya sudah diperdaya,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini.
Katanya, dia kesal dengan kerana mempercayai ejen yang juga kakitangan kerajaan itu.
Bagaimanapun Zainuddin enggan memberitahu jumlah kerugian yang dialaminya akibat kegiatan penipuan itu.