BTC USD 84,571.3 Gold USD 4,140.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Vampiro Awang

TengkuHaadi

Active+ Member
Messages
4,628
Joined
Mar 24, 2008
Messages
4,628
Reaction score
593
Points
81
Vampiro Awang





Oleh Nizam Zakaria
​



Wilayah Persekutuan Singapura, Malaya 2005.

Pada hari esok, Aliya akan menyambut hari jadinya yang ke-18. Tak ada orang yang menyambut hari jadinya ini. Mereka semua lupa. Pada hari-hari seperti inilah Aliya merasa begitu sepi.

Pada sepanjang malam itu dia menghabiskan masanya dengan termenung ketika sedang bekerja di kedai 7Eleven, di Blok 111, Lorong 1, Toa Payoh. Aliya sebenarnya tidak mempunyai semangat untuk bekerja. Kepalanya berserabut memikirkan tentang kehidupannya yang penuh membosankan.

Aliya tidak mempunyai ramai kawan di Singapura. Kedua orang tua dan adik beradiknya yang lain berada di kampungnya di Segamat, kecuali kakaknya yang paling tua sekali yang telah mengikut suaminya menetap di Singapura.

Aliya telah berhijrah ke Singapura sejak enam bulan yang lalu dan kini dia menumpang di rumah kak longnya. Seperti keluarganya di kampung, keluarga kak longnya itu juga besar. Di rumah kak longnya itu, dia terpaksa tidur sebilik dengan empat orang anak saudaranya yang semuanya masih bersekolah – bersesak-sesak di dalam bilik tidur yang sama.

Walaupun dia telah lama menetap di rumah kak longnya itu, dia masih merasa tidak selesa di sana. Dia masih merasakan dia orang luar yang datang menumpang, tidak lebih dari itu.

Sejurus selepas dia selesai melakukan shif kerjanya di 7Eleven, dia terus keluar lalu melintasi jalan untuk tempat tinggalnya di blok 116, yang letaknya betul-betul di hadapan blok 111. Ketika berjalan, Aliya mendapati malam itu bulan mengambang cerah. Angin pula bertiup kencang. Aliya kesejukan. Dia memeluk tubuhnya sendiri ketika berjalan.

Aliya memikirkan kembali mimpinya semalam. Mimpinya yang telah berulang-ulang sejak beberapa minggu yang lepas. Mimpi yang sama tentang seorang lelaki yang dilihatnya sedang terjun dari bumbung bangunan tempat tinggalnya. Di dalam mimpinya itu, dia dapat melihat wajah lelaki itu dengan jelas. Dia dapat melihat lelaki itu memandang kepadanya lalu dia terjun tanpa berkata-kata di dalam malam bulan mengambang seperti malam ini. Mimpinya itu membuatnya merasa resah tak sudah...

Aliya merenung ke arah muka pintu lif di blok 116, sehinggalah pintu lif terbuka untuk membawanya ke tingkat atas. Entah mengapa, untuk melayani rasa bosan, dia menekan butang untuk ke tingkat 20 dan bukan ke tingkat 14. Di dalam lif, dia termenung memandang ke arah siling lif. Kemudian dia memandang ke arah jam tangannya. Beberapa minit lagi dia akan menyambut hari jadinya.

Apabila pintu lif terbuka, Aliya keluar dari perut lif, lalu menarik nafasnya dalam-dalam. Suasana di blok 116 agak sunyi pada malam itu – yang kedengaran cuma bunyi sayup-sayup rancangan TV berbahasa Cina yang sedang ditonton oleh seorang penduduk tingkat 20 yang belum masuk tidur.


Aliya berjalan menaiki tangga yang menuju ke arah bumbung flat. Dia memandang ke atas. Aliya dapat melihat terdapat sebuah tangga besi di sana. Tangga besi itu mengarah kepada sebuah pintu kecil yang nampaknya tidak terkunci seperti kebiasaannya. Dia memberanikan dirinya untuk meniti tangga besi untuk naik ke bumbung flat.

Setibanya Aliya di bahagian teratas tangga besi itu, dia membuka pintu kecil tersebut lalu dia memanjat sehingga dia dapat naik sehingga ke bumbung.

Aliya tidak tahu dari mana dia mendapat keberanian untuk meneroka kawasan bumbung flatnya pada malam-malam buta seperti ini. Di dalam masa yang sama, juga dapat merasakan seolah-olah suara hatinya terpanggil agar dia pergi ke sini. Pada malam ini. Pada saat ini.

Aliya berjalan dengan berhati -hati di atas bumbung yang berangin itu. Tangannya memegang dinding batu yang menutupi tangki air agar dia tidak terjatuh. Kawasan bumbung itu dilimpahi dengan cahaya bulan yang menerangi bumi pada malam itu. Keadaan hening di atas bumbung ditambah lagi dengan panorama kota Singapura membuatkan perasaan Aliya tenang ketika dia sedang berada di situ.

Aliya menarik nafasnya panjang-panjang. Dia duduk di situ. Dia memandang ke arah langit yang tidak berawan pada malam itu. Dia mengeluarkan coklat Sneakers yang dicurinya dari tempat kerjanya tadi. Dia mengeluarkan coklat Sneakers dari bungkusan lalu mula mengunyah.

Ketika itu Aliya memandang ke arah hujung bumbung. Dia terkejut dapat melihat seorang lelaki dengan pakaian serba hitam sedang berdiri di situ. Lelaki tersebut memandang ke arahnya tanpa berkata apa-apa. Aliya yakin dia pernah melihat kelibat lelaki itu sebelum ini. Ya, Aliya pasti dia telah mengenali lelaki itu dari mimpinya sebelum ini!

Aliya memberanikan dirinya untuk mendekati lelaki tersebut. Apa yang sedang lelaki misteri itu lakukan di situ pada malam hari seperti ini, tanya Aliya kepada dirinya sendiri. Tetapi, dia juga sedang berada di situ. Mungkin mereka mempunyai tujuan yang sama – mencari ketenangan.

“Excuse me...” Aliya memulakan bicara. “You buat apa di sini?”

Lelaki tersebut menoleh ke arahnya. Dia tersenyum nakal. Kemudian katanya perlahan:

“Aku tunggu kau.”

“Apa?”

“Bukan kau ke sini kerana kau terpanggil untuk ke sini?”
 
“Sorrylah... Wrong number. I nak balik. Dah lewat sangat ni.” Kata Aliya cepat-cepat. Dia mahu pergi. Dia tak ada masa nak melayan perkara yang bukan-bukan di malam hari seperti ini di atas bumbung blok 116 yang sepi itu.

“Aliya...”

“Huh?” Aliya terkejut lelaki tersebut memanggil namanya.

“Nama aku Awang... Kita pernah bertemu.”

“Apa?”

“Kau pernah melihat aku di dalam mimpi kau... Di sini.”

“Mana kau tahu tentang ini semua?” tanya Aliya kehairanan. Tetapi dia tidak takut. Dia dapat merasakan dia tidak perlu takut kepada Awang.

“Aliya... Segala-galanya tentang diri kau aku tahu.” Awang berjalan semakin hampir ke bahagian tebing bumbung. “Aku tahu tentang diri kau lebih dari kau mengenali siapa diri kau itu sendiri—”

“Siapa kau sebenarnya?” cahaya bulan menyimbah ke wajah Awang yang pucat. Wajah Awang menampakkan ketenangan. Dia mempunyai raut wajah yang tampan tetapi jelas kelihatan seperti dia pernah menanggung musibah yang tidak terkira beratnya.

“Sudah aku jelaskan... Nama aku Awang.” Jawabnya lalu berjalan meniti tebing di tepi bumbung. Jika dia tidak berhati-hati dia akan jatuh ke bawah. Aliya kelihatan cemas apabila Awang berjalan seperti itu, langsung tidak mengendahkan keselamatannya.

“Apa yang kau mahu dari aku?” tanya Aliya. Kemudian dia mahu memekik apabila dia melihat Awang memusingkan tubuhnya ke hadapan lalu terjun dari bangunan flatnya itu di hadapan mata kepalanya sendiri.

Aliya mahu memekik tetapi lidahnya kelu. Dia terlalu terkejut. Awang telah terjun membunuh diri. Kini dia menjadi saksi kepada kes bunuh diri!

“Aku mahu kau sedar bahawa kau adalah seorang manusia istimewa, Aliya.” Ujar Awang di belakang Aliya. Mulut Aliya ternganga apabila dia mendapati Awang sedang terapung beberapa meter dari permukaan bumbung sebelum dia turun menghadapnya.

“Aku sedang bermimpi!” tingkah Aliya di dalam hati sambil menepuk pipinya sendiri. Dia mahu bangun dari mimpinya.

“Kau bukan bermimpi, Aliya!” ujar Awang yang telah membaca isi hatinya. Perbuatan Awang telah membuatkan Aliya mahu panik. Degupan jantungnya semakin kencang. Lebih-lebih lagi apabila Awang semakin mendekatinya. Awang memegang


rambutnya yang panjang mengurai itu. Dia memerhatikan rambut Aliya dengan penuh minat. Aliya menepis tangan Awang. Dia mendapati tangan Awang sejuk. Terlalu sejuk.

“Kau tentu selalu tertanya-tanya... Mengapa kau perlu hidup, sedangkan hidup ini membosankan. Orang-orang yang kau kenali tak faham dengan perangai kau yang suka menyendiri dan lebih-lebih lagi keistimewaan semula jadi yang kau ada. Mereka tak faham kau mampu melihat benda-benda yang kau sendiri tidak fahami... Jika kau dilahirkan di masa yang lampau, kau akan dianggap sebagai seorang orakel...” Awang masih terapung di hadapannya dengan kakinya masih tidak menjejak lantai.

Buat sedetik Aliya memikirkan tentang kata-kata Awang tadi. Sememangnya betul kata-katanya. Sejak kecil lagi dia dapat melihat imej yang bukan-bukan di dalam kepalanya. Imej-imej tempat dan wajah yang tidak dikenalinya yang tiba-tiba sahaja datang meresap ke dalam fikirannya. Sehingga kini dia tidak mampu untuk memahami sebahagian besar dari apa yang dilihatnya. Tatkala dia masih kecil dia sering menceritakan kepada anggota keluarganya yang lebih tua tentang apa yang dapat dilihatnya - seperti berita kematian orang kampungnya serta musibah yang bakal menimpa mereka. Ahli keluarganya akhirnya memaksa dia jangan memberitahu kepada orang lain tentang apa yang dapat dilihatnya. Mereka tidak mahu orang kampung memikirkan yang dia menjadi pembawa kecelakaan kepada penduduk kampungnya.

Apa yang membuat Aliya lebih gusar adalah dia dapat merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena di dalam hidupnya. Aliya juga dapat merasakan seolah-olah dia hanya menunggu masa untuk diseru untuk melakukan sesuatu yang bermakna buat dirinya.

Selama ini Aliya hidup dalam keadaan penuh keliru. Dia keliru dengan dirinya dan dengan keadaan di sekelilingnya. Dia tidak mampu memahami dirinya dan kuasa luar biasa yang dipunyainya.

“Jadi apa kau mahu dari aku?” tanya Aliya dengan gugup setelah lama dilumangkan sepi.

“Aku mahu kau ikut aku pergi dari sini... Ke tempat di mana keistimewaan kau ini dapat digunakan untuk menyelamatkan umat manusia.”

“Okay... Benda ni dah tak masuk akal lagi. Aku nak balik!” Aliya menggelengkan kepalanya lalu berjalan kembali ke arah anak tangga yang akan membawanya ke tingkat bawah.

“Adakah itu yang kau mahu?” tanya Awang dengan suara yang lantang. Aliya berhenti melangkah. Kalimah-kalimah Awang berdengung di dalam kepalanya. “Kau mahu terus menerus hidup begini tanpa mengetahui siapa diri kau ini sebenarnya?”

Aliya menoleh lalu memandang kepada Awang. Dia tidak tahu siapa Awang ini sebenarnya dan dia masih tidak dapat mempercayai dia sedang mendengar kata-kata seorang lelaki yang mampu terapung di udara. Mungkin dia sedang bermimpi, gamaknya.
 
“Siapa sebenarnya aku?”

“Kau manusia istimewa dengan salasilah yang cukup istimewa. Keturunan kau sejak turun temurun telah banyak membantu manusia dengan kebolehan luar biasa yang telah diturunkan kepada kamu semua--”

“Apa yang kau cakap ni?”

“Kau anak angkat...”

“Aku tahu, jadi kenapa?” jerkah Aliya. Sesiapa sahaja yang melihatnya pasti tahu dia adalah anak angkat keluarganya. Dia jelas mempunyai wajah kacukan Melayu-Eropah. Wajahnya juga manis dan terserlah cantik jika dibandingkan dengan wajah keluarga angkatnya.

Tidak banyak yang Aliya tahu tentang latar belakangnya sendiri. Apa yang dia tahu, ketika dia masih bayi, dia telah ditinggalkan di hadapan rumah keluarga angkatnya. Sejak dia kecil dia telah menganggap keluarga angkatnya itu sebagai keluarganya sendiri.

“Kau tidak kenal siapa keluarga kau sebenarnya kerana kau perlu dilindungi... Jika kau tidak disembunyikan, pihak musuh akan cuba mencari kau dan membunuh kau.” Awang memulakan cerita.

“Ada orang mahu mencari aku dan membunuh aku?”

“Ya... Tidak lama lagi kau akan tahu sendiri tentang mereka ini.” jelas Awang sebelum dia menambah lagi. “Ibu dan bapa kau tahu bahawa kau manusia yang istimewa. Sebab mereka terpaksa telah menyembunyikan kau dari musuh-musuh mereka. Kedua orang tua kau tahu kami akan datang untuk mendapatkan kau ketika usia kau tepat 18 tahun. Dan masanya kini telah tiba—“

“Apa yang telah terjadi kepada keluarga kandung aku?”

“Mereka telah lama dibunuh... Bila kita ada masa nanti, akan aku ceritakan tentang mereka kepada kau—“

“Benda kau cakap ni semua tak masuk akal lah!”

“Kau sendiri tahu bahawa kehidupan kau akan akhirnya menuju ke arah ini. Jauh di dalam hati kau... Kau tahu kau istimewa dan keistimewaan kau ini akan kau gunakan dengan sebaiknya.” Kata-kata Awang bergema di dalam kepalanya tanpa Awang perlu membuka mulutnya. Awang menggunakan kuasanya untuk masuk ke dalam kepala Aliya lagi.


Awang kini berjalan menghampirinya. Awang merenung ke dalam mata Aliya. Buat sepintas lalu Aliya dapat melihat apa yang mahu diperlihatkan oleh Awang kepadanya.

Wajah Aliya pucat. Kini dia lebih memahami. Di dalam sekelip mata, Awang telah membuatkan Aliya melihat apa yang perlu dilihatnya. Aliya telah diperlihatkan suasana apokalips yang menakutkan apabila umat manusia diperhambai oleh satu kuasa jahat yang mahu menguasai bumi. Pada waktu itu ramai manusia yang terkorban. Yang hidup pula, hidup dalam keadaan kegelapan yang penuh terseksa keadaannya. Bumi ini gelap, kontang, gersang!

Aliya mula merasakan perlu melakukan sesuatu dan nalurinya memberitahu dia memang boleh melakukan sesuatu untuk menyelamatkan umat manusia.

“Tapi mengapa aku?”

"Kerana tanpa kau, kami tak mungkin dapat mengalahkan mereka." Jelas Awang walaupun dia tidak memberitahu kepada Aliya identiti 'kami' yang telah disebutkan dalam kalimah-kalimahnya.

“Aku tak faham...”

“Kuasa istimewa kau diperlukan oleh kami untuk cuba menghalang mereka dari cuba memusnahkan manusia dengan menukar perjalanan sejarah.”

“Apa?”

“Dunia kau ini... Adalah dunia yang telah mereka ubah perjalanan sejarahnya...

Jika kita tidak melakukan sesuatu, dunia kau ini akan berubah di luar jangkauan pemahaman kau!”

“Maksud kau?”

“Dengan menukar perjalanan sejarah... Mereka dapat memastikan penguasaan mutlak mereka terhadap manusia.”

“Kau dari mana sebenarnya ni?” tanya Aliya kebingungan.

“Kau akan tahu kelak.” Kata Awang tanpa mahu menjelaskan lagi. “Kau perlu aku bawa ke dunia aku.”

“Tidak. Maafkan aku. This is too weird!”

“Kau tak ada pilihan lain, Aliya.” Awang mengeluarkan sebilah pisau tajam dari dalam kotnya. Dia menoreh telapak tangannya. Dia memastikan darah pekatnya melekat pada pisau itu sebelum dia menghunus pisau tersebut ke dalam perut Aliya. Perkara ini
 
dilakukan Awang dengan cekap dan cepat sehingga tidak sempat Aliya dapat mengelak. Bajunya terus dibasahi dengan darahnya yang mengalir deras dari perutnya.

Aliya dapat merasakan kesakitan yang amat sangat. Bisa tusukan pisau Awang terasa sehingga ke tulang sum-sum. Dalam sepantas kilat, Awang menolaknya ke tebing bumbung sehingga mereka berdua terjatuh dari bangunan 20 tingkat itu. Dengan serta merta Aliya mula sedar dia sedang berhadapan dengan kematiannya sendiri.

Aliya dapat melihat dirinya terjatuh bersama Awang di hadapannya. Semuanya berlaku seperti sebuah filem yang telah dilambatkan. Aliya dapat melihat wajah Awang yang kelihatan puas ketika tubuhnya berhenti dari terus terjatuh lalu terapung di tingkat 6.

Tatkala itu, Awang menarik kembali pisau yang tertusuk di perut Aliya. Darah Aliya yang membasahi bajunya kini hilang seperti diserap masuk kembali ke dalam tubuhnya.

Sedetik kemudian, tubuh Aliya rebah ke atas lantai simen di hadapan sebuah kedai foto di blok 116 . Awang yang sedang terapung di tingkat 6 itu pula dengan selamba masuk ke dalam koridor lalu berjalan ke arah lif terdekat.

Tubuh Aliya terkulai kaku di atas lantai simen yang dingin dengan kepalanya terpusing ke belakang.

Seminit kemudian, seorang wanita menjerit apabila dia terserempak dengan tubuh Aliya yang terkulai di hadapannya. Awang berjalan menghampiri tubuh Aliya. Dia tersenyum puas. Walaupun begitu dia tahu kerjanya belum selesai lagi...

*

Aliya bermimpi. Di dalam mimpinya ngerinya itu dia dapat melihat kembali kemusnahan kepada umat manusia yang telah ditunjukkan oleh Awang kepadanya sebelum ini. Mimpi ngerinya itu berulang-ulang - dia langsung tidak dapat melarikan dirinya dari terus digamit mimpi ngeri itu. Dia merasa dirinya terperangkap di dalam mimpi ngerinya sendiri...

Apabila Aliya membuka matanya, dia mendapati Awang sedang berdiri di hadapannya. Bayu dingin malam menyapu wajahnya ketika dia sedang berada di dalam keadaan terbaring di sebelah kubur yang baru sahaja digali. Aliya cuba menggeliat, tetapi dia mendapati tubuhnya telah dikapankan. Dua orang gadis kembar berbangsa Eropah berambut perang membuka kain kapan yang melitupi tubuhnya.

Tubuh Aliya diselimuti dengan sehelai kain berwarna hitam sebaik sahaja kain kapannya selesai dibuka. Pasangan kembar itu kemudian memandang ke arah Awang untuk menunggu arahan seterusnya dari Awang.

Tatkala itu Aliya menghirup udara malam dalam-dalam. Dia merasa begitu segar sekali. Dirinya merasa begitu bertenaga. Dia tidak perlu lagi mengenakan cermin mata


atau kanta pelekapnya untuk melihat dengan jelas. Dia merasa pelik seolah dia sedang berada di dalam tubuh yang lain.

“Di mana aku sekarang?” tanya Aliya dengan wajah penuh kerisauan. Bingung.

Lapar. Dahaga...

“Kau di tanah perkuburan Bidadari.” Jawab Awang dengan selamba.

“Apa?” Aliya memerhatikan keadaan di sekelilingnya. Sememangnya dia sedang berada di kawasan perkuburan.

“Mereka telah tanam kau petang tadi.” Awang menjelaskan. Dia memegang bahu Aliya. Dielusnya bahu Aliya perlahan-lahan seolah dia telah lama mesra dengannya.

“Apa ni? Is this a joke?” Aliya menepis tangan Awang.

“Aku telah uruskan agar kematian kau kelihatan seperti kejadian bunuh diri.” Awang memandang kepada skrin kecil di lengannya yang mula berkelip-kelip. “Sekarang dengan rasminya kau dianggap telah mati. Jadi tidak ada sesiapapun yang akan mencari kau lagi. Kau boleh bergerak bebas untuk ke mana-mana yang kau suka.”

“Kematian aku? Apa pulak ni? Aku masih hidup!” Aliya menyerigai dalam kekeliruannya. Walaupun begitu, dia masih dapat mengingati perbuatan Awang membunuhnya dengan menusukkan pisau ke dalam tubuhnya lalu menolaknya jatuh dari flat tempat tinggalnya. Aliya memandang ke perutnya. Dia mendapati tidak terdapat apa-apa kesan tusukan di situ.

“Kau pastinya haus.” Awang menukar corak perbualan dengan mencampakkan sebiji botol logam berwarna merah kepada Aliya. Dengan pantas Aliya dapat menangkap botol tersebut. Dia sendiri tidak mempercayai ketangkasan tangannya.

Aliya membuka penutup botol tersebut. Dia meneguk isi botol tersebut. Dia tidak pernah merasakan air sesedap itu di dalam hidupnya. Setiap tegukan cecair di dalam botol yang masuk ke dalam perutnya terasa seperti membuatkan dirinya semakin segar dan bertenaga. Rasa lapar dan dahaga yang amat sangat yang telah dirasakannya tadi hilang dengan serta-merta.

"Air apa ini?" tanya Aliya kepada Awang. Tubuhnya yang tadi terasa dingin kini dihangati haba tenaga luar biasa.

“Darah...” jawab Awang tenang. “Bukan dari jenis sintetik. Aku fikir kau layak merasai darah asli manusia buat kali pertama kau menghilangkan rasa lapar di dalam diri kau...

“Mulai sekarang, tubuh kau hanya boleh menerima darah untuk kau minum agar kau dapat terus hidup. Kau tidak boleh makan seperti manusia biasa. Tubuh kau tidak akan menerima apa yang kau makan. Kau perlu ingat, kau bukan bergelar manusia lagi...”

Wajah Aliya berubah pucat. Botol yang dipegangnya tadi terjatuh ke atas tanah. Dia tidak mahu mempercayai kata-kata Awang tadi hatta nalurinya memberitahu Awang berkata benar kepadanya.

Di dalam pada itu, Aliya mula sedar kini pandangan matanya menjadi semakin terang dan pendengarannya juga bertambah jelas. Aliya memandang ke arah beberapa lembaga aneh yang muncul di hadapannya berjalan mundar-mandir di kawasan perkuburan.

“Siapa mereka?” tanya Aliya ketakutan. Bulu romanya naik menegak melihat kelibat lembaga-lembaga ini yang kelihatan begitu menyeramkan baginya.

“Tak usah pedulikan siapa mereka... Mereka tak akan ganggu kau selagi kau tak mengganggu mereka.” Ujar Awang. Aliya ketakutan. Sukar untuk dia mencerna penjelasan dari Awang tadi inikan pula menerima apa yang sedang berlaku kepadanya sekarang. Dia masih bingung. Dia masih yakin dia sedang bermimpi.

“Jadi apa yang telah kau lakukan kepada aku?” Sekonyong-konyongnya Aliya bertanyakan soalan ini kepada Awang apabila dia semakin sedar perubahan yang berlaku terhadap dirinya. Fikirannya masih bingung. Otaknya masih cacamarba.

“Kau telah dilahirkan semula sebagai makhluk seperti aku.”

“Apa maksud kau?”

“Kau sekarang seorang vampiro, Aliya... Seorang orakel yang telah dijadikan seorang vampiro.... Kau bakal menjadi antara vampiro yang paling berkuasa yang pernah wujud di dunia ini.” Awang menekan skin lebar di lengannya. Sarung tangan hitamnya mengeluarkan cahaya terang pada bahagian hujung jari telunjuknya. Kemudian dia menuding jari telunjuknya itu ke hadapan seolah ingin menyentuh sesuatu. Ruang kosong di hadapannya kelihatan seperti air yang terpercik kemudian bergelombang. Perlahan-lahan gelombang itu semakin membesar sebelum berubah menjadi sebuah pusaran dengan diameter 2 meter lebar.

Awang memegang tangan Aliya. Serta merta Aliya dapat merasakan dia perlu memberikan sepenuh kepercayaan kepada Awang. Dia berjalan mengikut Awang masuk ke dalam pusaran misteri itu...
 
Buku I. Bab 1

Selama hidupku, aku pasti bahawa aku telah dilahirkan pada tahun 1493 - itulah yang aku fikirkan, kerana tatkala itu aku berumur 17 tahun atau mungkin 18, ketika Portugis datang menyerang Melaka.

Sememangnya aku telah menyaksikan segala-galanya. Jika aku diminta menceritakan kembali peristiwa berdarah serangan Portugis ke atas Melaka, mungkin mereka yang mendengarnya tidak akan mempercayainya. Mereka mungkin tidak akan mempercayai bahawa pada satu ketika dahulu bumi Melaka yang bertuah pernah bermandikan darah...

Sayugia dicatatkan di sini aku sendiri telah melihat bagaimana sungai Melaka pernah bertukar merah. Aku sendiri melihat bagaimana ramainya anak-anak Melayu Melaka yang telah dibunuh, disembelih dan diseksa di hadapanku. Aku dapat melihat segala-galanya.

Ketika itu aku bersama anak-anak muda Melayu Melaka yang lain, kami telah berhempas pulas cuba mempertahankan kota Melaka, tetapi tidak banyak yang dapat kami lakukan untuk melawan bala tentera Portugis yang lengkap bersenjata dan cukup terlatih. Masakan anak-anak muda Melaka sepertiku yang hanya bersenjatakan pedang, keris dan tombak dapat melawan bala tentera Portugis yang bersenjatakan meriam, senapang dan panah?

Tatkala aku tidak mampu melawan kemaraan bala tentera Portugis lagi, yang terus menyerang, merompak dan memusnahkan kota Melaka, aku terus pulang ke rumahku yang terletak di pinggir kota Melaka untuk mempertahankan nasib keluargaku di sana.

Tengah malam. Aku pulang kepenatan dengan bajuku yang dikotori lumpur dan darah. Hanyir. Aku dapat melihat wajah bimbang ibu dan bapaku. Ibuku menangis sambil memelukku. Dia fikir aku sudah mati, kerana ramai anak jiran-jiranku yang diberitakan telah mati. Aku memberitahu kepadanya bahawa nyawaku masih liat. Aku belum mahu mati lagi.

Tidak sampai sejam aku berada di rumah, seorang anggota tentera Portugis merempuh masuk ke dalam rumahku. Sebelum api pelita di rumahku padam, aku dapat melihat wajahnya yang pucat dengan rambutnya yang perang keemasan. Tidak seperti tentera-tentera Portugis yang lain, aku dapati wajahnya licin tidak berjambang. Matanya biru. Wajahnya berseri. Usianya mungkin di sekitar pertengahan 20-an. Dia masih muda lagi.

Aku pasti aku boleh melawannya. Jadi aku mengambil kerisku dan bapaku pula mengeluarkan tombak untuk cuma menewaskannya. Kami cuba sedaya upaya kami untuk menyekat kemaraannya, tetapi dengan cepat aku sedar bahawa apa yang cuba kami tentang pada ketika itu adalah sesuatu yang berada jauh di luar jangkauan kami.


Seteruku itu terlalu kuat. Terlalu hebat. Sebaik sahaja pelita dipadamkan olehnya, aku langsung tidak dapat melihat kelibatnya dengan jelas. Aku hanya dapat melihat satu bayangan hitam yang bergerak pantas di dalam gelap. Kemudian tanpa amaran, dengan sekali libas, dia membuatku terpelanting ke udara lalu rebah melanggar dinding kayu rumahku sehingga pecah. Aku tidak dapat mengingati apa yang telah berlaku selepas itu. Aku jatuh pengsan buat seketika.

Tatkala aku membuka mataku, aku dapat melihat bahagian dapur rumahku mula terbakar. Di dalam cahaya samar-samar aku dapat melihat tubuh adik-adikku yang masih kecil bergelimpangan dalam keadaan mengerikan di hadapanku. Aku dapat mendengar suara ibuku menjerit-jerit sambil memeluk tubuh adik bongsuku yang berlumuran darah. Lehernya telah dikelar. Apabila aku memandang ke arah pintu yang mengarah kepada anjung rumahku, aku dapat melihat bapaku pula - di hadapan mata kepalaku sendiri, dibunuh dengan cara yang kejam. Lehernya ditoreh dengan sebilah pisau besi yang tajam yang akhirnya aku kenali sebagai pisau secespita – sebilah pisau yang telah digunakan untuk membunuh keluargaku yang kini menjadi milikku.

Darah memancut keluar dengan deras dari leher bapaku, lantas darahnya itu diratah oleh tentera Portugis yang kejam itu, yang kemudian aku kenali dengan nama Cassius, orang paling kanan Fernao de Magalhaes; seorang nakhoda salah sebuah kapal perang dalam satu armada yang telah diketuai oleh Alfonso d'Albuquerque.



ok, selebihnya bleh download kat sini...:p

http://www.4shared.com/get/-Kc7qMHJ/awang_vampiro.html
 
Back
Top
Log in Register