BTC USD 84,448.2 Gold USD 4,130.97
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Tolonglah Tepati Masa!

Jam tangan bagi jejaka seperti aku hanya berperanan sebagai alat menyukat masa. Langsung tiada niat untuk berfesyen (atau berige, ikut loghat Parit). Aku sedor, diri yang takda rupa macam aku ni memang tak sesuai untuk bergaya. Prinsip aku, jika dah tak hensem tu, pakai apa pun tak hensem jugak.

Lagipun, berdasarkan sejarah lebih kurang 100 tahun dahulu. Jam tangan sangat praktikal buat askar-askar yang bertempur untuk membuat penyergerakan dan koordinasi dengan komander sewaktu melancarkan serangan. Namun, tidak lama sebelum Perang Dunia Pertama meletus, jam tangan hanya dianggap sebagai aksesori wanita.



Manusia pertama yang memakai jam tangan adalah di kalangan wanita. Seorang bangsawan dari Hungary, Countess Koscowicz telah menempah jam tangan dari pembuat jam Switzerland, Patek Philip khas untuknya pada tahun 1868 menurut Guinness Book of Records. Bagaimanapun, lelaki pertama yang memakai jam tangan lebih sukar untuk menemukan rekodnya di dalam sejarah.

Bagaimanapun, pakar-pakar sejarah bersetuju tentang idea meletakkan jam pada gelang tangan bermula pada Perang Inggeris-Boer (1899-1902, Afrika Selatan). Tidak lama sebelum itu, Tentera Laut German mula menggunakan jam tangan untuk memudahkan pemasaan sewaktu melakukan pengeboman artileri dari kapal perang. Pembuat jam, Girard-Perregaux bertanggungjawab menghasilkan jam tangan untuk kegunaan ketenteraan.

Vintage-Pilot-WatchSewaktu Perang Dunia Pertama meletus, ramai askar-askar dan juruterbang memakai jam tangan supaya pergerakan mereka selaras dengan arahan komander masing-masing. Dalam peperangan yang semakin kompleks pada waktu itu, pengeboman artileri sangat kritikal. Oleh itu, pergerakan antara askar dan tembakan meriam artileri perlu diselaraskan untuk mengelakkan kecederaan dan kematian akibat kesilapan dalam memberikan arahan.

Kejituan adalah perkara utama pada zaman awal pemakaian jam tangan. Tambahan pula, pada penghujung kurun ke 19 dan awal kurun ke 20, Eropah mula melangkah masuk ke era pemodenan. Pada ketika itu, ketepatan masa amat penting dalam kehidupan harian mereka yang semakin sofistikated. Sistem pengangkutan keretapi pada waktu itu amat berbangga dengan ketepatan jadual mereka. Bukan sahaja sistem pengangkutan, bahkan seluruh kehidupan mereka telah mula membentuk budaya menjaga ketepatan masa. Pembuat-pembuat jam terkemuka era berkenaan, seperti Rolex, Vacheron Constantin, Frank Müller, Jaeger-LeCoultre dan Patek Phillipe, amat berbangga dengan kejituan produk masing-masing walaupun harganya mahal nak mampus.

Namun, lain pula halnya di Malaysia. Jam tangan yang mahal tidak memberi sebarang erti buat si pemakainya untuk menepati masa. Buktinya, cuba lihat pada VIP-VIP yang dijemput hadir pada majlis-majlis tertentu. Kebanyakannya datang lewat dari masa yang telah ditetapkan oleh penganjur. Sudahlah datang lewat, tiada langsung tanda-tanda rasa bersalah.

Sudahnya, pihak penganjur pula yang kena ubah tentatif program.

anakaskarpencen.com/blog/2014/04/jam-tangan-untuk-gaya-atau-ketepatan-masa/
 
Back
Top
Log in Register