soybean
CG Hardcore Club


- Messages
- 63,243
Paid Membership
- Joined
- Feb 15, 2009
- Messages
- 63,243
- Reaction score
- 4,135
- Points
- 661
Muhaamad Hafis Nawawi
[email protected]
Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan beberapa langkah proaktif untuk meningkatkan semula prestasi perniagaan susulan pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan langsung kepada penurunan penggunaan perkhidmatan kereta api.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, bilangan penumpang perkhidmatan kereta api pada 2020 dan 2021 menunjukkan penurunan ketara sebanyak 80 peratus berbanding 2019.
Menurutnya, perniagaan kargo KTMB bagaimanapun masih dapat mengekalkan momentum walaupun terdapat penurunan sedikit terutamanya pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"KTMB turut memperkenalkan beberapa langkah proaktif untuk meningkatkan semula prestasi perniagaan antaranya pengenalan perkhidmatan tren sewa khas, Ekspres Koc Basikal (XKB).
"Alhamdulillah, pada 29 Januari lalu, KTMB mengadakan Program Familiarization Trip (FamTrip) Ekspres Koc Basikal (XKB) bagi laluan Kuala Lumpur – Tanjung Malim.
"Impak daripada FamTrip itu, KTMB menerima maklum balas yang amat positif daripada rakyat Malaysia khususnya penggemar aktiviti sukan berbasikal," katanya ketika berucap pada Malam Bersama KTMB: Memperkasakan Standard dan Kualiti Perkhidmatan.
Mohd Rani berkata, KTMB berharap momentum daripada FamTrip itu akan konsisten dan lebih ramai peminat basikal dan kereta api tertarik dengan perkhidmatan ditawarkan.
"Selain dari koc basikal, KTMB juga menawarkan pelbagai koc untuk disewakan, contohnya konference koc, salon koc, chillax koc dan event koc yang dipasarkan mengikut permintaan ramai dan kami juga berkolaborasi bersama agensi pelancongan kerajaan dan swasta.
"Selain itu, KTMB juga melanjutkan perkhidmatan tren baharu di sektor Pantai Timur, iaitu Diesel Multiple Unit (DMU) bagi perjalanan dua hala dari Kuala Lipis hingga ke Gemas.
"Jika sebelum ini, DMU hanya beroperasi bagi laluan Tumpat ke Kuala Lipis, kini ia melakukan larian komersial bagi laluan baharu Kuala Lipis ke Gemas bermula 21 Februari lalu," katanya.
Beliau berkata, akhirnya langkah itu dapat dilaksanakan selaras dengan hasrat pihak pengurusan KTMB untuk menjadikan laluan Pantai Timur dari Tumpat ke Gemas diganti dengan perkhidmatan tren baharu, iaitu tren DMU.
"Tren DMU ialah tren yang menggantikan tren konvensional sedia ada. Ia dilengkapi dengan fasiliti yang moden seperti surau, bistro dan koc tempat duduk yang mempunyai penyaman udara.
"Ia tentu sekali memberi lebih keselesaan kepada para penumpang di sektor Pantai Timur yang lama menantikan kemunculan tren ini," katanya.
Katanya, pihaknya juga mengeksplorasi peluang 'Eko-Tourism' untuk memantapkan lagi sektor pelancongan di negeri Pantai Timur.
"Disebabkan sambutan yang tinggi untuk tren ke Dabong, kami menawarkan 'Couple Set' pada setiap hujung minggu untuk menampung jumlah permintaan yang tinggi.
"KTMB berharap langkah ini akan menjadi salah satu faktor penggalak untuk rakyat Malaysia memilih tren berbanding pengangkutan lain untuk ke destinasi yang ingin dituju," katanya.
Menurutnya, KTMB juga meneruskan pelaksanaan pas MyRail5 iaitu perjalanan bulanan tanpa had untuk tempoh 30 hari dengan harga pas bernilai RM5.
"Seiring dengan langkah untuk mengoptimumkan perniagaan kargo sekali gus menawarkan penyelesaian logistik secara menyeluruh, KTMB mengeluarkan Request for Proposal (RFP) untuk sewaan (leasing) 30 lokomotif dan 1,510 gerabak pada Oktober 2021 yang kini di peringkat penilaian. Inisiatif ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus pada 2050.
"Seiring dengan Revolusi Teknologi 4.0 "Automasi dan Pendigitalan" sebagai pemangkin ekonomi negara, kami juga menaik taraf sistem KTMB Integrated Ticketing Syatem (KITS) kami tanpa tunai dan atas talian," katanya.