Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,777
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,777
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
Teo Nie Ching
Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching hari ini mempersoalkan kewajaran serta motif sebenar kerajaan negeri Johor mewujudkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Teo yang juga Pengerusi DAP Wanita Kebangsaan berkata beliau bimbang mekanisme berkenaan boleh menjejaskan ketelusan sistem demokrasi kerana individu yang dilantik tidak melalui proses pemilihan oleh rakyat menerusi peti undi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan menyeluruh berhubung tujuan sebenar pewujudan jawatan tersebut bagi mengelakkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, selain memastikan prinsip akauntabiliti dalam pentadbiran terus dipelihara.
“Kita perlu fikir baik-baik dan tanya diri sendiri. Kalau ADUN lantikan itu bukan diwujudkan untuk menjaga mereka yang kalah dalam PRN, jadi ADUN lantikan itu diwujudkan untuk bantu siapa? Untuk melantik siapa?
“Jadi, siapa yang akan mereka lantik, khasnya apabila mereka menerima banyak bantuan daripada PAS dalam PRN ini,” katanya ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh di Bilik Gerakan Utama PH DUN Paloh di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Paloh, Dr Ruban Arumugam.
Pada 7 Mei lepas, Sidang DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan enakmen negeri yang membolehkan pelantikan sehingga lima ADUN bagi memperkukuh fungsi serta komposisi Dewan.
Sementara itu, Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi mempertahankan rekod pencapaian Kerajaan Perpaduan yang menurutnya sedang melaksanakan reformasi sistem secara berperingkat, khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan sosial.
Beliau mengakui pentadbiran Kerajaan MADANI masih mempunyai ruang penambahbaikan, namun menegaskan beberapa perubahan penting telah berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran semasa demi kepentingan rakyat.