combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Penang 2030: Lapan Sasaran Utama Dicapai, Sedang Dilaksana
Foto: Erma Idayu
Lapan daripada 10 sasaran utama Penang2030 kini telah dicapai atau berada pada landasan untuk dicapai, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Beliau berkata pencapaian itu meliputi pelbagai bidang termasuk kebajikan dan sokongan perumahan, pembaharuan tadbir urus tempatan, pelancongan, pendidikan, pertanian, keusahawanan serta pembangunan belia.
“Setakat laporan awam terakhir saya, kira-kira lapan daripada setiap 10 sasaran utama Penang2030 sama ada telah dicapai atau sedang bergerak ke hadapan secara aktif.
"Perkembangan pelaksanaan Penang2030 boleh dipantau secara terbuka menerusi Penang2030 Dashboard yang mula beroperasi sejak Jun 2022, membolehkan penduduk dan ahli politik termasuk pembangkang menyemak pencapaian kerajaan negeri pada bila-bila masa," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kad Laporan 8 Tahun Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau berkata setiap inisiatif strategik dalam dashboard itu mempunyai seorang exco dan pegawai yang bertanggungjawab memastikan inisiatif itu dilaksanakan serta menjawab mengenai kemajuannya.
Chow mengakui sektor pertanian masih memerlukan penambahbaikan, dengan Pulau Pinang kini mempunyai 384 kebun bandar, namun produktiviti pertanian masih belum mencapai sasaran negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri mahu memperluas penggunaan teknologi seperti pertanian pintar, pertanian tepat dan pertanian menegak dengan memanfaatkan kepakaran industri elektrik dan elektronik (E&E) serta bakat kejuruteraan yang terdapat di Pulau Pinang.
Pembentangan laporan prestasi itu, katanya bukan bertujuan untuk meraikan pencapaian semata-mata, sebaliknya menjadi ruang untuk kerajaan negeri menilai semula kedudukannya bagi menentukan hala tuju dengan lebih tepat.
Chow berkata beberapa projek infrastruktur utama negeri dijangka berlanjutan selepas 2030, sekali gus memberi ruang kepada penggantinya untuk menentukan sama ada program sedia ada perlu diteruskan atau digantikan dengan keutamaan baharu.