BTC USD 84,268.9 Gold USD 4,157.68
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Mosquitotrapper.blogspot.com

Aedes kalis racun - Dikhuatiri tiada vaksin untuk denggi
Oleh WARTAWAN KOSMO! [email protected]



KAEDAH pengasapan bagi membunuh nyamuk perlu dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan mengawal serangga perosak itu. NYAMUK aedes kini mempunyai sistem imuniti terhadap racun serangga. Perkara itu didedahkan pakar serangga Universiti Malaya (UM) Prof. Dr. Mohd. Sofian Azirun. Beliau merujuk kepada beberapa kajian yang dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini. Kajian tersebut mendapati daripada 100 nyamuk aedes, 50 sudah kebal daripada pelbagai jenis racun serangga. Jelasnya lagi, amalan pengasapan yang dilakukan sekarang turut menjadi punca nyamuk kini semakin kebal. Racun itu meresap semasa proses pembiakan nyamuk aedes termasuk racun ‘temphos’.

“Ini kerana semasa proses pembiakan, ia menjadi sebati dengan racun itu dan menghasilkan nyamuk yang tidak alah terhadap racun serangga. “Serangga ini menghasilkan enzim esterase yang menjadikan dirinya lebih kuat dan kalis racun. Proses ini dinamakan rantai silang,” katanya.

Ujar Mohd. Sofian, nyamuk aedes juga mudah menyesuaikan diri dengan situasi semasa kerana telur serangga itu mampu hidup tanpa air selama seminggu. Malah dengan setitik cecair sahaja sudah cukup untuknya membiak. Lebih mengejutkan apabila proses pengawanan cuma berlaku sehari dalam rangkaian hidup haiwan itu. Nyamuk betina bahkan kini boleh membiak tanpa kehadiran nyamuk jantan atau dirujuk sebagai ‘aseks’.

“Ini kerana bahagian spermatika pada badan nyamuk aedes betina mampu menampung lebih 100 sperma jantan untuk disenyawakan,” jelasnya lagi.

Merujuk kepada virus demam denggi, Mohd. Sofian berkata, tiada vaksin yang boleh menyembuhkannya kerana struktur virus itu mampu berubah dari semasa ke semasa.
“Sama seperti ubat untuk melawan virus demam malaria, kita dikatakan menemuinya, namun virus itu berubah struktur sel,” katanya. Setakat ini kes demam denggi mengorbankan 2.5 bilion nyawa di serata dunia.

Ia mula menyerang negara ini pada tahun 1902 bermula di Pulang Pinang. Tahun 1998, hanya terdapat 1,428 kes namun pada 2004 menjadi 35,926 kes dengan 102 kematian. Ia meningkat 30 kali ganda dalam tempoh 50 tahun.

Sebanyak 100 negara melaporkan kes demam denggi dengan purata 50 juta kes setahun dan 500,000 kes kematian akibat demam itu.

Mohd. Sofian berkata, kerajaan perlu memikirkan pendekatan terbaik bagi mengurangkan kes demam denggi dengan kempen berkesan di media massa. Beliau menambah, kaedah lain yang boleh dilakukan ialah memasukkan jentik-jentik nyamuk jenis toxorhynchites di tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Larva nyamuk ini memakan larva nyamuk aedes. Ia mampu menghalang pembiakan nyamuk aedes selain penggunaan ikan gapi,” katanya.

Merujuk kepada Selangor yang mempunyai kes demam denggi yang tinggi, beliau berkata negeri itu berisiko tinggi kerana ia menjadi tumpuan ramai orang dari negeri-negeri lain.
“Kawasan yang padat, pembukaan kawasan baru dan kawasan pembinaan banyak menyumbang perkara ini selain perubahan suhu dunia secara total,” katanya lagi
 
Back
Top
Log in Register