PETALING JAYA - Cita-cita seorang bekas tentera untuk menjadi bilal di sebuah surau tidak kesampaian apabila ditahan kerana disyaki memukul seorang lelaki warga Indonesia hingga mati di Mentari Court Kelana Jaya di sini kelmarin.
Kejadian pukul 8.20 malam itu berlaku apabila suspek berusia 42 tahun tersebut gagal mengawal dirinya dan seolah-olah hilang akal apabila bertindak memukul kepala mangsa bertubi-tubi.
Sumber memberitahu, lelaki yang mempunyai sembilan rekod jenayah dadah tersebut ditahan pukul 6.30 pagi semalam sebaik pihaknya mendapat maklumat mengenai kematian mangsa di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Siasatan awal mendapati, suspek telah bertengkar dengan mangsa berusia 27 tahun itu di kawasan perumahan tersebut ketika sedang bekerja di situ.
"Melalui maklumat, kita percaya mereka berselisih faham selepas mangsa menyindir hasrat suspek untuk jadi bilal di sebuah surau di kawasan itu," katanya.
Tambahnya, geram dengan sindiran tersebut, suspek kemudian bertindak memukul mangsa dengan topi keledar hingga mangsa cedera parah sebelum terjatuh lalu terhantuk ke batu.
:-?:-?:-?