BTC USD 63,539.1 Gold USD 4,480.95
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kerusi Terpakai

lempeng

Fun Poster
Messages
895
Joined
Dec 16, 2005
Messages
895
Reaction score
145
Points
23
1747108683631.png




Kerusi Terpakai

Ini kisah tentang perabot lama — dan sebab kenapa sampai hari ini aku tak berani beli barang second-hand.

Kejadian ni berlaku beberapa tahun lepas, masa aku bekerja di sebuah syarikat SME. Waktu tu pejabat baru saja berpindah ke lokasi baru — di tingkat dua sebuah stor. Kami semua tengah kelam-kabut nak habiskan kerja tertunggak sebab proses berpindah tu buat semua projek tertangguh.

Malam tu aku ambil keputusan untuk stayback dan siapkan seberapa banyak kerja yang aku boleh. Projek dah tertangguh berbulan-bulan sebab orang sebelum aku, dan sebagai pengganti baru, aku nak buktikan kemampuan aku. Sorang demi sorang rakan sekerja aku balik, dan akhirnya tinggal aku seorang.

Team lead aku datang tanya,
“Eh kau tak balik lagi?”
Aku jawab,
“Nak siapkan kerja ni sikit lagi bang. Lagi pun dah lambat sangat overdue tarikh projek ni.”

Dia pandang aku dengan muka pelik. Macam nak cakap sesuatu… tapi dia tahan diri. Lepas tu dia senyum — senyuman pelik dia yang selalu muncul bila dia “nak cakap tapi tak boleh cakap.”
Dia cakap “Okaylah, jaga diri bro,” dan terus keluar.

Aku pelik jugak tengok riak muka dia tu… tapi aku cepat lupa sebab fokus nak habiskan kerja. Bila suasana pejabat makin senyap, udara makin sejuk. Aku tarik windbreaker balut rapat-rapat ke badan. Perut pun dah mula berkeroncong lapar sebab belum makan malam — tapi aku dah bertekad nak siapkan kerja dulu.

Tiba-tiba… aku rasa.

Rasa macam ada seseorang tengok aku dari belakang.
Dan bukan tengok biasa-biasa — tapi pandangan marah. Geram. Dendam.
Aku tak boleh nak gambarkan sepenuhnya macam mana perasaan tu, tapi seolah-olah ada sesuatu yang sejuk, tajam, menikam ke belakang kepala aku yang bikin bulu tengkuk aku merinding.

Masa tu juga… udara keliling berubah rasa lain macam. Terasa sesak dan begitu dingin. Macam selimut basah lutsinar disarungkan ke atas badan aku. Aku jadi kaku. Takutnya lahai… jantung berdetak kencang dalam dada macam nak pecah.

Perlahan-lahan, aku cuba kawal semula fikiran. Aku paksa jari aku taip benda mengarut atas keyboard, sekadar untuk tipu otak yang aku ‘ok’.
Aku ingat lagi — belakang aku adalah pintu bilik mesyuarat. Waktu semua orang keluar tadi, pintu tu memang tak ditutup balik.

Dengan tangan menggeletar, aku bisik perlahan,
“Bang… saya cuma nak habiskan kerja je. Jangan marah, okay…”

Tapi ‘renungan’ tu tak berhenti. Aku rasa nak terkencing dalam seluar.
Dan makin lama… aku rasa benda tu semakin dekat. Aku panik. Perasaan seram tu makin kuat.
Aku rasa benda tu sedang merayap, menjalar dari belakang.

Aku cuba cari tangkal yang aku selalu bawak… Tapi entah apa suweinya, tangkal tu tertinggal kat rumah pulak dah! Udara rasa makin sesak dan sejuk beku. Dengan sisa-sisa semangat yang aku ada, aku mula baca mantra yang aku tahu, apa saja yang aku ingat.

Tiba-tiba… rasa berat tu hilang.
Macam benda tu undur balik ke dalam bayang-bayang kegelapannya. Aku terus kemas barang dan lintang-pukang cabut lari keluar dari pejabat.


Esoknya aku datang lewat sikit — konon bagi “cooling off.” Masa sampai, aku jeling dulu ke arah bilik mesyuarat sebelum duduk.
Lepas tu, ketua pasukan aku datang tanya perlahan,
“Semalam… kau okay ke? Ada tak apa-apa yang tak kena?”

Aku pun cerita semua sekali. Dia dengar dengan muka serius dan penuh khusyuk.
Bila aku habis bercerita, dia diam agak lama.
Lepas tu dia cakap,
“Team leader pasukan lain pun pernah kena kacau jugak kau tau.”

Malam tu mamat tu orang terakhir keluar pejabat. Masa tengah berjalan ke pantry, dia nampak seorang perempuan berjalan ke arahnya.
Dia ingatkan ada orang tersesat masuk pejabat — tapi sebelum sempat dia tegur… perempuan tu tiba-tiba hilang.

Eish… meremang bulu roma aku dengar.
Malam tu aku berjanji pada diri sendiri — jangan sekali-kali tinggal seorang diri lagi.

Hari tu pulak, bos panggil meeting tergempar dalam bilik mesyuarat. Aku duduk resah semacam, asyik-asyik tengok jam bilalah nak habis.
Lepas meeting berakhir, aku terus keluar tergesa-gesa. Tapi bila sampai kat meja — suwei betul! Notebook aku tertinggal kat dalam pulak dah…. Terpaksalah aku masuk semula ke dalam bilik mesyuarat tu.

Masa aku buka pintu… aku rasa balik ‘aura’ semalam. Dan kali ni… aku perasan ia datang dari dua buah kerusi lama kat penjuru bilik.

Kerusi tu peninggalan penyewa lama — kerusi kayu buatan tangan yang dicat semula dengan cat murah — satu warna hijau, satu warna merah. Aku capai notebook cepat-cepat… dan terus keluar.


Untuk seminggu lepas tu, aku pastikan aku balik awal dan tak pernah lupa pakai tangkal.

Satu hari, aku datang kerja dan rasa lain. Tak seram-seram dah macam biasa. Bila aku jenguk ke bilik mesyuarat… kerusi-kerusi tu dah tak ada.

Bos kata penyewa lama datang ambil balik. Tapi… aku tak percaya. Apa pun kebenarannya… tak ada lagi gangguan lepas tu.
Dan aku… tak pernah beli perabot terpakai sampai hari ini.


 
Back
Top
Log in Register