Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,764
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,764
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Kerjasama PKD-NADI Perlu Dimuktamad Dalam Tempoh Sebulan - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada perasmian Bengkel Kerjasama Strategik Pejabat Komuniti Daerah (PKD), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kerjasama antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Komunikasi berkaitan penyelarasan Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) perlu dimuktamadkan untuk dibawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dalam tempoh itu, segala isu berkaitan sumber manusia, aset, kewangan, program, perkongsian data dan skim perkhidmatan perlu diselesaikan supaya tidak menjadi penghalang kepada proses penyelarasan.
“Jadi kita sama-sama tetapkan garis masa, jadual waktu, pembahagian peranan dan indikator keberhasilan yang jelas.
“Saya berharap selepas bengkel ini, memorandum Jemaah Menteri antara kita (dengan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil) sama-sama kita duduk dan muktamadkan untuk dibawa kepada mesyuarat Kabinet dalam tempoh sebulan dari hari ini,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) KKDW dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini.
Ahmad Zahid berkata penyelarasan PKD dan NADI perlu dilaksanakan berasaskan persefahaman dan semangat saling menghormati bagi memastikan keputusan yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Itulah prinsip sebuah kerjasama. Bukan sekadar untuk duduk semeja, malah juga saling menghormati suara rakan dalam perbincangan. Bukan hanya bersama-sama ketika memerlukan, malah juga berpegang kepada persefahaman dan keputusan yang telah kita persetujui bersama. Kerjasama membawa hasil terbaik apabila saling menghormati,” katanya.
Beliau juga mahu ekosistem PKD dan NADI yang dipersetujui terus dikekalkan walaupun sekiranya berlaku pertukaran menteri atau kerajaan pada masa akan datang.
“Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan KSU KKDW tolong jangan tukar perkara yang kita persetujui dalam bengkel hari ini dan disokong oleh Jemaah Menteri. Cukuplah kita berbeza pendapat, jangan kita berbeza dalam pelaksanaan. Ini penting,” katanya.