“Merry Christmas” Oleh Hafiz Firdaus Abdullah (www. al-firdaus. com)
"Sebenarnya tiada nas yang jelas daripada al-Quran dan hadis yang mengharamkan orang Muslim mengucap tahniah dan menghadiri perayaan bukan Muslim. Tetapi orang Muslim yang berfikiran tertutup termasuk yang menjadi ulama mempunyai banyak sebab membolehkan mereka mengharamkan perkara itu.
Salah satu sebabnya seperti disebut forumner di atas, iaitu kerana orang Kristian didakwa syirik, maka kita mengucap tahniah kepada orang Kristian dan menghadiri majlis Krismas mereka dianggap menjadi syirik yang dosa lebih besar dari menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya.
Dia lupa bahawa Nabi Muhammad s. a. w. memberi penghormatan kepada mayat bukan Muslim, Allah membenarkan orang Muslim makan dan kahwin dengan wanita Ahli Kitab dan sebagainya.
Di atas adalah nukilan daripada kata-kata Astora Jabat dalam ruangan Bicara Agama, Mingguan Malaysia pada 26 Disember 2004. Ringkasnya dalam artikel beliau yang berjudul Ucapan selamat Hari Krismas syirik?¸Astora Jabat berpendapat dibolehkan mengucapkan Merry Christmas kepada orang-orang beragama Kristian. Dalilnya adalah, seperti biasa, tidak ada nas yang jelas daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang melarang orang Islam mengucapkan Merry Christmas kepada orang Kristian.
Sememangnya sudah tidak asing lagi bagi kita semua bahawa antara bentuk dalil yang masyhur di sisi Astora Jabat dan lain-lain tokoh Islam Liberal dalam menegakkan sesuatu fahaman mereka ialah “tidak ada nas yang jelas”. Kemudian mereka mencari apa sahaja penguat yang lain untuk mendukung fahaman tersebut. Semua ini seolah-olah Islam adalah satu agama vakum yang boleh dipenuhi oleh apa sahaja yang dikehendaki oleh seseorang.
Sampai-sampai kita boleh umpamakan, berlaku satu kes ragut beg tangan di hadapan orang ramai. Salah seorang daripada orang yang menyaksikan kes tersebut berkata: “Selamat meragut beg tangan, tahniah!”.
Lalu orang ramai menegur: “Kenapa anda mengucapkan tahniah kepada peragut itu?”
Orang itu menjawab: “Tidak ada nas yang jelas daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang melarang kita daripada mengucapkan tahniah kepada seorang peragut. Adakah kalian lupa bahawa mungkin dia kelaparan dan inginkan wang untuk membeli makanan? Adakah kalian lupa bahawa dia mungkin rindu kepada kawan-kawannya dan ingin menggunakan talifon bimbit dalam beg tangan untuk mereka?”
Penulis yakin ramai pembaca yang akan menolak perumpamaan di atas. Ini kerana meragut beg tangan adalah perbuatan mencuri yang dilarang dalam Islam. Lebih dari itu kita tidak boleh membenarkan satu perbuatan yang salah dengan memberikan alasan-alasan “tujuan yang baik” di sebaliknya. Akan tetapi inilah yang dilakukan oleh Astora Jabat. Jika benar tidak ada nas jelas yang melarang mengucap Merry Christmas, maka demikian juga, tidak ada nas jelas yang melarang mengucapkan tahniah kepada peragut beg tangan.
Jika ucapan Merry Christmas boleh diperkuatkan dengan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, maka demikian juga, amalan mengucapkan tahniah kepada peragut boleh diperkuatkan dengan tujuan baik yang mendorong dia melakukan tindakan sedemikian.
Demikianlah agama Islam menurut Astora Jabat dan lain-lain tokoh Islam Liberal, ia adalah ruang vakum yang boleh dipenuhi dengan apa sahaja yang dikehendaki oleh seseorang.
Sebenarnya perbincangan sama ada boleh atau tidak mengucapkan Merry Christmas adalah sesuatu yang telah lama dibicarakan kepada para ilmuan Islam. Insya-Allah dalam risalah ini penulis akan cuba mengupasnya secara adil berdasarkan petunjuk al-Qur’an, as-Sunnah dan pemikiran yang sihat. Sebelum dimulakan, adalah penting untuk kita terlebih dahulu memahami apa dan kenapa masyarakat Kristian menyambut Hari Natal(Christmas Day).
Christmas Day menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di mukabumi, iaitu Jesus. Tumpuan tidaklah diberatkan kepada tarikh25 Disember tetapi pada diri Jesus itu sendiri yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Christmas Day.
Apabila penulis menaip “Why do we celebrate Christmas” di enjin carian internet www. google. com, hasil penemuan pertama yang dikemukakan menyebut:
Why do we celebrate Christmas? It is Jesus' birthday! His mommy was Mary and His earthy Father was Joseph. His real Father is God and Jesus was God's gift to all of us!
Christmas is the celebration of the birth of Jesus. Christians decided to celebrate this day many years after He was born. December 25 was picked as this day, even though it probably is not the exact day He was born. That is not as important as the reason we celebrate Christmas. Jesus is the reason for the season. The season is not just to receive gifts, get time off from school or eat a lot of good stuff. Remember that Jesus was born for us... to take away our sins... so that we can be forgiven of the bad things we do forever. This is the greatest gift of all! [www. godschildrenscorner. com]
Jelas Christmas Day adalah sambutan bersempena dua perkara, pertama: Jesus sebagai anak Allah dan kedua: pengorbanan Jesus oleh Allah sendiri demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Adalah memadai dalam artikel ini kita memberi tumpuan kepada yang pertama sahaja, iaitu Jesus sebagai anak Allah.
Apakah pandangan Islam tentang dakwaan Allah memiliki anak? Jawapannya boleh diperolehi secara jelas daripada al-Qur’an. Yang pertama, Allah adalah Tuhan yang bebas daripada diperanakkan atau memiliki anak. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya". [al-Ikhlas 112:1-4]
Yang kedua, mengatakan Allah memiliki anak adalah satu kesalahan yang amat berat:
Dan mereka berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”
Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak. [Maryam 19:88-92]
Yang ketiga, dakwaan Allah memiliki anak adalah sebahagian daripada kepercayaan Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian. Kepercayaan Trinity bermaksud Allah adalah tiga sekalipun satu, iaitu (1) The Father, (2) The Son and (3) The Holy Spirit. Ini adalah satu kesalahan yang telah dinyatakan oleh al-Qur’an sejak lebih 1400 tahun yang lalu:
Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.