afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,338
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,338
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Hotel yang menjadi saksi perjalanan menuju merdeka
Gambar The Majestic Hotel yang dirakam pada 1977 sudah lama menjadi sebahagian daripada sejarah negara, daripada zaman penjajahan hingga menjadi lokasi perbincangan politik menjelang Merdeka. (Gambar Arkib Negara)
Dibuka pada Julai 1932, The Majestic Hotel Kuala Lumpur yang kini berusia 94 tahun mempunyai kaitan istimewa dengan sejarah menuju Merdeka.
Dalam lawatan ke hotel itu baru-baru ini, FMT Lifestyle berkesempatan menemui Pengurus Besar Kluster YTL Hotels Alvin Khoo.
“The Majestic terletak di lokasi strategik berhampiran stesen kereta api, tempat penumpang bertukar perjalanan sama ada ke selatan atau utara.
“Jadi, ramai pelancong akan singgah dan menginap di sini,” katanya.
Kedudukannya turut meletakkan hotel itu di tengah-tengah sejarah Kuala Lumpur ketika zaman perang.
Semasa pendudukan Jepun dari 1942 hingga 1945, hotel itu dirampas dan digunakan sebagai kem transit serta ibu pejabat Pemerintah Tertinggi Jepun.
Selepas berakhirnya perang dan Tanah Melayu mula menentukan masa depan politiknya, The Majestic semakin rapat dengan perkembangan yang akhirnya membentuk perjalanan negara menuju kemerdekaan.
Pada Ogos 1951, Roof Garden di hotel itu menjadi lokasi satu detik penting dalam sejarah politik Tanah Melayu apabila Onn Jaafar meletak jawatan sebagai presiden Umno dan Tunku Abdul Rahman dipilih menggantikannya.
Pemimpin Umno juga diketahui menggunakan hotel berkenaan sebagai tempat pertemuan ketika perbincangan mengenai masa depan politik Tanah Melayu semakin rancak.
Satu lagi pertemuan penting berlangsung di situ pada 23 Feb 1953 apabila konvensyen kebangsaan berbilang kaum pertama di Tanah Melayu diadakan.
Dipengerusikan Tunku Abdul Rahman, konvensyen itu menghimpunkan wakil pelbagai kaum dan menjadi antara langkah penting ke arah kerjasama politik antara masyarakat.
Ia kemudian disusuli beberapa siri pertemuan yang akhirnya membuka jalan kepada pembentukan Parti Perikatan membabitkan Umno, MCA dan MIC, gabungan yang kemudiannya memimpin Tanah Melayu menuju Merdeka pada 1957.
Dalam konteks itu, The Majestic bukan sekadar lokasi pertemuan. Bilik dan ruang di hotel berkenaan turut menjadi sebahagian daripada kisah lebih besar mengenai kompromi, kerjasama serta perubahan politik yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan.
Hotel itu juga terkenal sebagai tempat tumpuan golongan berada di ibu kota. Pegawai penjajah British antara pengunjung tetap The Majestic untuk minum petang, malah ada yang menginap di situ untuk tempoh panjang pada 1950-an.
Antara tetamu terkenal lain ialah pengasas MCA Tan Cheng Lock.
Pada 1983, hotel itu ditutup selepas diwartakan secara rasmi sebagai bangunan bersejarah yang dilindungi. Bangunan itu kemudian menempatkan Balai Seni Negara sehingga 1998.
YTL Hotels kemudiannya memulihkan bangunan asal yang dibina pada 1932, kini dikenali sebagai Majestic Wing, selain membina sebuah menara moden 15 tingkat di sebelahnya.
Hotel itu dibuka semula sebagai The Majestic Hotel Kuala Lumpur pada 2012.
Walaupun beberapa kemudahan baharu dan sentuhan moden ditambah, banyak ciri asalnya masih dikekalkan.
“Keseluruhan bangunan ini dipelihara seperti keadaannya pada 1932. Jubin lantai asal masih dikekalkan, begitu juga dua tangga besar utama,” kata Khoo.
Menurutnya, The Majestic juga hotel pertama di Kuala Lumpur yang dilengkapi sistem air panas.
“Apabila saya mula bekerja di sini, saya amat bangga kerana berpeluang bekerja di salah sebuah hotel tertua di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Colonial Café masih menyajikan beberapa hidangan yang berasal dari zaman awal hotel tersebut. Koktel udang yang popular, misalnya, berada dalam menu sejak hotel itu mula dibuka.
Pada 1930-an, cef Hainan di hotel berkenaan menyesuaikan hidangan Barat mengikut cita rasa tempatan.
Resipi yang diwarisi turun-temurun itu membantu mengekalkan hidangan seperti chicken chop Hainan, bebola nasi ayam dan daging rebus Hainan dalam menu sehingga hari ini.
Hotel itu turut mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah muzik jazz Malaysia apabila dikatakan menjadi antara pentas awal yang membantu membina kerjaya pemuzik Alfonso Soliano.
Hari ini, sebuah piano besar masih berada di Colonial Café dan bar bersebelahan, dengan alunan muzik terus menghidupkan suasana di situ.
Khoo berkata kisah mengenai hotel itu bukan sekadar tersimpan dalam buku sejarah, sebaliknya terus diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
“Kami baru-baru ini menerima sebuah keluarga pelancong antarabangsa yang datang khusus untuk menginap di bilik yang pernah didiami datuk mereka.
“Dalam wasiatnya, datuk mereka meminta keluarga itu kembali dan menginap di sini,” katanya.
Lebih sembilan dekad selepas pertama kali membuka pintunya, The Majestic terus menerima pengunjung dari seluruh dunia.
Namun di sebalik bilik yang dipulihkan dan bangunannya yang kembali tersergam indah, hotel itu masih menyimpan jejak sebuah negara yang ketika itu sedang mencari suara politiknya sendiri, bersama perbincangan, tokoh dan detik penting yang membantu membawa Tanah Melayu menuju kebebasan.